8 comments

Hadif Yang Terkini #5

• Bersama teman baru


• Menunjukkan sesuatu kepada teman baru

• Menghubungi yang jauh di mata

• Masih di talian

• Terpesona melihat aksi seoraang jurugambar cuba mengambil gambarnya

4 comments

Politikus TerhemPAS

ku rasa panas
hangat membahang
walaupun berkiPAS
tidak juga mendinginkan
bahang pilihanraya mula terasa

percaturan politik memang hangat
kalahkan berita kapalterbang terhemPAS
setiap isu dikuPAS-kuPAS
sampaikan tiada apa yang terlePAS

hajat menggunung tinggi melangit
ingin meramPAS takhta di atas
manifesto di rangka di canang sudah
janganlah nanti bila di atas
kita dibawah dijadikan hamPAS

asyik berkempen di sana-sini
berpanas berhujan katanya pengorbanan
janganlah sampai kulit menggeluPAS
kesihatan juga perlu di jaga
kalau sakit kempen terganggu..

sumbatlah kaPAS ke dalam telinga
kalau sudah bosan asyik mendengar
segala tipu helah mainan politikus
sandiwara hebat realiti belum PASti
PASrah ku nanti segala kemungkinan...

0 comments

Kosong

saat ini fikiranku kosong
tiada ilham tiada kata
pandangan gelap
seolah dalam satu kotak tertutup
jiwa dan perasaan tersekat...

hanya nadi terus berdenyut
jantung setia berdegup
darah terus mengalir
mengisi setiap rongga
di dalam tubuhku...

jiwa ku seolah mati seketika
tiada rasa apa-apa
membatu dalam palutan jasad
melayang bagai di tiup angin..

0 comments

Laut (Ceritakan Pada Semua)

wahai laut..
adakah kau masih biru
seperti waktu kau temaniku dulu
disaat langit jiwaku teramat kelam
disaat semuanya kurasakan gelap

wahai laut..
kau membuatku tenang
dengan cahaya kebiruanmu
kau mengulit jiwaku
dengan alunan gemersik
nyanyian ombak dan pantai

wahai laut...
disaat itu kau seolah sedang bercerita padaku
tentang makna sebuah kehidupan ini
aku cemburu pada kesetiaan ombak dan pantai
aku cemburu pada ketenangan yang terwujud
walau gelora dan badai menghempas

wahai laut...
aku mengerti kini
hidup kita tak selalunya tenang
dan hidup kita takkan selamanya bergolak....

10 comments

Sepi

sepi itu saat terdengar jam berdetik
sepi itu air sungai yang mengalir lesu
sepi itu malam tanpa nyanyian alam
sepi itu roda pedati lembu tua
sepi itu aku tanpa dirimu...

10 comments

Cerpen : Penyesalan

Shafy termenung di anjung rumah ibunya itu. Masih terngiang-ngiang lagi leteran ibunya tadi. Ibunya masih tidak dapat menerima keputusannya untuk mendirikan rumahtangga dengan gadis pilihannya sendiri. Bagi Shafy, Rina itu tiada cacat celanya. Mungkin ibunya tidak berkenan kerana cara dan gayanya tidak seperti gadis-gadis Melayu lain yang dibesarkan di kampung yang penuh dengan adat ketimuran. Ibunya asyik membanding-bandingkan Rina dengan Siti, anak kepada sepupu ibunya. Dua pupu kepadanya.

Shafy tahu, dia memang rapat dengan Siti sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Mereka berdua bagaikan belangkas. Di mana ada Shafy, disitulah ada Siti. Begitulah sebaliknya. Dulu Shafy ada juga menaruh perasaan terhadap Siti, sewaktu di sekolah menengah dahulu. Sejak perkenalannya dengan Rina di tempat kerjanya selepas bergelar graduan, Shafy mula menganggap perasaan cintanya pada Siti hanyalah sekadar cinta monyet.

"Kalau arwah ayah kau masih ada, tentu dia pun tak benarkan kau berkahwin dengan Rina budak bandar tu," tiba-tiba ibunya muncul di pintu rumah itu.

"Mak tengok kau dari kecil sampailah kau masuk universiti pun, bukan main rapat lagi kau dengan Siti. Tup-tup bila dah kerja, dah senang, dah kenal dengan orang lain terus kau lupakan Siti tu," bebel ibunya lagi.

"Bukan lupalah Mak... Siti tu tetap kawan Shafy," ujar Shafy.

"Kau tahu tak Shafy... Masa kau tak ada Sitilah yang selalu jenguk-jenguk Mak. Kalau Mak demam dialah yang selalu jaga. Kadang-kadang dia bermalam dan makan kat sini. Kau bukan tak tahu sejak ayahnya meninggal dunia Siti bukan ada saudara mara lain dah kat sini. Maklah satu-satunya saudara dia yang ada kat sini. Dia tu sebatang kara Shafy," sambung ibunya lagi.

"Shafy tahu Mak... Takkanlah kerana kasihan Shafy perlu kahwin dengan dia," jawab Shafy.

"Bukan ke dulu kau pun tergila-gilakan dia. Setiap kali balik sini bukan kau cari mak ni dulu, mesti Siti yang kau cari," balas ibunya pula.

"Itu dulu mak..."

"Ikut suka kaulah Shafy, mak cuma bagi nasihat saja. Keputusan ditangan kau."

Ibunya terus melangkah masuk semula meninggalkan Shafy yang masih bingung memikirkan perkara ini. Dia masih tetap dengan pendiriannya. Dia tahu ibunya tidaklah terlalu keras hati. Pasti nanti ibunya boleh menerima kehadiran Rina. Shafy yakin Siti pasti sudah tahu akan perkara ini. Bukan sekali dua dia membawa Rina balik ke sini. Sudah banyak kali. Tetapi sejak akhir-akhir ini Shafy tidak lagi berpeluang bertemu dengan Siti. Siti sudah tidak lagi seperti dulu. Setiap kali ternampak Shafy, pasti Siti akan cuba mengelak dari terserempak dengannya.

.................

Hari ini hari perkahwinan Shafy dengan Rina. Majlis mereka dilangsungkan di sebuah hotel di ibukota. Ibunya dan saudara-mara terdekat juga hadir meraikannya. Sesekali Shafy cuba mencari kelibat Siti dicelah-celah orang ramai itu. Namun tidak kelihatan.

"Mak... Siti tak datang ke?" soal Shafy bila dia menghampiri meja yang menempatkan ibunya dan saudaranya yang lain.

"Dah kahwin pun kau masih tanya Siti?" perli ibunya.

Siti bersendirian di atas batu di tepi pantai sambil menghadap ke laut. Melihat camar-camar riang berterbangan membuatkan Siti tenang. Alunan lembut bayu menyapa wajahnya membuatkan dirinya lupa seketika kesedihannya. Sambil termenung Siti menguis-nguis kakinya di gigi-gigi air itu. Pilu hatinya hanya dia yang tahu. Perasaan cinta yang dipendamkan selama ini akhirnya berakhir begini. Belum pun sempat dia menyatakan cintanya pada lelaki yang selalu dirinduinya itu. Kini lelaki itu telah menjadi milik orang lain. Bukan dirinya. Biarlah dia sendiri mengubati kekecewaannya.

Bertahun-tahun dia pendamkan rasa cintanya pada Shafy. Pada awalnya dia dapat rasakan bahawa Shafy juga ada menaruh hati padanya. Pernah juga Shafy berkias-kias dengannya perihal perasaan dia terhadap dirinya. Siti tahu sesorang pasti akan berubah mengikut masa dan keadaan. Dan dia telah menjadi mangsa perubahan itu.

"Kat sini rupanya kau Siti, jenuh Mak Su cari kau kat rumah," tegur ibu Shafy.

"Cepat Mak Su balik, ingatkan dua tiga malam Mak Su kat sana," jawab Siti kepada ibu Shafy yang dipanggilnya Mak Su.

"Ish, buat apa Mak Su lama-lama kat sana. Tak pandailah Mak Su nak ikut cara orang kaya ni," ujar ibu Shafy.

"Kenapa Siti tak pergi tadi? Mak Su ingat Siti pergi sekali dengan rombongan tadi," soal ibu Shafy pula.

"Siti tak sihat tadi... Sakit perut pagi tadi Mak Su, Siti tersilap makan kot," jawab Siti cuba berdalih.

Tidak mungkin dia boleh menatap wajah lelaki yang dicintainya itu di atas pelamin bersanding dengan orang lain. Semua itu akan menghiris-hiris hatinya.

.................

Telah dua tahun Shafy dan Rina berkahwin. Sejak dari itu jarang sekali Shafy pulang ke kampung halamannya. Kalau pulang pun hanya dirinya sahaja, tidak bersama isterinya. Sering dia memberi alasan bahawa Rina, isterinya itu terlalu sibuk apabila ditanya oleh ibunya. Sering jugalah dia dileteri ibunya.

"Mak tak tahulah apa kena dengan kau orang berdua ni, sibuk sangat ke sampai susah nak jenguk Mak kat kampung ni, nasib baiklah ada Siti boleh juga dia temankan Mak," leter ibunya ketika Shafy pulang ke kampung.

"Banyak kerja mak... Bukan sengaja Shafy tak mahu balik jumpa Mak," ujar Shafy.

"Ni kau balik kenapa? Mak rasa minggu lepas kau dah balik," soal ibunya.

