Aku Dan Hadif

Sementara aku masih berada di alam dan suasana yang bosan ini, aku ingin mengisi ruang-ruang yang bosan ini dengan menceritakan perihal aku dengan Hadif. Antara seorang ayah dan anak. Ini satu peristiwa yang baru berlaku malam tadi.

Malam tadi aku dan isteriku sedang asyik menonton TV, Hadif pula leka bermain dengan bola-bolanya berhampiran dengan meja makan. (Dia ada banyak bola, kalau pergi mana-mana hanya bola yang dia selalu merengek untuk dibelikan) Dia selalu bermain seorang diri. Bak kata orang syok sendiri.

Tiba-tiba terdengarlah satu bunyi yang kuat. Bunyi yang terus menyedarkan kami berdua dari terus dibuai keasyikan menonton rancangan TV. Aku pun terus bergegas ke tempat kejadian. (Macam pegawai penyiasat). Aku mendapati ada sebuah kerusi terbalik dan betul-betul berada di sebelah suspek (Hadif). Suspek itu berada dalam keadaan yang ketakutan dan hampir-hampir kebingungan. Dengan raut wajah yang menampakkan situasi yang cemas, suspek itu memandang wajahku. Mungkin meminta penjelasanku mengenai peristiwa sebentar tadi. Atau mungkin cuba untuk memberitahu aku bahawa dirinya tidak bersalah.

Aku terus menghampiri suspek itu. Tiba-tiba suatu rasa yang tidak begitu asing bagiku menyelinap masuk dalam rongga-rongga perasaanku. Aku cuba mengamati dan memahami rasa itu. Rupa-rupanya aku tengah marah. Tanpa membuang masa aku terus menzahirkan rasa itu dengan memarahi suspek itu.

"Lain kali mainlah lagi dengan kerusi tu! Nasib baik tak kena kaki! Pergi duduk kat ibu!" aku memarahi suspek itu sambil mengangkat kembali kerusi itu.

Suspek itu kelihatan sedih. Airmatanya mula merembes keluar. Setitik demi setitik menitis mengalir di pipinya yang halus itu. Dia masih memandang aku dengan linangan airmata dan diselangi bunyi esakannya. Dilihatnya aku masih dalam keadaan marah, dia terus berlari mendapatkan ibunya yang sedari tadi hanya memerhatikan adegan kami berdua.

Suspek terus menyembamkan mukanya di dada ibunya dengan esak tangis yang begitu sedih. Sesekali suspek itu mengangkat mukanya dan memandang aku. Cuba meraih simpatiku. Airmatanya masih berjejeran keluar dari matanya yg redup itu. Perasaan simpati menguasai diriku. Aku menghampirinya dan terus mendukungnya. Dalam waktu itu juga aku sedar bahawa aku bukanlah pegawai penyiasat yang sedang menyoal siasat pesalah.

Semasa berada dalam dukungan aku, Hadif (suspek tadi) terus memeluk leherku dan mencium pipiku berkali-kali. Adakah ini satu rasuah untuk menutup kesalahannya? Aku tertanya-tanya. Buat apa dia hendak merasuah aku, aku bukanlah pegawai penyiasat lagi. Dia masih lagi mencium dan menekan mukanya di pipiku yang tidak segebu dan semulus 10 tahun yang lalu. Perlakuannya itu menyebakkan hatiku. Airmataku seakan ingin megalir keluar tetapi dengan sedaya upaya dan segala keringat yang ada ku tahan airmata itu dari keluar.

Aku tahu dia cuba memujuk hatiku kembali. Ingin meminta maaf. Cuba meyakinkan aku bahawa apa yang telah terjadi tadi bukan kehendak dan kemahuannya. Mungkin dia cuba menyatakan bahawa dia seperti jua insan lain yang tidak mahu melakukan sesuatu yang salah. Aku pun membalas ciumannya dan memeluk dirinya itu. Aku usap-usap kepalanya dan menyeka airmata di pipinya itu. Aku mengeletek dadanya dan dia kembali tersenyum dalam keadaan matanya yang bengkak akibat menangis tadi.

Aku terharu dengan apa yang terjadi itu. Sesuatu perkara yang tidak ku sangka berlaku.
Aku bertanya kepada isteriku,

"Kenapa Hadif macam ni ek. dah kena marah pastu duk cium-cium abang plak"

Isteriku menjawab,

"Dia sedih la sebab abang marah dia... Abang kan selalu manjakan dia... Tiba-tiba marah dia, mestilah dia sedih... Dia cium tu dia nak pujuk abang lah tu"


Aku sedar Hadif tak pernah ambil kisah kalau orang lain memarahinya. Dia hanya buat muka selamba sahaja bila orang lain memarahinya. Terutama sekali ibunya. Dia hanya gelak bila ibunya sedang memarahi dirinya itu.

Aku bukanlah terlalu manjakan dia. Cuma aku suka melayan dia bermain. Suka melayan karenah dia. Bila aku balik kerja pasti dia akan ajak aku bermain-main dengan dia. Hadif memang rapat dengan aku. Dia suka tidur meniarap atas dada aku. Setiap kali hendak tidur pasti dia akan mencari aku.

Setiap kali orang menyakat atau mengusik dia pasti dia akan menjerit "Ayahhhh...!".
Kalau dia tidak dapat ambil mainan dia yang tersepit pun dia akan jerit "Ayahhh...!"
Biasanya budak-budak akan menyebut ibu atau emak. Hadif lain sikit.

Apabila dia demam barulah dia manja dengan ibunya. Bila dia terjatuh pun begitu juga, ibunyalah tempat dia mengadu. Ada sesuatu perkara dia suka buat dengan aku. Begitulah sebaliknya.

Panjang pemelalutan aku kali ini. Mungkin ada yang tidak faham dengan apa yang aku cuba sampaikan. Aku tidak kisah asalkan masa bosanku ini terisi juga akhirnya.

1 comments:

Anonymous said...

kisah hadif dan ayah...
ok ape.. saya tumpang baca...