Cerpen : Penyesalan

Shafy termenung di anjung rumah ibunya itu. Masih terngiang-ngiang lagi leteran ibunya tadi. Ibunya masih tidak dapat menerima keputusannya untuk mendirikan rumahtangga dengan gadis pilihannya sendiri. Bagi Shafy, Rina itu tiada cacat celanya. Mungkin ibunya tidak berkenan kerana cara dan gayanya tidak seperti gadis-gadis Melayu lain yang dibesarkan di kampung yang penuh dengan adat ketimuran. Ibunya asyik membanding-bandingkan Rina dengan Siti, anak kepada sepupu ibunya. Dua pupu kepadanya.

Shafy tahu, dia memang rapat dengan Siti sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Mereka berdua bagaikan belangkas. Di mana ada Shafy, disitulah ada Siti. Begitulah sebaliknya. Dulu Shafy ada juga menaruh perasaan terhadap Siti, sewaktu di sekolah menengah dahulu. Sejak perkenalannya dengan Rina di tempat kerjanya selepas bergelar graduan, Shafy mula menganggap perasaan cintanya pada Siti hanyalah sekadar cinta monyet.

"Kalau arwah ayah kau masih ada, tentu dia pun tak benarkan kau berkahwin dengan Rina budak bandar tu," tiba-tiba ibunya muncul di pintu rumah itu.

"Mak tengok kau dari kecil sampailah kau masuk universiti pun, bukan main rapat lagi kau dengan Siti. Tup-tup bila dah kerja, dah senang, dah kenal dengan orang lain terus kau lupakan Siti tu," bebel ibunya lagi.

"Bukan lupalah Mak... Siti tu tetap kawan Shafy," ujar Shafy.

"Kau tahu tak Shafy... Masa kau tak ada Sitilah yang selalu jenguk-jenguk Mak. Kalau Mak demam dialah yang selalu jaga. Kadang-kadang dia bermalam dan makan kat sini. Kau bukan tak tahu sejak ayahnya meninggal dunia Siti bukan ada saudara mara lain dah kat sini. Maklah satu-satunya saudara dia yang ada kat sini. Dia tu sebatang kara Shafy," sambung ibunya lagi.

"Shafy tahu Mak... Takkanlah kerana kasihan Shafy perlu kahwin dengan dia," jawab Shafy.

"Bukan ke dulu kau pun tergila-gilakan dia. Setiap kali balik sini bukan kau cari mak ni dulu, mesti Siti yang kau cari," balas ibunya pula.

"Itu dulu mak..."

"Ikut suka kaulah Shafy, mak cuma bagi nasihat saja. Keputusan ditangan kau."

Ibunya terus melangkah masuk semula meninggalkan Shafy yang masih bingung memikirkan perkara ini. Dia masih tetap dengan pendiriannya. Dia tahu ibunya tidaklah terlalu keras hati. Pasti nanti ibunya boleh menerima kehadiran Rina. Shafy yakin Siti pasti sudah tahu akan perkara ini. Bukan sekali dua dia membawa Rina balik ke sini. Sudah banyak kali. Tetapi sejak akhir-akhir ini Shafy tidak lagi berpeluang bertemu dengan Siti. Siti sudah tidak lagi seperti dulu. Setiap kali ternampak Shafy, pasti Siti akan cuba mengelak dari terserempak dengannya.

.................

Hari ini hari perkahwinan Shafy dengan Rina. Majlis mereka dilangsungkan di sebuah hotel di ibukota. Ibunya dan saudara-mara terdekat juga hadir meraikannya. Sesekali Shafy cuba mencari kelibat Siti dicelah-celah orang ramai itu. Namun tidak kelihatan.

"Mak... Siti tak datang ke?" soal Shafy bila dia menghampiri meja yang menempatkan ibunya dan saudaranya yang lain.

"Dah kahwin pun kau masih tanya Siti?" perli ibunya.

