Aku Dan Waktu Bosanku

Di sini dan dikesempatan ini dalam ruang yang sepi dan muram ini ingin aku mencoretkan sesuatu yang terpaksa aku coretkan demi mengisi masa-masaku yang terluang dan terkosong ini. Dalam aku menyusun atur setiap patah kata sehingga terbentuknya satu ayat yang lengkap, aku masih tidak tahu apa yang patut aku coretkan di sini. Aku mengetuk-ngetuk setiap huruf-huruf di papan kekunci yang boleh di kategorikan sebagai bahan antik yang tiada nilai lagi dipasaran terbuka mahupun pasaran gelap sambil berfikir tentang apa isi-isi coretan aku pada kali ini.

Aku mengetuk lagi dan menaip lagi tanpa arah dan hala tuju. Entah berapa baris ayat aku sudah taip dan berapa nokhtah sudah aku lewati namun aku masih buntu mencari sesuatu yang dapat aku coretkan disini. Aku berhenti menaip sekejap kerana ada satu panggilan telefon yang perlu aku jawab.

(Selepas 2 minit)

Aku kembali lagi dan menaip lagi di sini tanpa tahu apa yang perlu aku taip. Walaupun aku tidak tahu apa-apa untuk ku taip tapi aku tetap menaip juga demi menampakkan kesibukan aku di ruang kantor ku ini. Ah! Kenapa aku tertaip kantor? Adakah aku seorang warganegara Indonesia? Perlukah aku memeriksa kad identiti diri ku? Nggak perlu rasanya. Ternyata gue ini orang Malaysia. Makanya gue nggak perlu risau tentang bapak-bapak polisi di luar sana.

Aku rasa pengaruh-pengaruh dari seberang banyak mengisi hari-hariku. Setiap hari lubang telingaku ini amat senang sekali mendengar alunan lagu dari seberang sana. Pulang sahaja dari kantor isteriku pula suka benar menonton rancangan Pinokio dan Peri Biru. Cerita itu walaupun semacam kisah dongeng tetapi mudah menarik minat kita untuk terus setia menontonnya.

Cerita Pinokio ini jugalah yang menyempitkan pengetahuanku tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam dan di luar negara kerana aku seringkali terlepas menonton Buletin Utama. Cerita ini bakal tamat pada 28 Mac 2008 dan aku telah berpesan kepada isteriku supaya jangan cuba berjinak-jinak dengan cerita yang bakal menggantikan cerita Pinokio itu. Masa tayangan cerita itu amat tidak sesuai kerana ditayangkan pada jam 8.00 malam selama satu jam.

Ada satu lagi pengaruh Indonesia yang aku hampir-hampir terlupa yang mengisi hari-hari ku iaitu Mak Cik Cleaner di kawasan apartment rumah ku. Dia sering juga menegur aku jika terserempak dengan aku. Aku pun ada juga yang menyapanya dahulu. Cuba untuk menunjukkan diriku ini peramah juga orangnya.

Aku cuba mebelek-belek balik apa yang sudah aku taip. Aku rasa agak panjang juga dan cukup mampu untuk membuatkan orang bosan membacanya. Tetapi aku masih ingin menaip lagi walau aku tidak tahu tentang apa yang perlu aku taip. Aku menaip lagi tanpa henti dan tanpa bimbang akan kebuntuan akal ku dalam mencari isi-isi coretanku ini. Aku tidak akan sesekali membiarkan benak fikiranku ini mencapai tahap kebuntuan yang akan menghentikan penaipanku ini. Akan ku taip apa sahaja yang terlintas. Tanpa perlu memikirkan apa-apa.

Perlukah aku mengkategorikan penulisanku ini sebagai 'Menulis gaya bebas' kerana tidak perlu merangka apa-apa. Tidak perlu memikirkan tajuk dan isi-isinya. Hanya membiarkan jari jemariku yang tidak begitu runcing ini menyusun huruf menjadi perkataan dan seterusnya menjadi satu ayat yang boleh di baca walau mungkin tidak difahami oleh sesetengah orang.

Aku sudah memasuki muka surat baru di Microsoft Word ini tetapi masih tidak tahu hala tuju coretanku ini. Aku bertekad walau sampai ke nokhtah yang terakhir pun aku masih belum tahu apa pengisiannya aku tetap akan meletakkannya di dalam blog aku itu. Biarlah apa orang hendak kata. Aku tidak peduli asalkan aku tidak dilanda kebosanan.

Kadang-kadang kita perlu melakukan sesuatu untuk mengisi masa kita agar tidak bosan. Salah satu cara yang aku praktikkan ialah dengan menulis. Dahulu aku suka menulis cerpen, cerita bersiri dan sajak-sajak. Kali ini aku tiada idea untuk menulis semua itu. Mungkin itu bukanlah kebolehanku. Merapu seperti ini mungkin kebolehanku yang sebenar-benarnya.

Aku rasa pemerapuan aku sudah tiba ke penghujungnya. Aku harap sesiapa yang membaca ini janganlah memarahi aku atau menyalahkan aku kerana membazirkan masa anda yang berharga itu dengan membaca pemerapuan aku ini. Sebelum berundur izinkan aku mencari tajuk yang sesuai untuk aku letak di atas hasil pemerapuan yang tidak seberapa ini. Apa tajuk yang sesuai? Aku suka letak tajuknya seperti 'Aku Dan .....' Mungkin tajuk 'Aku Dan Sesuatu' nampak sesuai. Ataupun 'Aku Dan Kebosanan'.

Penaipan aku ini terganggu seketika kerana aku buntu untuk mencari tajuk yang sesuai. Aku berhenti menaip dan terus berfikir. Aku masih tercari-cari lagi. Meneroka di segenap pelusuk akalku mencari tajuknya. Aku memalingkan mukaku ke kiri dan terus memandang rakan sekerjaku sambil berfikir tanpa berkelip. Dan dia membalas pandangan aku dengan raut muka yang menampakkan kebingungan yang ketara.

Dan dia bertanya,

"Apasal kau pandang aku?"

"Sebab kau handsome", aku berkata sambil tersenyum.

"Ada hutang ke?" dia bertanya aku lagi.

Itulah jawapan tipikal setiap kali kita memandang seseorang. Samada kita sedar atau tidak, itulah pertanyaan balas yang kita dapat jika kita memandang seseorang itu tanpa berkelip. Apa kaitannya dengan hutang? Adakah ini cara menuntut hutang? Pastinya Ah Long lagi suka memandang orang seperti aku pandang rakan sekerjaku itu. Mungkin rakanku itu selalu berhutang dan dia sudah biasa akan pandangan menuntut hutang ini.

Di sini ingin aku tegaskan bahawa pandangan aku kepadanya tadi tiada sedikitpun unsur-unsur menuntut hutang. Aku hanya memandangnya dalam keadaan otakku berfikir ligat mencari tajuk bagi coretan merapu ku ini. Itu sahaja, tiada niat lain.

Berbalik kepada tajuk coretan ini, aku ingin menajukkannya dengan 'Aku Dan Waktu Bosanku". Buat masa ini hanya ini yang termampu aku tajukkan coretan ku pada kali ini. Baiklah ada masa kita bertemu lagi dalam pemerapuanku yang lain. Sekian sahaja buat kali ini.

0 comments: