Cerpen : Pengorbanan

Azlan termenung di beranda rumahnya. Memerhatikan gelagat anak-anak kecil bermain bersama-sama. Sesekali terselit gelak tawa antara mereka. Terubat sedikit rindu pada anaknya. Sudah 3 tahun dia tidak bertemu dengan anak perempuannya. Itulah satu-satu zuriatnya.

"Jauh abang termenung!" sapa Farah yang dari tadi melihat abangnya itu asyik termenung.

"Tak adalah Farah. Abang tengok budak-budak tu bermain," jawab Azlan.

"Farah tau... Abang tak perlu sembunyikan dari Farah. Abang rindu anak abang kan?" ujar Farah.

"Ayah mana tak rindukan anak," jawab Azlan perlahan.

"Sampai bila abang nak macam ni. Abang pergilah KL jumpa dengan anak abang," ujar Farah lagi.

"Abang tak boleh pergi. Abang dah janji,"

"Abang tak habis-habis dengan janji abang tu. Sampai bila bang?"

Azlan melepaskan satu keluhan panjang. Memang benar dia masih terikat dengan janji yang di buatnya 3 tahun yang lepas. Saat itu dia begitu terdesak. Semua ini demi memastikan kebahagiaan anaknya.

"Buat apa kau datang jumpa papa? Kan papa dah larang kau jejakkan kaki ke sini!," soal bapa mertuanya itu.

"Kau nak apa dari papa?" soal bapa mertuanya lagi.

"Alisha... Dia sakit..." jawab Azlan tersekat-sekat.

"Pergilah ke hospital. Papa bukan doktor," tempelak bapa mertuanya.

"Kami perlukan duit papa, Alisha jantungnya berlubang. Kami tak mampu..." jawab Azlan.

"Betul kau nak papa bantu?

"Betul papa... Kami perlukan duit sekarang ni'," jawab Azlan lagi.

"Boleh... Tapi bersyarat,"

"Apa syaratnya papa?" soal Azlan.

Terdiam Azlan mendengar syarat yang diberikan bapa mertuanya itu. Tidak disangkanya begitu berat syarat yang diletakkan. Demi anaknya, Azlan rela menerima segala syarat itu.

"Bagaimana? Setuju?" bapa mertuanya masih menunggu jawapan darinya.

"Saya setuju," jawab Azlan.

Sejak dari itu Azlan sudah tidak berjumpa dengan anaknya lagi. Ada juga dia mencuri peluang melihat anaknya di hospital itu. Setelah dia pasti anaknya betul-betul sihat barulah dia pergi meninggalkan ibu kota ini. Demi janjinya pada bapa mertuanya.

Dia sedar dia bukanlah menantu pilihan keluarga Datuk Hashim itu. Dia hanyalah seorang juruteknik di bangunan pejabat Datuk itu. Perkenalannya dengan Qistina, anak tunggal Datuk itu bermula kerana dia sering ke pejabat Datuk itu menjalankan pemeriksaan rutin sistem penghawa dingin di pejabat itu.

Dia sendiri tidak menyangka Qistina boleh jatuh hati padanya. Mungkin kerana masa itu Qistina masih muda. Masih belum kenal realiti dunia ini. Dia tahu sejak kecil Qistina di kongkong oleh keluarganya. Hidupnya cuma di rumah besar itu sahaja. Pergaulannya terbatas. Mungkin kerana itu Qistina mudah jatuh cinta padanya.

Jodoh telah menyatukan mereka berdua. Walau pada asalnya ayah Qistina menentang keras perkahwinan itu. Ayahnya terpaksa setuju setelah didesak oleh Datin Azrina, ibu Qistina yang memahami kehendak Qistina dan Azlan. Selepas berkahwin, Qistina dan Azlan tidak di benarkan lagi menjejakkan kaki ke rumah besar itu.

"Abang ni... Dah pukul satu tengah hari dah ni, masih kat beranda ni lagi! Sudah-sudahlah tu bang. Jangan asyik termenung je. Ibu dah panggil makan tu," bebel Farah yang tidak senang melihat keadaan abangnya itu.