Siti bersendirian di atas batu di tepi pantai sambil menghadap ke laut. Melihat camar-camar riang berterbangan membuatkan Siti tenang. Alunan lembut bayu menyapa wajahnya membuatkan dirinya lupa seketika kesedihannya. Sambil termenung Siti menguis-nguis kakinya di gigi-gigi air itu. Pilu hatinya hanya dia yang tahu. Perasaan cinta yang dipendamkan selama ini akhirnya berakhir begini. Belum pun sempat dia menyatakan cintanya pada lelaki yang selalu dirinduinya itu. Kini lelaki itu telah menjadi milik orang lain. Bukan dirinya. Biarlah dia sendiri mengubati kekecewaannya.

Bertahun-tahun dia pendamkan rasa cintanya pada Shafy. Pada awalnya dia dapat rasakan bahawa Shafy juga ada menaruh hati padanya. Pernah juga Shafy berkias-kias dengannya perihal perasaan dia terhadap dirinya. Siti tahu sesorang pasti akan berubah mengikut masa dan keadaan. Dan dia telah menjadi mangsa perubahan itu.

"Kat sini rupanya kau Siti, jenuh Mak Su cari kau kat rumah," tegur ibu Shafy.

"Cepat Mak Su balik, ingatkan dua tiga malam Mak Su kat sana," jawab Siti kepada ibu Shafy yang dipanggilnya Mak Su.

"Ish, buat apa Mak Su lama-lama kat sana. Tak pandailah Mak Su nak ikut cara orang kaya ni," ujar ibu Shafy.

"Kenapa Siti tak pergi tadi? Mak Su ingat Siti pergi sekali dengan rombongan tadi," soal ibu Shafy pula.

"Siti tak sihat tadi... Sakit perut pagi tadi Mak Su, Siti tersilap makan kot," jawab Siti cuba berdalih.

Tidak mungkin dia boleh menatap wajah lelaki yang dicintainya itu di atas pelamin bersanding dengan orang lain. Semua itu akan menghiris-hiris hatinya.

.................

Telah dua tahun Shafy dan Rina berkahwin. Sejak dari itu jarang sekali Shafy pulang ke kampung halamannya. Kalau pulang pun hanya dirinya sahaja, tidak bersama isterinya. Sering dia memberi alasan bahawa Rina, isterinya itu terlalu sibuk apabila ditanya oleh ibunya. Sering jugalah dia dileteri ibunya.

"Mak tak tahulah apa kena dengan kau orang berdua ni, sibuk sangat ke sampai susah nak jenguk Mak kat kampung ni, nasib baiklah ada Siti boleh juga dia temankan Mak," leter ibunya ketika Shafy pulang ke kampung.

"Banyak kerja mak... Bukan sengaja Shafy tak mahu balik jumpa Mak," ujar Shafy.

"Ni kau balik kenapa? Mak rasa minggu lepas kau dah balik," soal ibunya.

"Sebenarnya Shafy nak bawa Mak ke rumah Shafy. Rina kena kerja luar negara selama sebulan Mak. Kalau Mak ada bolehlah teman-temankan Shafy," terang Shafy kepada ibunya.

"Itulah Mak cakap, suruh beranak cepat-cepat kau orang berdua tak nak. Kalau ada anak tidaklah sunyi," leter ibunya lagi.

"Mak ikut saya balik nanti ye," kata Shafy sambil tersenyum.

"Boleh, tapi Mak nak bawa Siti sekali... Tidaklah sunyi Mak bila kau pergi kerja," jawab ibunya.

Shafy hanya mengangguk sahaja. Hatinya terselit sedikit kegembiraan apabila ibunya ingin membawa Siti. Sejak akhir-akhir ini dia sering terkenangkan kisah-kisah lalu antara dia dengan Siti. Segalanya terimbau kembali. Shafy sedar, perkahwinannya dengan Rina tidaklah bahagia seperti yang diharapkan. Bahagianya hanya pada sekitar tiga bulan pertama perkahwinan mereka. Setelah itu perangai Rina sudah berubah. Dia sering pulang lewat dari kerja. Apabila ditanya jawapannya adalah berjumpa dengan klien.