"Sebenarnya Shafy nak bawa Mak ke rumah Shafy. Rina kena kerja luar negara selama sebulan Mak. Kalau Mak ada bolehlah teman-temankan Shafy," terang Shafy kepada ibunya.

"Itulah Mak cakap, suruh beranak cepat-cepat kau orang berdua tak nak. Kalau ada anak tidaklah sunyi," leter ibunya lagi.

"Mak ikut saya balik nanti ye," kata Shafy sambil tersenyum.

"Boleh, tapi Mak nak bawa Siti sekali... Tidaklah sunyi Mak bila kau pergi kerja," jawab ibunya.

Shafy hanya mengangguk sahaja. Hatinya terselit sedikit kegembiraan apabila ibunya ingin membawa Siti. Sejak akhir-akhir ini dia sering terkenangkan kisah-kisah lalu antara dia dengan Siti. Segalanya terimbau kembali. Shafy sedar, perkahwinannya dengan Rina tidaklah bahagia seperti yang diharapkan. Bahagianya hanya pada sekitar tiga bulan pertama perkahwinan mereka. Setelah itu perangai Rina sudah berubah. Dia sering pulang lewat dari kerja. Apabila ditanya jawapannya adalah berjumpa dengan klien.

Pada awalnya Shafy tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah dia sendiri ternampak Rina bersama lelaki lain baru keluar dari sebuar bar. Mesra sekali lagaknya. Tidak pula Shafy meminta penjelasan dari Rina, kerana dia sudah maklum akan panas baran isterinya itu. Lebih baik didiamkannya sahaja.

"Ya Allah Shafy... Apa kena dengan rumah kau ni? Berselerak macam tongkang pecah! Mengalahkan rumah bujang. Kau ni ada isteri tetapi macam tak ada isteri... Kau tak pernah suruh ke dia berkemas rumah Shafy?" leter ibunya apabila sejurus melangkah masuk ke dalam rumah Shafy itu.

"Rina kan tak ada kat rumah, kalau dia ada mesti dia berkemas Mak," jawab Shafy.

"Kau tu asyik nak menangkan isteri kau saja."

Shafy memandang Siti yang masih tercegat disebelah ibunya. Sepanjang perjalanan dari kampung sampailah ke Kuala Lumpur Siti lebih banyak diam dan termenung sahaja. Sepatah ditanya sepatahlah dijawabnya. Telah hilang kemesraan lalu. Shafy rindukan kemesraan itu.

.................

"Mak berkemas ke ni? Tak perlulah Mak susah-susah. Shafy memang bercadang nak kemas rumah lepas balik dari kerja ni," ujar Shafy setelah melihat rumahnya dalam keadaan kemas apabila pulang dari pejabatnya.

"Bukan Mak yang berkemas. Siti yang buat," jawab ibu Shafy.

"Mana Siti Mak?" soal Shafy.

"Ada kat dapur tu."

Shafy terus melangkah meninggalkan ibunya di ruang tamu menuju ke dapur. Dilihatnya Siti sedang membancuh minuman dan ada sepinggan kuih keria di atas meja makan itu. Tentu Siti yang membuatnya, fikir Shafy. Dahulu Shafy selalu memuji keenakkan kuih keria buatan Siti.

"Siti... Tak perlulah Siti susah-susah buat semua ni... Segan saya," tegur Shafy kepada Siti yang leka membancuh air minuman.

"Tak mengapa Shafy... Bukan susah pun," jawab Siti.

"Siti... Kenapa Siti dah tak macam dulu. Tak semesra dulu. Saya rindukan Siti yang dahulu tu," ujar Shafy lagi.

"Manusia ni sentiasa berubah Shafy, apa nak dihairankan," jawab Siti penuh makna.

Sejak ibunya dan Siti berada di rumah ini segalanya seakan teratur. Rumah sentiasa kemas. Makan dan minumnya terjaga. Shafy suka dengan keadaan ini. Tetapi Siti masih juga begitu, masih cuba mengelak untuk berbual-bual dengan Shafy.

"Mak... Hari Ahad ni Rina balik," ujar Shafy kepada ibunya semasa mereka minikmati hidangan makan malam.

"Kalau macam tu Mak nak baliklah hari Jumaat ni," kata ibu Shafy.

"Tunggulah sampai Rina dulu balik Mak... Lepas tu saya hantarlah Mak balik," pinta Shafy.

"Kalau kau tak mahu hantar pun Mak dengan Siti akan balik naik bas hari Jumaat ni," ujar ibunya lagi.

"Lagipun isteri kau tu bukan suka dengan Mak," sambung ibunya lagi.

.................

