1 comments

Aku Dan Coretan Terkiniku #2

Pagi ni aku rasa cam bosan je... Nak masuk Teratak pun rasa cam malas. Baru je nak taip address Teratak tu pun dah bermacam-macam benda terfikir. Tak jadi aku nak masuk... Terus aku masuk blogger dan tinjau-tinjau semua entry blog aku nih... Semua aku baca balik... tengok-tengok balik... Lepas tu aku bosan lagi...hehe.. tak tahu nak wat pe... Masuk Teratak pun sure takde orang... Kalau masuk pun hatiku rasa tak best... Kadang-kadang aku rasa bosan bila kat sana. Lagi-lagi kalau masuk chatbox... Serba tak kena aku...

Cabaran bersosial di alam cyber pun boleh tahan gak hebatnya...hehe. Kadang-kadang boleh rimas jugak... kadang-kadang wat aku tension... Tapi semua tu adatlah...di cyber space ngan dunia realiti pun lebih kurang gak.. cuma kita xnmpk muka org tu & orang tu pun xnmpk muka kita.. mungkin itu cabarannya sbb kadang-kadang apa kita cakap tu disalahertikan orang... kalau di dunia depan mata ni xpe...kita leh baca reaksi muka orang, so susah nak berlaku salah faham ...riak & mimik muka kita boleh tahu...

Kita manusia ada tahap-tahap kesabarannya... tak semua orang mampu bersabar selama-lamanya... Aku sendiri pun tak tahu tahap kesabaran aku... Kita semua manusia...kita pun tahu hakikat manusia macam mana... Manusia semua berperasaan... Bersamalah kita menjaga hati dan perasaan orang lain supaya orang lain pun berbuat demikian kepada kita.

Kempen kita pada hari ini adalah "Menjaga Hati". Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin yang saya hormati sekalian. Di dunia yang penuh pancaroba dan dugaan ini, manusia-manusia semua berlumba mengejar kesenangan diri dan keselesaan hidup disamping mencari ketenangan jiwa. Mereka berusaha cuba menempatkan diri mereka dikalangan atau kelompok yang mereka kehendaki.

Tanpa mereka sedar, mereka terlupa untuk menjaga hati orang di sekeliling mereka. Perhhh...cam bersyarah plak...hehehe... dah melalut jauh aku... tapi takpelah, sekurang-kurangnya ada benda aku leh taip.. Oklah setakat ni je lah aku nak taip... lenkali kalau aku rajin aku taip lagi..

2 comments

Aku dan Coretan Terkiniku #1

Di pagi Sabtu yang cerah ini aku ingin mencoretkan sesuatu bagi menghilangkan rasa bosan dan bersama harapan agar masa ini cepatlah berlalu. Coretan kali ini akanku coretkan seskema yang mungkin dengan menggunakan bahasa kebangsaan yang betul dan cuba untuk menepati kehendak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Aku akan cuba untuk menjaga dan menggunakan tatabahasa yang betul. Dengan berbuat demikian ia akan melambatkan aku untuk menghabiskan coretan ini. Jadi dapatlah aku menghabiskan masa dengan lebih lama di sini. Itulah tujuan dan niat asalku setiap kali aku berada di blog ini. Hanyalah untuk menghabiskan masa yang sering bersisa.

Di pejabat aku ini persekitarannya tidak ceria. Masing-masing diam duduk di meja masing-masing sambil tekun membuat kerja. Jarang kelihatan mereka berborak-berborak diwaktu kerja. Lebih-lebih lagi jika Big Boss ada di pejabat. Aku dan rakan-rakanku dari Engineering Department berborak tanpa dapat di kesan. Kami berborak sambil membuka satu drawing besar kononnya membincangkan sesuatu. Kalau Director lalu kami akan teruskan lakonan itu dengan muka yang serius sambil melakarkan sesuatu di kertas. Semua ini demi menampakkan yang kami juga komited untuk meneruskan tradisi pejabat ini yang mana mengamalkan sikap tidak berborak di waktu kerja. Tradisi yang terjaga lebih 20 tahun lamanya. Kami tidak akan sesekali memecahkan tradisi itu. Biarlah ia kekal diwarisi sepanjang masa.

Sekarang jam telah menunjukkan pukul 12.06 p.m. Selepas aku menaip perkataan 'pukul' sebentar tadi kira-kira beberapa saat yang lepas yang di tujukan untuk menyatakan waktu, aku terus berfikir, mindaku terus tertanya-tanya dan terbitlah satu persoalan yang baru. Persoalan itu ialah kenapa perkataan pukul itu digunakan untuk menyatakan waktu? Bukankah pukul itu adalah satu perbuatan menghentak atau menghayunkan tangan samada dengan tangan kosong atau dengan menggunakan benda lain seperti kayu, besi atau sebagainya ke atas sesuatu objek yang lain? Aku cuba mencari maksud sebenar 'pukul' itu dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ini dia maksud pukul dari Kamus Dewan Edisi ke-3;

i) ketuk (dgn benda yg keras atau berat).

ii) ki ketuk (dgn perkataan dll), perintah; kena ~ a) kena ketuk, diketuk; b) mengalamai kerugian (dimarahi, ditipu, dsb); salah ~ a) salah mengetuknya; b) satu kali berbuat (bekerja, bertindak, dll); tukang ~ orang yg biasa memukul orang dgn upah, jagoan, samseng

iii) bahagian drpd sesuatu hari spt yg ditunjukkan oleh jam, waktu tertentu dlm sesuatu hari: jarum pendek dipanggil jarum ‘~nya’, kerana ia menunjukkan waktu dgn bilangan ~ jam; kami sampai di rumah ~ lima petang; jam ~ jam yg menyatakan waktu.

Terjawab sedikit kemusykilan di benakku ini tetapi kenapa tiada istilah yang lebih tepat dan khusus untuk menyatakan waktu? Pada firasat aku mungkin bunyi jarum jam berdetik itu menyebabkan orang melayu dulu-dulu mengandaikan yang jarum jam telah memukul sesuatu. Ataupun mungkin bunyi ketukan loceng jam zaman dahulu yang berbunyi setiap satu jam dan berbunyi berkali-kali mengikut nilai angka waktu itu.

Mungkin situasinya begini, seseorang yang tidak berada di hadapan jam kemudian terdengar 'pukulan' loceng jam berkali-kali dan mengira jumlah bunyi yang terhasil, jika 10 kali berbunyi menandakan sudah pukul 10. Selepas itu mungkin kawan di sebelahnya bertanya "Sudah jam berapa ye?". Kemudian orang yang mengira ketukan jam loceng pun menjawab "Aku kira tadi loceng jam itu di pukul 10 kali, kiranya waktu sekarang pukul 10 lah"(Cuba anda menggayakan dialog itu menggunakan nada dan cara percakapan orang di zaman dahulu seperti dalam cerita P.Ramlee untuk menambahkan logiknya dan menguatkan lagi andaianku itu)

Dan selepas itu istilah pukul digunakan dengan meluas sehingga ke hari ini. Cuma orang melayu Indonesia sahaja yang masih belum menggunakan istilah 'pukul'.

Mereka masih seperti ini,

"Udah jam berapa ya pak?"

"Udah jam satu ni, ayok temen-temen, gue harus pulang nih, hari senin jam 9 kita ketemu lagi ya"

Baiklah sekarang sudah masanya untukku pulang ke rumahku dan bertemu dengan isteri dan anakku yang tercinta. Berjumpa lagi di lain waktu. Assalamualaikum.

6 comments

Hadif Nyaris Hilang

Hari ini aku hendak bercerita tentang anak aku yang nyaris-nyaris hilang pada hari Ahad lepas di pasar pagi di perkarangan Stadium Shah Alam. Kejadian yang betul-betul hampir meragut tangkai jantungku. Peristiwa yang betul-betul mencemaskan.

Pada masa kejadian, isteri aku sedang memilih tudung. Aku memang sibuk melayan anak aku. Tetapi entah macam mana aku berpaling sekejap memerhatikan isteri aku yang asyik mencuba tudung. Bila aku pusing balik aku tengok anak aku dah hilang!. Gempar seketika di situ.

Aku, isteriku dan beberapa peniaga di situ terus mencari Hadif. Aku berlari-lari mencari. Kebetulan aku terdengar satu suara kanak-kanak berteriak menangis menuju ke tempat letak kereta. Aku terus berlari ke arah itu. Rupa-rupanya orang lain. Aku terus mencari. Bemacam-macam andaian menerjah-nerjah benakku.

Setelah hampir 5 minit aku kembali ke gerai tadi. Pak cik peniaga yang sama-sama mencari terus bertanya aku. Aku cakap masih tak jumpa. Isteri aku masih mencari dan aku tidak nampak kelibat dia sekitar kawasan situ.

Tiba-tiba aku ternampak Hadif di atas dukungan seorang lelaki. Perasaan aku betul-betul lega dan hampir hendak menangis kegembiraan. Hadif masih seperti biasa dengan muka cerianya seoalah-olah tiada apa yang berlaku.

Aku terus ambil Hadif dan berterima kasih kepada lelaki itu. Berkali-kali aku ucap terima kasih. Dari jauh aku nampak isteri aku berlari-lari mendapatkan kami. Dia terus 'merampas' Hadif dari aku dan menangis-nangis sambil mencium Hadif.

Aku tidak pula bertanya kepada lelaki yang menemui Hadif itu di mana dan bagaimana dia boleh menemui Hadif. Aku bersyukur kerana orang di pasar itu semuanya prihatin.

Ramai orang di sekeliling kami pada masa itu. Ada yang mengambil gambar. Masing-masing mengucapkan syukur kerana Hadif telah di temui. Ada yang menasihatkan kami supaya lebih berhati-hati. Ada juga yang memarahi kami kerana lalai. Aku cuma tersenyum. Aku terima semuanya kerana semuanya salah aku kerana lalai.

Ramai yang cakap Hadif kena beri perhatian yang lebih semasa berada di luar rumah sebab dia susah untuk menangis. Walau orang lain yang mendukungnya dia tetap tersenyum ceria. Selepas itu kami terus membayar harga tudung dan dapatlah diskaun 5 ringgit disebabkan peristiwa itu.

Kami terus balik rumah. Hari itu kami betul-betul 'penat. Kejadian itu betul-betul menginsafkan kami. Kami bersyukur tidak terhingga kerana terlepas dari kejadian yang tidak di ingini.