Pada awalnya Shafy tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah dia sendiri ternampak Rina bersama lelaki lain baru keluar dari sebuar bar. Mesra sekali lagaknya. Tidak pula Shafy meminta penjelasan dari Rina, kerana dia sudah maklum akan panas baran isterinya itu. Lebih baik didiamkannya sahaja.

"Ya Allah Shafy... Apa kena dengan rumah kau ni? Berselerak macam tongkang pecah! Mengalahkan rumah bujang. Kau ni ada isteri tetapi macam tak ada isteri... Kau tak pernah suruh ke dia berkemas rumah Shafy?" leter ibunya apabila sejurus melangkah masuk ke dalam rumah Shafy itu.

"Rina kan tak ada kat rumah, kalau dia ada mesti dia berkemas Mak," jawab Shafy.

"Kau tu asyik nak menangkan isteri kau saja."

Shafy memandang Siti yang masih tercegat disebelah ibunya. Sepanjang perjalanan dari kampung sampailah ke Kuala Lumpur Siti lebih banyak diam dan termenung sahaja. Sepatah ditanya sepatahlah dijawabnya. Telah hilang kemesraan lalu. Shafy rindukan kemesraan itu.

.................

"Mak berkemas ke ni? Tak perlulah Mak susah-susah. Shafy memang bercadang nak kemas rumah lepas balik dari kerja ni," ujar Shafy setelah melihat rumahnya dalam keadaan kemas apabila pulang dari pejabatnya.

"Bukan Mak yang berkemas. Siti yang buat," jawab ibu Shafy.

"Mana Siti Mak?" soal Shafy.

"Ada kat dapur tu."

Shafy terus melangkah meninggalkan ibunya di ruang tamu menuju ke dapur. Dilihatnya Siti sedang membancuh minuman dan ada sepinggan kuih keria di atas meja makan itu. Tentu Siti yang membuatnya, fikir Shafy. Dahulu Shafy selalu memuji keenakkan kuih keria buatan Siti.

"Siti... Tak perlulah Siti susah-susah buat semua ni... Segan saya," tegur Shafy kepada Siti yang leka membancuh air minuman.

"Tak mengapa Shafy... Bukan susah pun," jawab Siti.

"Siti... Kenapa Siti dah tak macam dulu. Tak semesra dulu. Saya rindukan Siti yang dahulu tu," ujar Shafy lagi.

"Manusia ni sentiasa berubah Shafy, apa nak dihairankan," jawab Siti penuh makna.

Sejak ibunya dan Siti berada di rumah ini segalanya seakan teratur. Rumah sentiasa kemas. Makan dan minumnya terjaga. Shafy suka dengan keadaan ini. Tetapi Siti masih juga begitu, masih cuba mengelak untuk berbual-bual dengan Shafy.

"Mak... Hari Ahad ni Rina balik," ujar Shafy kepada ibunya semasa mereka minikmati hidangan makan malam.

"Kalau macam tu Mak nak baliklah hari Jumaat ni," kata ibu Shafy.

"Tunggulah sampai Rina dulu balik Mak... Lepas tu saya hantarlah Mak balik," pinta Shafy.

"Kalau kau tak mahu hantar pun Mak dengan Siti akan balik naik bas hari Jumaat ni," ujar ibunya lagi.

"Lagipun isteri kau tu bukan suka dengan Mak," sambung ibunya lagi.

.................

Sejak kepulangan ibunya dan Siti ke kampung, Shafy merasa kesunyian. Ditambah lagi dengan kesibukan isterinya yang sering tiada di rumah. Hidup Shafy betul-betul kosong. Disaat kesunyian itu Shafy sering terkenangkan Siti. Rindunya pada Siti membuatkan hatinya resah. Seribu penyesalan menghimpit dirinya. Sesal kerana tersilap memilih teman hidupnya. Shafy tahu Siti masih berkecil hati dengannya. Reaksi dan cara Siti melayannya telah membuktikan andaian Shafy itu.

"Shafy... I nak you ceraikan I," ujar Rina pada suatu malam selepas pertengkaran antara mereka tercetus.

