7 comments

Cerpen : Penantian Hampa

Hadif termenung bersendirian di dalam bilik pejabat itu. Fikirannya melayang memikirkan seseorang. Seseorang yang amat dirinduinya. Seingat-ingatnya sudah hampir 5 tahun dia tidak bertemu atau mendengar khabar berita dari orang itu. Entah kenapa dirinya masih setia menunggu.

"Hadif... Walau kita berjauhan, Min harap Hadif tak akan sesekali lupakan Min. Min pun tak akan lupakan Hadif," ujar Yasmin ketika sedang menunggu penerbangannya ke Russia.

"Hadif janji Min... Hadif akan tunggu kepulangan Min. Walau selama mana pun," kata Hadif sambil menggenggam tangan Yasmin.

Janji itulah yang membuatkan Hadif masih setia menanti kepulangan Yasmin ke sisinya. Dia tidak tahu sampai bila dia harus menunggu. Kedua-dua orang tuanya sendiri sering membebel. Lebih-lebih lagi ibunya, asyik menyuruhnya mendirikan rumahtangga. Maklumlah hanya dirinya sahaja anak mereka. Lagipun umurnya pun sudah makin meningkat.

Sekarang hatinya masih belum terbuka untuk menerima kehadiran perempuan lain selain Yasmin. Itulah cinta pertamanya. Perkenalan yang bermula dari zaman persekolahan sehingga membibitkan rasa cinta antara mereka.

Hadif sendiri buntu memikirkan di mana Yasmin berada sekarang. Sudah banyak kali juga Hadif pergi mencari Yasmin di Russia itu. Sampaikan pihak universiti dan Kedutaan Malaysia sudah kenal akan dirinya. Lamunan Hadif dikejutkan dengan satu panggilan telefon. Hadif terus menjawabnya.

"Hadif, ini mak cik ni... Tadi ada pihak kedutaan Malaysia di Russia hubungi mak cik. Pihak kedutaan dah tahu kat mana Yasmin berada sekarang," ujar mak cik Salwana ibu kepada Yasmin sambil teresak-esak.

"Ye ke mak cik? Alhamdulillah... Dia kat mana sekarang?" soal Hadif pula. Riang hati Hadif menerima berita ini.

"Ini yang mak cik sedih ni... Pihak kedutaan cakap Yasmin ada di sebuah penjara kat sana. Dia dikenakan hukuman gantung sampai mati kerana mengedar dadah," ujar mak cik Salwana perlahan.

Terpaku Hadif mendengarnya. Tidak mungkin Yasmin melakukan perkara itu. Tentu ada sesuatu disebalik perkara ini. Hadif bercadang untuk ke Russia bertemu dengan Yasmin. Dia akan mendapatkan maklumat dari pihak Kedutaan Malaysia di sana. Dia tahu Yasmin tidak bersalah dan dia akan cuba sedaya upaya untuk membantu Yasmin.

Sudah dua hari Hadif dan ibu bapa Yasmin di kota besar Moscow di Russia itu. Dua hari ini jugalah dia menghabiskan masa di pejabat Kedutaan Malaysia di sana untuk berurusan dengan pihak penjara di sana. Mereka dijadualkan akan bertemu Yasmin pada keesokan harinya. Segala surat-surat kebenaran telah diperolehi.

Hadif tidak sabar menunggu hari esok. Sepanjang malam dia termenung di bilik hotelnya. Bermacam-macam andaian bermain di fikirannya. Entah bagaimana keadaan Yasmin. Sedih Hadif memikirkannya.

Hadif dan kedua-dua ibubapa Yasmin berdebar-debar menanti kemunculan Yasmin di bilik lawatan di penjara itu. Setelah hampir 15 minit menanti, akhirnya Yasmin muncul dengan tangan bergari sambil diiringi dua orang pegawai penjara.

Berlainan sekali wajah Yasmin itu. Tiada sedikit pun keceriaan terpamer di wajah itu.
Mereka hanya mampu melihat dan berbual-bual di balik cermin tebal yang memisahkan mereka. Pilu Hadif melihat keadaan Yasmin dan ibubapanya. Perbualan mereka hanya di penuhi esak tangis sahaja.