Sejak kepulangan ibunya dan Siti ke kampung, Shafy merasa kesunyian. Ditambah lagi dengan kesibukan isterinya yang sering tiada di rumah. Hidup Shafy betul-betul kosong. Disaat kesunyian itu Shafy sering terkenangkan Siti. Rindunya pada Siti membuatkan hatinya resah. Seribu penyesalan menghimpit dirinya. Sesal kerana tersilap memilih teman hidupnya. Shafy tahu Siti masih berkecil hati dengannya. Reaksi dan cara Siti melayannya telah membuktikan andaian Shafy itu.

"Shafy... I nak you ceraikan I," ujar Rina pada suatu malam selepas pertengkaran antara mereka tercetus.

"Kalau you tak ceraikan, I failkan penceraian ni kat mahkamah," sambung Rina lagi.

Shafy bungkam. Dia tidak tahu apa perlu dibuatnya. Hanya kerana dirinya menegur Rina yang sering pulang lewat telah mengakibatkan pertengkaran besar berlaku. Langsung tiada hormat Rina kepadanya lagi. Shafy betul-betul kecewa.

"Ok... I ceraikan you..." ujar Shafy terus keluar dari bilik itu.

Setelah selesai proses penceraian mereka, Shafy terus mengemaskan barang-barangnya yang ada dirumah besar milik Rina itu dan terus pulang menuju ke kampungnya. Dia juga telah meletakkan jawatannya di syarikat milik keluarga Rina itu.

"Itulah kau Shafy... Tak nak dengar cakap Mak," ujar ibunya setelah mengetahui penceraiannya dengan Rina.

"Dah takdir Mak..." jawab Shafy perlahan.

"Selepas ni kau nak kerja kat mana Shafy?" soal ibunya.

"Saya ada hubungi kawan-kawan saya yang kerja kat sini. Mereka akan cuba tolong saya dapatkan kerja. Sementara itu saya menumpang rumah Mak dululah," jawab Shafy.

"Mak tak kisah kau nak duduk dengan Mak. Mak lagi suka," kata ibunya pula.

"Tak pun kau tolong sajalah Siti tu. Sekarang dia dah buka ladang ternakan ayam kat tanah peninggalan arwah ayahnya di hujung kampung ni," sambung ibunya lagi.

"Tengoklah nanti Mak," jawab Shafy.

Keesokkan harinya Shafy memandu keretanya menuju ke ladang ternakan ayam milik Siti. Sampai sahaja di sana dilihatnya Siti sedang berbincang dengan beberapa lelaki. Mungkin pembeli ayam ataupun pekerja-pekerja Siti. Shafy membuat andaian.

"Siti..." sapa Shafy.

"Buat apa Shafy kat sini? Bila sampai?" soal Siti seakan terkejut dengan kehadiran Shafy di situ.

"Baru semalam... Boleh tahan juga projek Siti ni, tak sangka," ujar Shafy.

"Nak hidup Shafy... Takkanlah asyik nak ambil upah menjahit je," jawab Siti ringkas.

"Rina tak ikut sekali ke?" soal Siti pula.

"Tak... Kami dah bercerai," jawab Shafy.

"Maaf... Siti tak tahu," ujar Siti perlahan.

"Tak mengapa Siti, dah takdir," ujar Shafy.

Sejak dari hari itu semakin kerap Shafy pergi ke ladang ternakan ayam milik Siti itu. Shafy ingin cuba mendapatkan kembali cinta Siti itu dan ingin mengulang kembali detik-detik indah kenangan mereka berdua di suatu ketika dahulu.

"Siti... Boleh saya cakap sesuatu?" ujar Shafy ketika mereka bertemu.

"Cakaplah... Siti tak pernah nak halang apa Shafy nak cakap," jawab Siti.

"Boleh tak kita bersama macam dulu..."

"Sekarang ni pun kita macam dulu jugakan? Tiada apa yang berbeza Shafy,"

"Maksud Shafy... Lebih dari itu"

"Lebih yang macam mana?"

"Sudi tak Siti menjadi isteri Shafy,"

"Mudahnya Shafy lupakan bekas isteri Shafy tu... Baru je beberapa minggu..."

"Sebelum ini Shafy tak sedar siapa yang lebih Shafy cintai... Rupanya Siti yang betul-betul Shafy cinta selama ini," ujar Shafy.

"Selepas bercerai baru sedar? Macam tu?" soal Siti mencari kepastian.

"Sebelum itu lagi... Kedatangan Siti ke rumah Shafi hari itu telah meyakinkan Shafy," jawab Shafy lagi.

"Dah terlambat Shafy... Siti dah berpunya."

"Jangan bohong Siti..."

"Shafy dapat rasa Siti masih cintakan Shafy..."

"Memang benar Shafy... Tapi semua itu dah berlalu. Cinta itu biarlah dia kekal bersemadi di dalam hati Siti ini."

"Semua itu akan meyeksa diri Siti sendiri."

"Siti dah lama terseksa..."