"Kalau you tak ceraikan, I failkan penceraian ni kat mahkamah," sambung Rina lagi.

Shafy bungkam. Dia tidak tahu apa perlu dibuatnya. Hanya kerana dirinya menegur Rina yang sering pulang lewat telah mengakibatkan pertengkaran besar berlaku. Langsung tiada hormat Rina kepadanya lagi. Shafy betul-betul kecewa.

"Ok... I ceraikan you..." ujar Shafy terus keluar dari bilik itu.

Setelah selesai proses penceraian mereka, Shafy terus mengemaskan barang-barangnya yang ada dirumah besar milik Rina itu dan terus pulang menuju ke kampungnya. Dia juga telah meletakkan jawatannya di syarikat milik keluarga Rina itu.

"Itulah kau Shafy... Tak nak dengar cakap Mak," ujar ibunya setelah mengetahui penceraiannya dengan Rina.

"Dah takdir Mak..." jawab Shafy perlahan.

"Selepas ni kau nak kerja kat mana Shafy?" soal ibunya.

"Saya ada hubungi kawan-kawan saya yang kerja kat sini. Mereka akan cuba tolong saya dapatkan kerja. Sementara itu saya menumpang rumah Mak dululah," jawab Shafy.

"Mak tak kisah kau nak duduk dengan Mak. Mak lagi suka," kata ibunya pula.

"Tak pun kau tolong sajalah Siti tu. Sekarang dia dah buka ladang ternakan ayam kat tanah peninggalan arwah ayahnya di hujung kampung ni," sambung ibunya lagi.

"Tengoklah nanti Mak," jawab Shafy.

Keesokkan harinya Shafy memandu keretanya menuju ke ladang ternakan ayam milik Siti. Sampai sahaja di sana dilihatnya Siti sedang berbincang dengan beberapa lelaki. Mungkin pembeli ayam ataupun pekerja-pekerja Siti. Shafy membuat andaian.

"Siti..." sapa Shafy.

"Buat apa Shafy kat sini? Bila sampai?" soal Siti seakan terkejut dengan kehadiran Shafy di situ.

"Baru semalam... Boleh tahan juga projek Siti ni, tak sangka," ujar Shafy.

"Nak hidup Shafy... Takkanlah asyik nak ambil upah menjahit je," jawab Siti ringkas.

"Rina tak ikut sekali ke?" soal Siti pula.

"Tak... Kami dah bercerai," jawab Shafy.

"Maaf... Siti tak tahu," ujar Siti perlahan.

"Tak mengapa Siti, dah takdir," ujar Shafy.

Sejak dari hari itu semakin kerap Shafy pergi ke ladang ternakan ayam milik Siti itu. Shafy ingin cuba mendapatkan kembali cinta Siti itu dan ingin mengulang kembali detik-detik indah kenangan mereka berdua di suatu ketika dahulu.

"Siti... Boleh saya cakap sesuatu?" ujar Shafy ketika mereka bertemu.

"Cakaplah... Siti tak pernah nak halang apa Shafy nak cakap," jawab Siti.

"Boleh tak kita bersama macam dulu..."

"Sekarang ni pun kita macam dulu jugakan? Tiada apa yang berbeza Shafy,"

"Maksud Shafy... Lebih dari itu"

"Lebih yang macam mana?"

"Sudi tak Siti menjadi isteri Shafy,"

"Mudahnya Shafy lupakan bekas isteri Shafy tu... Baru je beberapa minggu..."

"Sebelum ini Shafy tak sedar siapa yang lebih Shafy cintai... Rupanya Siti yang betul-betul Shafy cinta selama ini," ujar Shafy.

"Selepas bercerai baru sedar? Macam tu?" soal Siti mencari kepastian.

"Sebelum itu lagi... Kedatangan Siti ke rumah Shafi hari itu telah meyakinkan Shafy," jawab Shafy lagi.

"Dah terlambat Shafy... Siti dah berpunya."

"Jangan bohong Siti..."

"Shafy dapat rasa Siti masih cintakan Shafy..."