"Hadif... Mak cik dan pak cik keluar dulu... Hadif berbuallah ye..." ujar ibu Yasmin sambil melangkah longlai keluar dari bilik itu dengan esakan yang masih bersisa.

Hadif mencapai gagang telefon yang disediakan di bilik itu dan hanya merenung wajah muram milik orang yang amat dicintainya itu. Wajah yang menyimpan pelbagai penderitaan.

"Hadif... Maafkan Min..." perkataan pertama keluar dari mulut Yasmin dan Yasmin terus menangis tersesak-esak.

"Tidak sangka Hadif masih setia tunggu Min..." ujar Yasmin lagi.

Yasmin menangis teresak-esak memandang Hadif. Tidak disangkanya lelaki di depannya ini masih setia menantinya dan masih sudi datang berjumpa dengannya walaupun tahu keadaannya yang sebegini.

Hadif pula hanya diam dengan airmatanya menitis keluar perlahan-lahan. Sebak dadanya sehingga tidak mampu untuknya berkata-kata. Rindunya pada Yasmin terubat juga walau begini keadaan Yasmin sekarang ini.

"Min, masih adakah peluang untuk Min keluar dari sini?" soal Hadif.

"Entahlah Dif..." Yasmin menjawab ringkas.

"Bagaimana perkara ni boleh berlaku?" soal Hadif lagi.

Yasmin menceritakan segala-galanya kepada Hadif dari mula sehingga dia ditangkap dan dikenakan hukuman. Rupa-rupanya Yasmin terperangkap dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berselindung di balik syarikat yang kononnya menjual dan membekalkan peralatan pejabat. Yasmin tertarik bekerja sambilan di situ kerana di tawarkan upah yang agak lumayan.

"Min... Hadif akan cuba tolong Min. Hadif akan cari peguam yang terbaik disini untuk bebaskan Min dari sini," ujar Hadif.

"Susah Dif... Mana kita nak cari bukti. Min ditangkap dengan dadah tu ada bersama Min. Macam mana nak buktikan yang Min tak bersalah? Min dah lalui dua proses rayuan... Semuanya gagal Dif," ujar Yasmin dengan suara yang lemah.

"Semua sudah berakhir Dif... Bila-bila masa saja Min akan digantung," ujar Yasmin lagi dengan airmata masih segar mengalir dipipinya.

Hadif berusaha mencari peguam yang terbaik di Russia untuk membuka semula kes Yasmin dan membebaskan Yasmin. Kebanyakan peguam yang dijumpainya tidak sanggup menerima kes itu. Semua menyatakan bahawa tiada ruang lagi untuk membebaskan Yasmin.

Sudah hampir sebulan Hadif di kota Moscow ini. Hampir kesemua pejabat peguam di kota itu telah dihubunginya. Segala usahanya berakhir setelah hari pihak penjara menghubunginya memaklumkan bahawa Yasmin akan digantung pada keesokkan harinya.

Hancur luluh hati Hadif menerima berita itu. Lemah segala sendi-sendinya. Penantiaannya selama ini berakhir begini.

::Tamat::

0 comments

Aku yang Tewas

ketika kurasakan cintaku telah mati
kubiarkan diriku terhempas terbiar
dengan luka-luka yang masih segar
apa yang ku mahu hanya satu
aku hanya ingin tersenyum
seperti waktu dulu..

kini aku rasa...
bumi kupijak bukan tempatku
langit ku junjung bukan pelindungku
angin menghembus seolah mengejekku
sinar mentari seolah cuba untuk menyakitiku lagi
dingin malam bagai menghiris-hiris lukaku

aku akan membiarkan saja luka itu
semakin membusuk
aku harap suatu hari nanti
akan ada yang mengubatnya
walau bukan dari dia yang menghiris luka ini
siapa-siapa saja..
aku pasrah...

