6 comments

Kehendak Takdir (Part 12)

Hari ini Erin akan bertolak ke kampung halamannya di Perlis. Dia akan memandu sendiri keretanya. Jika sebelum ini dia lebih selesa menaiki bas untuk pulang ke kampungnya, sekarang Erin terpaksalah memandu kerana kereta itu akan digunakan di kampungnya nanti untuk berulang alik ke tempat kerjanya.

Sham membantu Erin mengangkat beg-begnya untuk di masukkan ke dalam kereta. Jelas terlihat ketidakceriaan di wajah Sham. Siapalah yang tidak sedih apabila kekasih hatinya akan berada jauh dari sampingnya. Erin sedar akan kemuraman di wajah Sham itu. Dia tahu Sham berat hati untuk melepaskannya pergi. Dia akan buktikan pada Sham, jarak dan masa tidak akan melunturkan perasaan cintanya pada Sham.

Erin bersalam-salaman dengan ibu saudara dan bapa saudaranya itu. Sham hanya memerhatikan dari jauh. Dia hanya bersandar di kereta Erin. Sayu hatinya. Selepas ini rutin hidupnya pasti berubah. Tidak dapat lagi dia berjumpa Erin seperti biasa. Pasti hujung minggunya akan menjadi hari yang paling membosankan.
Ibu dan bapa saudara Erin berlalu masuk ke rumahnya. Membiarkan Erin dan Sham berdua di perkarangan rumah itu.

“Jauh termenung Abang Sham,” sapa Erin.

Sham hanya memandang wajah cantik Erin itu. Entah kenapa dia begitu berat untuk melepaskan Erin pergi. Pasti kerinduan sering bersarang di hari-harinya nanti.

“Erin dah nak bertolak ke?” soal Sham

“Ye Abang Sham… Abang Sham janganlah risau ye.. Sedih Erin tengok Abang Sham ni. Macamlah kita ni akan berpisah selama-lamanya,” ujar Erin.

“Abang Sham pun tak tahu kenapa Abang Sham sedih sangat,” jawab Sham.

“Janganlah macam tu Abang Sham. Sedih Erin nanti,” dengan manja Erin menuturkan katanya itu.

“Dah lambat ni Erin. Nanti lambat sampai sana,” ujar Sham.

“Baiklah Abang Sham. Erin pergi dulu ye,” ujar Erin sambil tunduk bersalam dengan Sham.

“Bawa kereta baik-baik, jangan lupa dah sampai nanti call Abang Sham tau,” pesan Sham yang masih tidak melepaskan genggaman tangan Erin.

“Ok. Bye Abang Sham…” dengan perlahan Erin menarik tangannya dari genggaman Sham.

Tidak semena-mena air mata Erin menitis. Mengalir melungsur laju di pipinya. Tidak sanggup Erin menatap wajah Sham lagi. Erin terus berlalu memasuki keretanya. Sham hanya berdiri memerhatikan Erin. Sebak. Hanya itu yang Sham rasa ketika ini. Sham melambai-lambaikan tangannya kepada Erin yang perlahan-lahan menggerakkan keretanya.

Akhirnya kereta Erin hilang dari pandangan Sham. Perlahan-lahan Sham melangkah masuk ke keretanya. Terus dia menyandarkan badannya ke kerusi keretanya. Sham melepaskan satu keluhan panjang. Fasa baru hidupnya telah bermula.

Sham menghidupkan keretanya dan berlalu meninggalkan tempat itu dengan sejuta rasa kesayuan. Sham hanya memandu menyusur jalan di pinggir ibukota itu. Tiada arah tuju. Sedar tak sedar dia sudah menghampiri Seremban. Sedar akibat kelekaannya, Sham terus keluar dari lebuhraya itu dan terus memandu pulang.

Sepanjang perjalanan menuju ke kampungnya, Erin asyik teringatkan Sham sahaja. Segala memori indah yang tercipta tergambar di kotak fikirannya. Bersilih ganti. Kadang-kadang Erin sebak apabila wajah sugul Sham terbayang di matanya. Erin tahu Sham tidak sampai hati untuk melepaskannya pergi.

