Aku dan Coretan Terkiniku #1

Di pagi Sabtu yang cerah ini aku ingin mencoretkan sesuatu bagi menghilangkan rasa bosan dan bersama harapan agar masa ini cepatlah berlalu. Coretan kali ini akanku coretkan seskema yang mungkin dengan menggunakan bahasa kebangsaan yang betul dan cuba untuk menepati kehendak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Aku akan cuba untuk menjaga dan menggunakan tatabahasa yang betul. Dengan berbuat demikian ia akan melambatkan aku untuk menghabiskan coretan ini. Jadi dapatlah aku menghabiskan masa dengan lebih lama di sini. Itulah tujuan dan niat asalku setiap kali aku berada di blog ini. Hanyalah untuk menghabiskan masa yang sering bersisa.

Di pejabat aku ini persekitarannya tidak ceria. Masing-masing diam duduk di meja masing-masing sambil tekun membuat kerja. Jarang kelihatan mereka berborak-berborak diwaktu kerja. Lebih-lebih lagi jika Big Boss ada di pejabat. Aku dan rakan-rakanku dari Engineering Department berborak tanpa dapat di kesan. Kami berborak sambil membuka satu drawing besar kononnya membincangkan sesuatu. Kalau Director lalu kami akan teruskan lakonan itu dengan muka yang serius sambil melakarkan sesuatu di kertas. Semua ini demi menampakkan yang kami juga komited untuk meneruskan tradisi pejabat ini yang mana mengamalkan sikap tidak berborak di waktu kerja. Tradisi yang terjaga lebih 20 tahun lamanya. Kami tidak akan sesekali memecahkan tradisi itu. Biarlah ia kekal diwarisi sepanjang masa.

Sekarang jam telah menunjukkan pukul 12.06 p.m. Selepas aku menaip perkataan 'pukul' sebentar tadi kira-kira beberapa saat yang lepas yang di tujukan untuk menyatakan waktu, aku terus berfikir, mindaku terus tertanya-tanya dan terbitlah satu persoalan yang baru. Persoalan itu ialah kenapa perkataan pukul itu digunakan untuk menyatakan waktu? Bukankah pukul itu adalah satu perbuatan menghentak atau menghayunkan tangan samada dengan tangan kosong atau dengan menggunakan benda lain seperti kayu, besi atau sebagainya ke atas sesuatu objek yang lain? Aku cuba mencari maksud sebenar 'pukul' itu dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ini dia maksud pukul dari Kamus Dewan Edisi ke-3;

i) ketuk (dgn benda yg keras atau berat).

ii) ki ketuk (dgn perkataan dll), perintah; kena ~ a) kena ketuk, diketuk; b) mengalamai kerugian (dimarahi, ditipu, dsb); salah ~ a) salah mengetuknya; b) satu kali berbuat (bekerja, bertindak, dll); tukang ~ orang yg biasa memukul orang dgn upah, jagoan, samseng

iii) bahagian drpd sesuatu hari spt yg ditunjukkan oleh jam, waktu tertentu dlm sesuatu hari: jarum pendek dipanggil jarum ‘~nya’, kerana ia menunjukkan waktu dgn bilangan ~ jam; kami sampai di rumah ~ lima petang; jam ~ jam yg menyatakan waktu.

Terjawab sedikit kemusykilan di benakku ini tetapi kenapa tiada istilah yang lebih tepat dan khusus untuk menyatakan waktu? Pada firasat aku mungkin bunyi jarum jam berdetik itu menyebabkan orang melayu dulu-dulu mengandaikan yang jarum jam telah memukul sesuatu. Ataupun mungkin bunyi ketukan loceng jam zaman dahulu yang berbunyi setiap satu jam dan berbunyi berkali-kali mengikut nilai angka waktu itu.

Mungkin situasinya begini, seseorang yang tidak berada di hadapan jam kemudian terdengar 'pukulan' loceng jam berkali-kali dan mengira jumlah bunyi yang terhasil, jika 10 kali berbunyi menandakan sudah pukul 10. Selepas itu mungkin kawan di sebelahnya bertanya "Sudah jam berapa ye?". Kemudian orang yang mengira ketukan jam loceng pun menjawab "Aku kira tadi loceng jam itu di pukul 10 kali, kiranya waktu sekarang pukul 10 lah"(Cuba anda menggayakan dialog itu menggunakan nada dan cara percakapan orang di zaman dahulu seperti dalam cerita P.Ramlee untuk menambahkan logiknya dan menguatkan lagi andaianku itu)

Dan selepas itu istilah pukul digunakan dengan meluas sehingga ke hari ini. Cuma orang melayu Indonesia sahaja yang masih belum menggunakan istilah 'pukul'.

Mereka masih seperti ini,

"Udah jam berapa ya pak?"

"Udah jam satu ni, ayok temen-temen, gue harus pulang nih, hari senin jam 9 kita ketemu lagi ya"

Baiklah sekarang sudah masanya untukku pulang ke rumahku dan bertemu dengan isteri dan anakku yang tercinta. Berjumpa lagi di lain waktu. Assalamualaikum.

2 comments:

mRsauRa said...

skemanyer bahser....ikut standard DBP lagik...ahaks!

Anonymous said...

berapa punye skema daa...
pastu ade lak ckp indon..
tu bahse indon standard ke zam..
ekekeke...