Terdiam Shafy seketika. Keresahan terpancar di wajahnya. Perasaannya ketika itu seperti baru putus cinta. Shafy melepaskan satu keluhan yang panjang. Segala sesal terus menikam-nikam batinnya. Terus menghukumnya.

..............

"Janganlah kau bersedih Shafy... Semua ini ketentuannya. Jodoh kau tiada dengan Siti tu..." pujuk ibunya di waktu pagi di hari perkahwinan Siti dengan Khalid, salah seorang pekerja di ladang ternakan ayam Siti itu.

"Semua ini salah saya Mak,"

"Tak perlu dikesalkan... Semua ini ada hikmahnya... Baiklah Shafy, Mak pergi dulu."

Ibunya terus berlalu meninggalkan Shafy berseorangan di rumah itu kerana ibunya perlu pergi ke majlis itu. Ibu Shafy menjadi wakil pihak keluarga Siti dalam urusan perkahwinan ini. Seminggu sebelum hari perkahwinan itu ibunya begitu sibuk menguruskan segala-galanya. Seminggu itu jugalah hati Shafy bagai disiat-siat apabila melihat segala persiapan perkahwinan Siti itu.

Tertutupkah sudah hatimu
Untuk menerima ku lagi
Apakah keras hatimu
Tak bisa lentur lagi

Bukan ku sengaja
Mahu kau terluka
Bukan niatku…

Kalau pun memang aku bersalah
Namun sebesar manakah
Begitu susah untuk kau maafkan
Hingga ingin kau singkirkan

Bumi yang manakah yang tak pernah basah
Bila hujan mencurah
Aku bisa berubah
Usah diturutkan hati marah
Di hati kecilmu
Ku tahu kau tak begitu

Sudah lumrah cinta
Suka bersulamkan air mata
Kita dihiris rencana
Terpetik cinta sempurna...


Mendengarkan lagu dendangan Kumpulan Iklim itu membuatkan Shafy dihimpit seribu penyesalan. Pilu hatinya tidak terkata. Bagaikan segala di dunia ini sudah tidak bererti lagi. Sepanjang hari itu Shafy hanya menghabiskan masa dengan menyusuri pantai meratapi kekecewaannya.

14 comments

Cerpen : Kerana Sebuah Diari

"Apa yang awak buat ni?! Awak ingat awak handsome awak boleh pikat semua orang! Maaflah... Saya sedikit pun tak berminat dengan awak!" tengking Erina kepada Danial.

Bukan main malu Danial apabila diperlakukan begitu di khalayak ramai. Tercabar ego kelakiannya. Rasanya seperti mahu melempang sahaja Erina disaat itu juga. Namun dia tetap bersabar. Dia hanya membatukan dirinya sambil meneguk baki jus oren di gelasnya. Banyak mata memandangnya. Amir, Shah dan Izwan tergelak kecil melihat rakan mereka, Danial diperlakukan begitu.

Danial hanya memerhatikan gerak langkah Erina yang berlalu meninggalkannya. Tidak pernah seumur hidupnya dimalukan sedemikian rupa. Di saat ini memang ramai pelajar-pelajar berada di cafe ini. Danial tidak faham kenapa Erina boleh bertindak begitu. Tidak disangkanya gadis manis selembut itu boleh menengkingnya.

"Sudah-sudahlah tu Danial, jom kita blah," ajak Izwan sambil bangun dari kerusinya lalu diikuti Shah dan Amir.

"Entahlah Danial ni. Ramai lagilah perempuan cantik kat kampus kita ni," sambung Shah pula.

"Bukan masalah tu lah. Cuma aku tak berapa nak faham... Kenapa Erina sampai begitu sekali tengking aku? Besar sangat ke salah aku ni?" soal Danial.

"Kau pun satu Danial, yang kau pergi letak diari dalam beg dia tu kenapa?" soal Izwan pula.

"Aku nak berkenalan dengan dia je. Aku bagilah hadiah diari tu kat dia. Sempena tahun baru ni," jawab Danial.

"Dalam diari tu ada aku tulis sikit-sikit. Bukan tulis apa pun, cuma aku cakap aku nak kenal dia dengan lebih rapat lagi. Tu je," sambung Danial lagi.

"Dia marah sebab kau dah buka beg dia kot. Kau dah dikira menceroboh Danial," ujar Amir pula.

Betul juga cakap Amir itu, fikir Danial. Dia tidak sanggup memberitahu kepada rakan-rakannya tentang apa yang dilihat dalam beg Erina itu. Biarlah menjadi rahsianya sahaja. Danial ingin berjumpa dengan Erina untuk memohon maaf. Itupun kalau Erina sudi untuk bertemu dengannya.