Erin sudah hampir tiba di kampung halamannya. Dia memasuki kawasan kampungnya. Keretanya menyusuri jalan kecil di tepi ladang-ladang tebu milik penduduk kampungnya. Terdetik dihatinya untuk singgah sekejap di ladang tebu milik Azmi. Ini kerana dia akan melalui ladang tebu Azmi dulu sebelum sampai ke rumahnya.

Erin memperlahankan keretanya sebaik sampai di ladang tebu Azmi. Kelihatan ladang tebu itu sudah berubah wajah. Terdapat beberepa rumah-rumah kecil di kawasan itu. Tentu rumah-rumah cendawan. Fikir Erin. Erin memberhentikan keretanya di bawah pokok yang besar di hujung kawasan itu. Matanya melilau meninjau sekitar kawasan itu mencari kelibat Azmi. Tiba-tiba cermin tingkap keretanya yang separuh terbuka diketuk-ketuk seseoarang.

“Cari siapa Cik?” terdengar suara itu menyoal Erin. Suara yang amat dikenalinya.

“Apa Cik-cik ni? Amboi, sejak dah bergelar usahawan sekarang ni dah lain cara bercakap ye!” ujar Erin seperti biasa dengan keramahannya.

“Hahaha… Bila sampai Erin? Balik tak beritahu Mie pun,” ujar Azmi

“Baru sampai ni, belum sampai rumah lagi ni. Kebetulan lalu sini singgahlah sekejap jumpa Mie,” jawab Erin.

“Ye ke… Jumpa nak lepaskan rindu kat Mie lah ni,” kata Azmi sambil mengenyitkan matanya pada Erin.

“Ish, takde masa nak rindu kat Mie ni. Orang datang nak tengok projek dia. Manalah tahu boleh jadi rakan kongsi,” ujar Erin tersenyum.

“Ye la… Orang tak rindu kita, nak buat macam mana. Kita ni je yang rindu kat dia,” jawab Azmi.

“Macam mana dah projek cendawan Mie sekarang? Dah boleh ambil hasil ke?” soal Erin cuba mengubah butir bicara mereka.

“Belum lagi Erin. Lagi dua bulan bolehlah. Sekarang ni Mie tengah sibuk mencari pasaranlah. FAMA pun ada membantu. Alhamdulillah sekarang ni dah ada beberapa pelanggan yang bersedia hendak berurusan dengan Mie,” terang Azmi panjang lebar.

“Baguslah macam tu. Erin bangga dengan Mie,” ujar Erin.

“Tak ada apa yang hendak dibanggakan Erin. Semua ini Mie buat ada sebabnya,” ujat Azmi.

Erin sudah faham maksud kata-kata Azmi itu. Dia sendiri sudah maklum akan tujuan Azmi membuat projek ini. Semua ini semata-mata untuk memikathatinya.. Adik Azmi sendiri selalu memberitahu adik Erin akan perkara ini.

“Kenapa diam je Erin?” soal Azmi setelah dilihatnya Erin hanya mendiamkan diri.

“Tak ada apa-apa. Erin minta diri dulu ye, nanti tertunggu-tunggu emak Erin kat rumah tu,” pinta Erin.

“Baiklah Erin. Nanti ada masa datanglah ke sini. Boleh kita berbual-bual,” ujar Azmi.

InsyaAllah,” jawab Erin sepatah.

Erin terus berlalu meninggalkan Azmi. Erin tidak mahu selalu sangat berjumpa Azmi. Ini bagai memberi harapan kepada Azmi. Dia tidak mahu Azmi menaruh harapan lagi kepadanya. Biarlah Azmi dipertemukan dengan gadis yang lain. Gadis yang lagi baik darinya.

*Bersambung…

0 comments

Kisah Lelapku

ada suara
teramat bising
mengganggu tidurku
mengacau mimpiku

aku berpaling
kiri dan kanan
suara itu masih ada
membingitkan

aku tak tahu
arah mana suara itu
dari mana datangnya
masih menggangguku

aku bangun
dalam mamai
ku amati suara itu
suara itu amat ku kenali

aku tersenyum
bingkas ku bangun
rupanya anakku menangis
ku ambil dan ku letak di sebelahku

aku peluk dan ku usap
esakannya makin perlahan
usapanku jua semakin perlahan
aku dan dia sama-sama terlelap