"Memang benar Shafy... Tapi semua itu dah berlalu. Cinta itu biarlah dia kekal bersemadi di dalam hati Siti ini."

"Semua itu akan meyeksa diri Siti sendiri."

"Siti dah lama terseksa..."

Terdiam Shafy seketika. Keresahan terpancar di wajahnya. Perasaannya ketika itu seperti baru putus cinta. Shafy melepaskan satu keluhan yang panjang. Segala sesal terus menikam-nikam batinnya. Terus menghukumnya.

..............

"Janganlah kau bersedih Shafy... Semua ini ketentuannya. Jodoh kau tiada dengan Siti tu..." pujuk ibunya di waktu pagi di hari perkahwinan Siti dengan Khalid, salah seorang pekerja di ladang ternakan ayam Siti itu.

"Semua ini salah saya Mak,"

"Tak perlu dikesalkan... Semua ini ada hikmahnya... Baiklah Shafy, Mak pergi dulu."

Ibunya terus berlalu meninggalkan Shafy berseorangan di rumah itu kerana ibunya perlu pergi ke majlis itu. Ibu Shafy menjadi wakil pihak keluarga Siti dalam urusan perkahwinan ini. Seminggu sebelum hari perkahwinan itu ibunya begitu sibuk menguruskan segala-galanya. Seminggu itu jugalah hati Shafy bagai disiat-siat apabila melihat segala persiapan perkahwinan Siti itu.

Tertutupkah sudah hatimu
Untuk menerima ku lagi
Apakah keras hatimu
Tak bisa lentur lagi

Bukan ku sengaja
Mahu kau terluka
Bukan niatku…

Kalau pun memang aku bersalah
Namun sebesar manakah
Begitu susah untuk kau maafkan
Hingga ingin kau singkirkan

Bumi yang manakah yang tak pernah basah
Bila hujan mencurah
Aku bisa berubah
Usah diturutkan hati marah
Di hati kecilmu
Ku tahu kau tak begitu

Sudah lumrah cinta
Suka bersulamkan air mata
Kita dihiris rencana
Terpetik cinta sempurna...


Mendengarkan lagu dendangan Kumpulan Iklim itu membuatkan Shafy dihimpit seribu penyesalan. Pilu hatinya tidak terkata. Bagaikan segala di dunia ini sudah tidak bererti lagi. Sepanjang hari itu Shafy hanya menghabiskan masa dengan menyusuri pantai meratapi kekecewaannya.

10 comments:

Anonymous said...

abg zam, semakin lama semakin berkualiti hasil karya abg zam...... abg zam bebetul berbakat. Asah lagi bakat abg zam... sha yakin, abg zam mampu buat yg lebih baik...SEMOGA BERJAYA !

Anonymous said...

uhuk2..sedey..
zam aku tgk cerpen ko mkin beh le..
gud job..tahniah..keep it up..
huhu..kata² semangat ni...

zam said...

Jgn cakap macam tu Sha...malu abg zam..hihi..

takde berbakat mana pun.. idea tgh ada..leh la wat..

zam said...

biasa je la fiza..terima kasih le sebab baca cerpen aku..

e-man in the house... said...

sedeynya.. sib baik tak kuor air mate... best ar cerpen abg zam...

Anonymous said...

sedeh nape? sebab shafy xdapat siti ke? padan muka dia...sapa suh wat camtu kat siti..hihi

e-man in the house... said...

itu lah kehidupan... bila dapat yg lawa.. kaya.. yang biasa2 ni.. akhirnya di tinggalkan.. pas tu... cari balik.. tak der maknanya...
aiiittt.. beremosi plak... sowey...

zam said...

tulah...jgn menyesal kemudian hari..

WiShA said...

ya adoi sangat sedih sekali lor :(..
sesal dahulu pndptn..sesal kemudian tiada berguna hehehe...

sgt menyentuh hati & perasaanku cerpen ini..hehe

zam said...

hehe,,thanx wisha sudi baca... tp skang ni xde idea pun nak wat cerpen lg