1 comments

Mata ke Hati

kulihat satu sinar di matamu
memancar pada sudut berbeza
menebar pesona yang indah
memaksa aku terus memandangnya..

tatap matamu buat hatiku tersungkur
debar kencang degup jantungku
gelap duniaku seketika
hanya sinar matamu terangi gelapku..

tak mungkin ku hentikan tatapku
satu hasrat telah wujud dari tatap ini
hasrat luhur dari hatiku ingin terus ke hatimu
tapi masih ragu-ragu masih lagi berkira-kira..
hanya sekadar singgah di kelopak matamu
ragu-ragu untuk terus menuju hatimu...

kembali aku menatap matamu
ingin ku pastikan hasrat itu
adakah masih terhenti di kelopak matamu itu?
atau telah sampai ke dasar hatimu...

kerdipan manja matamu
meyakinkan aku
hasrat itu telah sampai destinasinya...

mata bertemu mata
hati sama hati telah bersatu...

3 comments

Hadif Yang Terkini #4

• Berjalan-jalan sambil makan biskut

• Kiri..kanan..kiri kanan cepat jalan!


• Seronok dapat berjalan dengan kaki sendiri


• Mandi di depan khalayak umum

4 comments

Cerpen : Pengorbanan

Azlan termenung di beranda rumahnya. Memerhatikan gelagat anak-anak kecil bermain bersama-sama. Sesekali terselit gelak tawa antara mereka. Terubat sedikit rindu pada anaknya. Sudah 3 tahun dia tidak bertemu dengan anak perempuannya. Itulah satu-satu zuriatnya.

"Jauh abang termenung!" sapa Farah yang dari tadi melihat abangnya itu asyik termenung.

"Tak adalah Farah. Abang tengok budak-budak tu bermain," jawab Azlan.

"Farah tau... Abang tak perlu sembunyikan dari Farah. Abang rindu anak abang kan?" ujar Farah.

"Ayah mana tak rindukan anak," jawab Azlan perlahan.

"Sampai bila abang nak macam ni. Abang pergilah KL jumpa dengan anak abang," ujar Farah lagi.

"Abang tak boleh pergi. Abang dah janji,"

"Abang tak habis-habis dengan janji abang tu. Sampai bila bang?"

Azlan melepaskan satu keluhan panjang. Memang benar dia masih terikat dengan janji yang di buatnya 3 tahun yang lepas. Saat itu dia begitu terdesak. Semua ini demi memastikan kebahagiaan anaknya.

"Buat apa kau datang jumpa papa? Kan papa dah larang kau jejakkan kaki ke sini!," soal bapa mertuanya itu.

"Kau nak apa dari papa?" soal bapa mertuanya lagi.

"Alisha... Dia sakit..." jawab Azlan tersekat-sekat.

"Pergilah ke hospital. Papa bukan doktor," tempelak bapa mertuanya.

"Kami perlukan duit papa, Alisha jantungnya berlubang. Kami tak mampu..." jawab Azlan.

"Betul kau nak papa bantu?

"Betul papa... Kami perlukan duit sekarang ni'," jawab Azlan lagi.

"Boleh... Tapi bersyarat,"

"Apa syaratnya papa?" soal Azlan.

Terdiam Azlan mendengar syarat yang diberikan bapa mertuanya itu. Tidak disangkanya begitu berat syarat yang diletakkan. Demi anaknya, Azlan rela menerima segala syarat itu.

"Bagaimana? Setuju?" bapa mertuanya masih menunggu jawapan darinya.

"Saya setuju," jawab Azlan.

Sejak dari itu Azlan sudah tidak berjumpa dengan anaknya lagi. Ada juga dia mencuri peluang melihat anaknya di hospital itu. Setelah dia pasti anaknya betul-betul sihat barulah dia pergi meninggalkan ibu kota ini. Demi janjinya pada bapa mertuanya.

Dia sedar dia bukanlah menantu pilihan keluarga Datuk Hashim itu. Dia hanyalah seorang juruteknik di bangunan pejabat Datuk itu. Perkenalannya dengan Qistina, anak tunggal Datuk itu bermula kerana dia sering ke pejabat Datuk itu menjalankan pemeriksaan rutin sistem penghawa dingin di pejabat itu.

Dia sendiri tidak menyangka Qistina boleh jatuh hati padanya. Mungkin kerana masa itu Qistina masih muda. Masih belum kenal realiti dunia ini. Dia tahu sejak kecil Qistina di kongkong oleh keluarganya. Hidupnya cuma di rumah besar itu sahaja. Pergaulannya terbatas. Mungkin kerana itu Qistina mudah jatuh cinta padanya.