~

Pagi itu Danial menunggu Erina di koridor berdekatan dengan kelas Erina. Dia tidak kisah jika Erina mahu menengkingnya lagi. Danial sudah bersedia tentang kemungkinan itu. Tujuannya hanya satu, ingin meminta maaf dari Erina. Dari jauh dia sudah nampak kelibat Erina sedang melangkah menuju ke arahnya. Jantung Danial berdebar kencang. Tidak pernah dia segementar begini apabila berhadapan dengan perempuan.

"Erina, tunggu sekejap," ujar Danial setelah Erina betul-betul di hadapannya.

"Awak nak apa lagi?" soal Erina.

"Saya nak minta maaf..." jawab Danial.

"Betapa mudahnya hidup awak Danial. Buat salah...minta maaf. Buat salah lagi, minta maaf lagi. Awak tak pernah cuba fikir ke tentang perasaan orang lain?" ujar Erina lagi.

"Saya betul-betul minta maaf. Terpulang pada awak hendak maafkan atau tidak. Itu hak awak," ujar Danial.

"Saya pergi dulu," sambung Danial lagi lalu melangkah meninggalkan Erina yang masih tercegat di situ.

Erina tidak sangka Danial boleh menjadi selembut itu. Datang kepadanya dan meminta maaf. Berlainan sekali apa yang didengarnya tentang Danial dari kawan-kawan sekampusnya. Ah! Lupakanlah, baik bersebab. Tipikal lelaki, gumam Erina dalam hati.

"Aduh, macam mana aku boleh lupa nak pulangkan diari Danial ni, takkan aku kena pergi jumpa dia," gerutu Erina dan terus melangkan menuju ke kelasnya.

Danial masih termenung memikirkan Erina sehinggakan dia tidak dapat menumpukan perhatiannya dalam kuliah yang diberikan pensyarahnya. Danial asyik memikirkan tentang apa yang dilihat di dalam beg Erina. Bermacam-macam andaian bermain di kotak fikirannya. Danial seolah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

~

"Danial..." satu suara menegur Danial yang sedang minum di cafe universiti itu.

Danial terus memalingkan kepalanya mencari empunya suara itu. Dilihatnya Erina tercegat di sebelah kerusinya.

"Ada apa Erina? Duduklah..." pelawa Danial.

"Saya cuma nak pulangkan balik diari yang awak bagi ni," ujar Erina sambil meletakkan diari di atas meja di hadapan Danial.

"Awak ambillah Erina, saya ikhlas bagi awak," ujar Danial.

"Sekali lagi saya minta maaf," sambung Danial lagi.

"Baiklah... Saya maafkan," jawab Erina.

Hatinya memberontak untuk bertanya pada Erina perihal kandungan begnya itu. Tetapi mulutnya seakan terkunci. Danial rasa dia perlu tahu supaya dia tidak lagi bermain dengan bermacam andaian yang memungkinkannya membuat satu andaian yang silap mengenai Erina.

"Saya minta diri dulu," ujar Erina.

"Nanti dulu Erina... Saya ada perkara nak tanya," ujar Danial pula.

"Ada apa lagi?" soal Erina.

"Duduklah dulu... Pertanyaan saya ni mungkin terlalu peribadi dan mungkin Erina tak selesa, saya minta maaf... Tapi perkara ni saya perlu tahu," jawab Danial panjang lebar.

"Baiklah... Apa dia?"

"Awak sendiri tahu kan yang saya masukkan diari ni dalam beg awak, masa saya buka beg awak saya ternampak sesuatu. Terkejut saya. Tapi saya tetap masukkan juga diari tu supaya saya nak awak tahu yang saya telah buka beg awak," terang Danial.

"Jadi, apa masalahnya? Apa yang awak nampak Danial?" soal Erina.

"Erm... Saya ternampak kotak kondom dalam beg awak..." jawab Danial.

Pipi Erina mula memerah. Tidak sangka itu yang Danial nampak. Malunya dia disaat itu. Tentu Danial fikir yang bukan-bukan mengenainya.

"Jadi, apa masalahnya pada awak?" Erina bertanya lagi.

"Mungkin awak dah canangkan kepada semua dan menyatakan yang saya ni perempuan murahan, pelacur ke... Dan mungkin juga awak terfikir hendak melanggan saya, tak begitu Danial?" sambung Erina lagi.

"Saya bukan macam itu. Saya ni jahat sangat ke nak menuduh orang sembarangan? Awak fikir saya ni tak ada perasaan? Kalau pun saya ni jahat... Takkan sesekali saya aibkan orang," jawab Danial dengan nada yang agak tinggi dan terus berlalu meninggalkan Erina berseorangan.

Terkedu Erina seketika. Tidak diduganya yang Danial akan marah sampai begitu sekali. Secara tidak sengaja Erina telah membuatkan Danial berkecil hati dengannya. Erina terus melangkah meninggalkan cafe itu dengan diselubungi perasaan bersalahnya pada Danial.