Farah faham bagaimana perasaan abangnya. Seorang ayah dan suami yang merindui anak dan isterinya. Hidup abangnya teramat sepi. Jarang sekali dia melihat abangnya keluar dengan kawan-kawannya di kampung ini. Setiap hari rutin abangnya boleh dikatakan sama sahaja. Pagi pergi menoreh di kebun getah peninggalan arwah ayah mereka, petang pasti abangnya ada di kebun sayur di belakang rumah mereka.

"Farah... Petang ni temankan abang pergi pekan kejap, abang nak beli tiket bas," kata Azlan semasa mereka makan tengahari.

"Kau nak kemana Lan?" soal ibunya pula.

"Lan nak ke Kuala lumpur bu..." jawab Azlan.

Ibunya dan Farah hanya diam sahaja. Mereka tahu penderitaan batin Azlan. Telah terlalu lama Azlan hidup kesepian. Merindui anak dan isterinya. Petang itu Azlan dan Farah pergi ke pekan dengan menaiki motorsikal usang milik Azlan. Hanya 10 minit mereka sudah sampai ke stesen bas di pekan itu.

"Farah tunggu kat motor ye... Biar abang pergi beli tiket," ujar Azlan setelah membuka topi keledarnya dan meletakkan di atas motor itu.

Azlan berlari-lari anak melintasi jalan yang agak sibuk dengan kenderaan. Farah hanya melihat abangnya dari atas motor itu. Dia begitu kasihankan abangnya. Tidak pernah dia jumpa lelaki yang setabah abangnya.

Dari jauh Farah melihat abangnya tersenyum sambil memegang tiket bas. Jelas kegembiraan terpancar dari wajah abangnya itu. Sedang asyik abangnya memerhatikan tiket yang di pegangnya tiba-tiba terdengar satu bunyi yang kuat.

"Abang!" jerit Farah sambil berlari menuju ke tengah jalan mendapatkan abangnya yang terbaring berlumuran darah.

"Abang... Bangun bang... Jangan tinggalkan Farah!" rintih Farah sambil menangis.

Azlan sudah tidak bergerak lagi. Seorang perempuan keluar dari kereta BMW yang melanggar Azlan dalam keadaan yang masih terkejut. Dia menghampiri Farah dan jasad Azlan yang sudah kaku itu.

"Dik... Maafkan kakak... Pemandu kakak..."

"Kak Qistina?" ujar Farah yang tergamam melihat Qistina di hadapannya.

Qistina menangis teresak-esak di tepi pusara Azlan. Di sebelahnya seorang budak perempuan berumur dalam lingkungan 4 tahun yang masih mentah untuk memahami keadaan ini. Dia teramat sedih setelah mengetahui perkara yang sebenarnya dari Farah. Tidak disangka begitu besarnya pengorbanan Azlan.

Selama ini dia begitu mendendami lelaki ini. Fikirnya Azlan lari kerana tidak mampu memikul tanggungjawabnya sebagai seorang ayah. Di tambah lagi dengan cemuhan-cemuhan ayahnya kepada Azlan yang menyatakan Azlan seorang yang tidak bertanggungjawab.

Mungkin ini hikmah di sebalik permintaan Alisha, anak perempuannya yang merengek untuk singgah makan di pekan ini semasa dalam perjalanan menuju ke Langkawi untuk bercuti. Ini semua adalah ketentuannya. Qistina redha dengan apa yang berlaku.

"Maafkan Qis abang..."

:::TAMAT:::

4 comments:

fiza said...

uwaaa...sedeyyyyyyy

:(

ZaM said...

sedeh ke? aku wat cite ni tak rasa sedih pun..aku baca balik pun xsedih gak..hehe

fiza said...

aku sedey..ntah le..aku skrg cpt terusik..hehe

aliya said...

beh citer ni..pandai main emosi pembaca