Jodoh telah menyatukan mereka berdua. Walau pada asalnya ayah Qistina menentang keras perkahwinan itu. Ayahnya terpaksa setuju setelah didesak oleh Datin Azrina, ibu Qistina yang memahami kehendak Qistina dan Azlan. Selepas berkahwin, Qistina dan Azlan tidak di benarkan lagi menjejakkan kaki ke rumah besar itu.

"Abang ni... Dah pukul satu tengah hari dah ni, masih kat beranda ni lagi! Sudah-sudahlah tu bang. Jangan asyik termenung je. Ibu dah panggil makan tu," bebel Farah yang tidak senang melihat keadaan abangnya itu.

Farah faham bagaimana perasaan abangnya. Seorang ayah dan suami yang merindui anak dan isterinya. Hidup abangnya teramat sepi. Jarang sekali dia melihat abangnya keluar dengan kawan-kawannya di kampung ini. Setiap hari rutin abangnya boleh dikatakan sama sahaja. Pagi pergi menoreh di kebun getah peninggalan arwah ayah mereka, petang pasti abangnya ada di kebun sayur di belakang rumah mereka.

"Farah... Petang ni temankan abang pergi pekan kejap, abang nak beli tiket bas," kata Azlan semasa mereka makan tengahari.

"Kau nak kemana Lan?" soal ibunya pula.

"Lan nak ke Kuala lumpur bu..." jawab Azlan.

Ibunya dan Farah hanya diam sahaja. Mereka tahu penderitaan batin Azlan. Telah terlalu lama Azlan hidup kesepian. Merindui anak dan isterinya. Petang itu Azlan dan Farah pergi ke pekan dengan menaiki motorsikal usang milik Azlan. Hanya 10 minit mereka sudah sampai ke stesen bas di pekan itu.

"Farah tunggu kat motor ye... Biar abang pergi beli tiket," ujar Azlan setelah membuka topi keledarnya dan meletakkan di atas motor itu.

Azlan berlari-lari anak melintasi jalan yang agak sibuk dengan kenderaan. Farah hanya melihat abangnya dari atas motor itu. Dia begitu kasihankan abangnya. Tidak pernah dia jumpa lelaki yang setabah abangnya.

Dari jauh Farah melihat abangnya tersenyum sambil memegang tiket bas. Jelas kegembiraan terpancar dari wajah abangnya itu. Sedang asyik abangnya memerhatikan tiket yang di pegangnya tiba-tiba terdengar satu bunyi yang kuat.

"Abang!" jerit Farah sambil berlari menuju ke tengah jalan mendapatkan abangnya yang terbaring berlumuran darah.

"Abang... Bangun bang... Jangan tinggalkan Farah!" rintih Farah sambil menangis.

Azlan sudah tidak bergerak lagi. Seorang perempuan keluar dari kereta BMW yang melanggar Azlan dalam keadaan yang masih terkejut. Dia menghampiri Farah dan jasad Azlan yang sudah kaku itu.

"Dik... Maafkan kakak... Pemandu kakak..."

"Kak Qistina?" ujar Farah yang tergamam melihat Qistina di hadapannya.

Qistina menangis teresak-esak di tepi pusara Azlan. Di sebelahnya seorang budak perempuan berumur dalam lingkungan 4 tahun yang masih mentah untuk memahami keadaan ini. Dia teramat sedih setelah mengetahui perkara yang sebenarnya dari Farah. Tidak disangka begitu besarnya pengorbanan Azlan.

Selama ini dia begitu mendendami lelaki ini. Fikirnya Azlan lari kerana tidak mampu memikul tanggungjawabnya sebagai seorang ayah. Di tambah lagi dengan cemuhan-cemuhan ayahnya kepada Azlan yang menyatakan Azlan seorang yang tidak bertanggungjawab.

Mungkin ini hikmah di sebalik permintaan Alisha, anak perempuannya yang merengek untuk singgah makan di pekan ini semasa dalam perjalanan menuju ke Langkawi untuk bercuti. Ini semua adalah ketentuannya. Qistina redha dengan apa yang berlaku.