~

Hari ini Erina nekad untuk bertemu Danial untuk meminta maaf dan menerangkan tentang perihal kondom itu. Dia tidak mahu lagi menanggung beban perasaan bersalahnya itu. Dia juga tidak mahu Danial fikir yang bukan-bukan mengenainya. Erina cuba mencari Danial di cafe kampusnya itu. Tetapi kelibat Danial tiada di situ.

"Amir... Awak ada nampak Danial tak?" soal Erina kepada Amir rakan sekelas Danial itu.

"Tadi dia ada kat bangku bawah pokok sebelah makmal komputer, saya ajak ke sini dia tak nak tadi. Cuba lah cari dia kat sana," terang Amir.

Selepas berterima kasih kepada Amir, Erina terus melangkah menuju ke tempat yang diberitahu Amir itu. Nasib Erina agak baik kerana Danial masih ada di situ. Erina terus melangkah menghampiri Danial yang asyik termenung.

"Assalamualaikum... Boleh saya duduk?" sapa Erina.

"Wa'alaikumussalam... Duduklah, inikan hak awam... Siapa-siapa pun boleh duduk," jawab Danial selamba.

"Saya tahu awak marahkan saya Danial. Sebab tu saya datang jumpa awak... Saya nak minta maaf," ujar Erina.

"Saya dah lupakan perkara tu," jawab Danial.

"Dan... Awak tak perlulah nak jelaskan apa-apa kepada saya, saya dah tak berminat," sambung Danial lagi.

"Masih ada juga lelaki yang kuat merajuk sekarang ni ya..." ujar Erina sambil menjeling Danial.

Tergelak kecil Danial mendengar kata-kata Erina sebantar tadi. Tersenyum Danial dibuatnya. Tidak disangka Erina masih cuba untuk berbaik dengannya walaupun Danial memberi respon yang agak hambar pada mula tadi.

"Pandai awak ye Erina," ujar Danial sambil tersenyum memandang Erina.

"Kalau tak pandai saya tak akan dapat masuk universiti," jawab Erina lagi.

"Ada-ada je awak ni,"

"Awak maafkan saya tak Encik Danial Hadif?"

"Maaf Cik Erina masih dalam pertimbangan,"

"Kalau macam tu Encik Danial timbang-timbangkanlah maaf saya tu, saya pergi dululah ya,"

"Nanti dulu Cik Erina, soalan saya hari tu Cik Erina belum jawab lagi,"

Telah terlihat kemesraan antara mereka. Danial senang akan keadaan ini. Tidak disangkanya sependiam-pendiam Erina ini pandai juga dia melawak. Benarlah bak kata orang, tak kenal maka tak cinta.

"Macam ni Danial, saya salah seorang sukarelawan Majlis Aids Malaysia di kawasan sini. Kondom-kondom yang awak nampak tu untuk saya bekalkan kepada pasangan suami isteri yang menghidap HIV yang berdaftar dengan pertubuhan ni... Semua tu dibekalkan secara percuma," terang Erina panjang lebar.

"Bukan untuk kegunaan saya tau," sambung Erina sambil tersenyum.

"Erm... Begitu al-kisahnya Cik Erina," ujar Danial.

"Saya pun nak jadi sukarelawan juga boleh ke?" soal Danial lagi.

"Boleh... Memang dialu-alukan, petang ni saya pergi ke pejabat pertubuhan tu, kalau awak nak ikut bolehlah. Kita pergi sama-sama," jawab Erina.

Petang itu Danial dan Erina sama-sama pergi ke pejabat Majlis Aids Malaysia yang terletak tidak jauh dari kampus mereka. Danial turut mendaftarkan dirinya sebagai sukarelawan. Sejak dari itu mereka sering bersama-sama pergi ke pejabat pertubuhan itu. Hubungan mereka menjadi bertambah akrab. Lama kelamaan Danial dapat rasakan bahawa dia benar-benar telah jatuh cinta pada Erina. Danial hanya pendamkan sahaja perasaannya itu. Dia tidak mahu tergopoh-gopoh menyuarakan hasrat hatinya itu.

~

Hari ini hari Ahad, Danial bangun awal kerana ingin menghantar adiknya ke stesen bas. Adiknya akan bertolak ke Johor Baharu untuk menziarahi kakak mereka di sana bersempena cuti pertengahan semester persekolahannya.

Sementara menunggu bas bertolak, Danial dan adiknya pergi bersarapan di salah sebuah restoran di stesen bas itu. Semasa menjamah sarapan pagi itu, Danial ternampak Erina bersama dengan seorang lelaki di stesen bas itu. Kelihatan mereka berdua amat mesra. Ini membuatkan Danial tidak senang duduk. Perasaan cemburunya membuak-buak. Danial tidak sanggup lagi untuk melihat Erina dan lelaki itu. Patah seleranya untuk terus bersarapan di situ.