"Maafkan Qis abang..."

:::TAMAT:::

5 comments

Permata Hatiku


saat ini
aku tak punya banyak kata
melihat wajahmu saja
aku sudah bahagia

7 comments

Kehendak Takdir (Part 13)

Sudah seminggu Erin berada di kampung halamannya. Dalam minggu itu dia begitu sibuk dengan kerjanya. Dia sering pulang lewat ke rumahnya. Semua ini demi memastikan cawangan baru syarikat tempat kerjanya beroperasi dengan lancar.

Sejak Erin berada di kampungnya, kerap jugalah Azmi menghubunginya. Boleh dikatakan hampir setiap masa. Pernah juga Azmi mengajaknya makan tengah hari bersama-sama. Tetapi Erin sering menolaknya dengan alasan sibuk. Erin cuba menolak untuk tidak mendekatkan dirinya dengan Azmi.

Jam sudah hampir pukul satu tengah hari. Mungkin Azmi sudah ada menunggu di bawah lobi pejabatnya itu. Kali ini Erin tidak dapat menolak ajakan Azmi untuk makan tengah hari bersama-sama. Sudah tiada alasan lagi untuk diberikan kepada Azmi. Erin sendiri tidak sampai hati untuk menghampakan sahabatnya itu.

Mereka menjamu selera di salah sebuah restoran tidak jauh dari pejabat Erin. Begitu bersemangat Azmi menceritakan perihal projek tanaman cendawannya kepada Erin. Erin hanya sekadar mendengar sahaja sambil menikmati hidangan tengahari itu.

“Erin macam takde mood je ni,” Azmi bersuara setelah dilihatnya Erin hanya sekadar mendengar sahaja apa yang diceritakannya.

“Tak adalah Mie, Erin Ok,” jawab Erin.

“Selalu Erin tak macam ni. Biasanya Erin yang lebih banyak cakap dari Mie,” ujar Azmi.

“Erin tak suka keluar dengan Mie ke?” soal Azmi lagi.

“Bukan macam tu lah Mie. Mungkin Erin penat sebab banyak kerja kat pejabat tadi,” jawab Erin lagi.

“Erin tahu tak, projek cendawan Mie tu Mie buat semata-mata kerana Erin tau,” ujar Azmi.

“Kenapa macam tu? Erin ingat Mie buat kerana nak ubah nasib keluarga Mie,” soal Erin walaupun sebenarnya dia sudah maklum akan perkara ini.

“Sebab Mie sayangkan Erin, Mie nak memperisterikan Erin,” jawab Azmi sambil merenung mata Erin

“Kalau sekarang ni Erin cakap yang Erin tak akan berkahwin dengan Mie macam mana?” soal Erin ingin menduga Azmi.

“Mie akan lari dari sini”

“Projek Mie macam mana?

“Mie tak peduli”

“Keluarga Mie? Mak Mie yang sakit tu?”

Azmi terdiam seketika sambil melepaskan keluhan panjang. Dipandangnya wajah Erin. Terbayang seketika wajah ibunya yang terlantar di rumahnya.

“Mie tak boleh macam ni.. Mie kena lebih bertanggungjawab dengan hidup Mie, hidup keluarga Mie. Itu yang lebih penting,” ujar Erin.

“Erin tahu tak… Setiap hari Mie ingatkan Erin. Kerana Erinlah Mie boleh berjaya sampai sekarang. Mie anggap Erin sebagai pembakar semangat Mie” ujar Azmi.

“Mie tak tahu macam mana Mie nak hadapi kenyataan yang Erin tak akan terima Mie sampai bila-bila. Belum terfikir di benak Mie ni lagi” sambung Azmi.

“Cinta tak boleh dipaksa Mie”

“Kita boleh mencuba”

“Erin tak akan mencuba”

“Kenapa?”

“Biarlah cinta tu datang sendiri”

Azmi mengeluh lagi. Dia tidak tahu lagi bagaimana caranya untuk meyakinkan Erin yang dia begitu mengharapkan cinta si gadis itu.