Selepas menghantar adiknya, Danial terus pulang ke rumahnya. Sepanjang hari itu Danial hanya berkurung di biliknya. Entah kenapa hatinya amat cemburu melihat kemesraan Erina dan lelaki itu. Danial merasakan bahawa Erina tidak jujur dengannya. Kalau dari awal Erina memberitahunya bahawa sudah berpunya, tentu Danial tidak akan menyimpan perasaan pada Erina. Tentu hatinya tidak sakit melihat kemesraan mereka tadi.

Sudah seminggu Danial tidak mengikuti kuliah di kampusnya. Dia hanya berkurung di biliknya sahaja. Alasan diberikan kepada ibunya bahawa universitinya sedang bercuti.Telefon bimbitnya juga ditutup. Danial mahu mengubat kekecewaanya. Fikirnya selama ini dia hanya bermain dengan perasaan sendiri.

"Danial! Danial! Turun bawah kejap, ada orang nak jumpa," laung ibunya dari tingkat bawah rumahnya.

Danial melangkah malas menuruni anak tangga menuju ruang tamu rumahnya. Dari jauh dia nampak kelibat perempuan bertudung duduk di sofa membelakanginya. Danial terus menghampiri perempuan itu. Tersentak Danial apabila mendapati perempuan itu adalah Erina.

"Awak buat apa kat sini Erina?" soal Danial.

"Takkan tak boleh saya menziarahi seorang kawan. Kenapa awak tak datang kuliah? Dah seminggu tau," jawab Erina.

"Puas saya mencari awak. Risau saya.Telefon pun awak tutup. Kawan-kawan awak pun tak tahu awak kemana, nasib baik Izwan bagi alamat rumah awak kat saya," ujar Erina lagi.

"Kenapa awak perlu risau Erina?" soal Danial pula.

"Ye lah, siapa yang tak risau, mana tahu awak sakit ke, ada masalah ke," terang Erina lagi.

"Tak perlulah awak nak risaukan saya Erina. Siapalah saya ni pada awak..." ujar Danial perlahan.

Erina dapat rasakan yang berlainan sekali butir-butir bicara Danial kali ini. Seakan ada sesuatu yang disembunyikan darinya.

"Danial kenapa ni? Saya ada buat salah ke?" soal Erina.

"Awak tak buat salah apa-apa pun... Saya yang menyeksa diri sendiri...." jawab Danial.

"Apa awak cakap ni Danial? Saya tak fahamlah," soal Erina lagi.

"Tak faham tak apalah... Baik awak balik sekarang, nanti pakwe awak marah," jawab Danial endah tak endah.

"Pakwe? Kenapa dengan awak ni Danial?" soal Erina yang masih tidak faham maksud Danial.

"Saya ni yang bodoh. Jatuh cinta dengan perempuan yang sudah berpunya. Inilah akibatnya" jawab Danial.

"Maksud awak...Dengan saya?

"Yelah, siapa lagi... "

"Saya sudah berpunya?"

"Siapa lelaki dengan awak pada Ahad minggu lepas dekat stesen bas?" soal Danial lagi.

"Awak cemburu rupanya... Dia itu abang sayalah Danial. Dia baru sampai dari Perlis," jawab Erina tersenyum. Baru dia faham tentang persoalan-persoalan Danial itu.

"Awak sedar tak Danial... Tadi awak cakap awak jatuh cinta kat saya, betul ke?" soal Erina sambil tersenyum.

"Err... Err.. Saya ada cakap ke tadi?" soal Danial tersekat-sekat. Malunya! Gerutu Danial dalam hatinya.

"Mungkin saya tersilap dengar Danial. Baiklah saya minta diri dulu. Assalamualaikum," Erina cuba menguji Danial.

"Nanti dulu Erina. Memang saya jatuh cinta dengan awak... Dah lama dah, cuma saya pendamkan saja," ujar Danial.

"Boleh ke awak terima cinta saya?" soal Danial.

"Kalau saya tak cintakan awak, mustahil saya akan ke sini, ke rumah awak ni," jawab Erina perlahan.

"Oh... Maksudnya awak datang ni meminang sayalah kan?" ujar Danial sambil tergelak.

"Kenapa tak bawa kedua-dua orang tua awak sekali!" sambung Danial lagi.

Erina terus bangun dan mencubit lengan Danial. Terkial-kial Danial cuba mengelak dari terkena cubitan Erina. Danial bahagia dengan semua ini. Hanya kerana sebuah diari, perhubungannya dengan Erina telah terjalin sehingga membenihkan rasa cinta di hati mereka.

::TamaT::