Selepas pertemuan mereka tempoh hari. Azmi sudah tidak lagi menghubungi Erin, samada di pejabat atau pun menerusi telefon bimbit Erin. Sudah hampir dua minggu Azmi tidak menghubunginya. Tercalit sedikit kerisauan di hati Erin. Dia cuba menghubungi telefon bimbit Azmi. Tidak berjawab. Ini menambah lagi kerisauan Erin.

Petang itu Erin singgah di tapak projek tanaman cendawan Azmi. Ada beberapa pekerja Azmi masing-masing sibuk dengan kerjanya. Erin cuba mencari kelibat Azmi.

“Cik nak cari siapa?” Tiba-tiba ada suara menyapanya.

“Azmi ada?” Soal Erin kepada pekerja Azmi itu.

“Dia dah seminggu tak datang kerja. Saya pun tak tahu sebabnya,” jawab pekerja itu.

“Habis tu siapa yang uruskan kat sini?” soal Erin lagi.

“Adik dia ada datang. Tapi sekarang dia dah balik. Cubalah Cik pergi ke rumah dia,” terang pekerja itu lagi.

Erin terus memandu keretanya menghala ke rumah Azmi. Sekejap saja dia sudah berada di halaman rumah Azmi. Ada sebuah motorsikal di bawah pokok yang rendang itu. Mungkin kepunyaan adik Azmi. Fikir Erin.

Erin memberi salam. Setelah tiga kali barulah salamnya berjawab. Adik perempuan Azmi muncul di muka pintu dengan lengkap bertudung dan ada bekas makanan ditangannya.

“Lia nak kemana ni bawa bekas makanan tu?” soal Erin kepada adik Azmi.

“Mak sakit teruk Kak Erin. Ada kat hospital. Abang Azmi yang jaga,” jawab Alia.

“Dah lama ke Lia?”

“Dah seminggu dah Kak Erin,” jawab Alia.

“Kita pergi sama-samalah Lia,”

“Tak menyusahkan Kak Erin ke?

“Apalah yang susahnya… Cepat naik kereta Kak Erin,” ujar Erin terus masuk ke keretanya.

Tak sampai 15 minit kerata dipandu Erin sudah sampai ke Hospital Kangar. Mereka berdua berjalan pantas menuju ke wad ibu Azmi. Sedang mereka berjalan tiba-tiba Alia mendapat satu panggilan telefon. Serta merta muka Alia adik Azmi itu berubah. Air matanya deras melungsuri pipinya yang mulus itu.

“Mak dah takde Kak Erin. Abang Azmi baru telefon,” kata Alia dengan esakan yang semakin kuat.

Innalillah… Sabar Lia…” Erin memeluk menenangkan Alia. Airmata Erin perlahan-lahan menitis.

Bersambung

3 comments

Berakhirnya Pencarianku.

apa lagi yang ku mahu
semua yang ku miliki
datangnya dari mahuku
tidak cukupkah itu?

apa lagi yang ku cari
semua yang ku temui
asalnya dari pencarianku
perlukah aku mencari lagi?

aku sedar aku manusia
tidak pernah sesekali puas
dengan apa yang ada

aku tidak mahu
meratapi satu kehilangan
yang semasa adanya
aku tak menghargainya...

1 comments

Ampuni Aku

aku seperti insan yang lain
tidak lepas dari dosa
sering jua aku meratapi
setiap dosa-dosaku

jangan sesekali samakan aku
dengan insan yang selalu alpa
yang bangga dengan setiap dosa-dosanya
yang saban waktu melupakan-MU

aku insan biasa
cuba untuk menjadi baik
ampunkan aku Ya ALLAH
berikan hidayah-MU buatku..

5 comments

Hadif Yang Terkini #3

• Hadif selepas berjogging

• Hadif di Carrefour


• Hadif di taman

• Hadif kebosanan

4 comments

Hadif Yang Terkini #2

Hadif dengan basikalnya.

Hadif semakin tembam.


Hadif di Zoo Negara

5 comments

Raya 2007

Sebahagian dari foto-foto semasa raya 2007. Sebenarnya malas nak upload. Ada masa upload lagi..