6 comments

Di Saat Sedih dan Senangku

pertama kali bersua
kau biasa saja
tiada apa yang istimewa
sekadar menemaniku
di saat sedih dan senangku

ketika kau sering datang
menemaniku setiap waktu
di saat sedih dan senangku
aku jadi terbiasa dengan kehadiranmu

ketika kau tiada di sisiku
menemaniku di saat sedih dan senangku
aku jadi rindu akan kehadiranmu

ketika aku mula merindumu
ketika aku perlukan dirimu
menemaniku saat sedih dan senangku
aku sedar aku telah jatuh cinta padamu

ketika aku melamarmu
menjadi suri hidupku
menemaniku saat sedih dan senangku
kau hanya senyum tertunduk membisu

aku bersyukur pada Ilahi
mengurniakan dirimu padaku
untuk menemaniku setiap waktu
di saat sedih dan senangku

aku berjanji padamu
akan setia bersama
di saat sedih dan senang kita
kekal setia bersama....

3 comments

Kehendak Takdir (Part 11)

Dalam masa dua minggu lagi, Erin akan balik bekerja di Perlis. Di kampung halamannya. Tinggal bersama-sama dengan keluarganya. Keluarganya pun sudah dimaklumkan akan perkara ini. Emaknyalah yang paling gembira apabila menerima berita ini. Gembira kerana anak sulungnya akan tinggal bersama-sama dengannya. Tiada lagi kerisauan akan keadaan Erin yang jauh di perantauan.

Sham dan Erin selalu menghabiskan masa bersama-sama. Boleh dikatakan setiap malam mereka akan bertemu. Samada di rumah emak saudara Erin itu atau pun di mana-mana sekitar ibukota. Mereka tidak mahu mensia-siakan masa yang masih ada sebelum Erin bertukar ke Perlis.

Erin sedih melihat keadaan Sham. Setiap kali mereka keluar, pasti akan ada tutur bicara Sham yang pasti meruntun hati Erin. Sham seperti tidak merelakan Erin bepindah ke Perlis. Erin sudah banyak kali cuba meyakinkan Sham bahawa tiada apa yang akan berubah diantara mereka.

“Abang Sham… Kenapa Abang Sham selalu macam ni. Muram je tiap kali kita keluar,” ujar Erin pada suatu malam semasa mereka keluar makan bersama.

“Macam mana Abang Sham nak happy? Erin kan akan pergi jauh dari Abang Sham…” ujar Sham.

“Erin bukan tinggalkan Abang Sham selama-lamanya. Jarak saja yang jauh. Abang Sham tetap dekat di hati Erin ni,” kata Erin sambil menggenggam tangan Sham.

“Abang Sham tak tahu macam manalah keadaan Abang Sham nanti. Sebelum ni kalau seminggu kita tak jumpa pun Abang Sham dah resah semacam. Inikan pula sebulan. Entahkan dua atau tiga bulan. Erin bukan tak tahu kerja Abang Sham ni. Kadang-kadang hujung minggu pun ada tempahan kat kolej tu,” ujar Sham panjang lebar.

“Jangan macam tu Abang Sham. Kalau Abang Sham sibuk, Erin yang akan datang jumpa Abang Sham kat sini,” Erin tersenyum memandang Sham. Cuba untuk memujuk hati Sham.

“Entahlah Erin. Sukar Abang Sham nak terima keadaan yang macam tu. Mungkin sebab Abang Sham terlalu sayangkan Erin kot… Sebab tu susah nak biar Erin berjauhan dengan Abang Sham,” ujar Sham lagi.

“Habis tu Erin ni tak sayangkan Abang Sham ke? Erin pun sayangkan Abang Sham. Tapi inikan kerja. Erin kena terima. Erin harap Abang Sham pun faham,” jawab Erin.

“Mungkin ini ujian dan dugaan perhubungan kita Erin. Abang Sham harap kita masing-masing tak akan kalah pada ujian ini.”

Erin terharu melihat betapa Sham menyayanginya. Betapa lelaki itu tidak sanggup berjauhan dengannya. Semua ini membuatkan Erin bertambah sayang dan cintakan Sham. Dia yakin tiada apa dapat memisahkan mereka. Kecuali takdir dari-Nya.

Entah kenapa Sham risaukan perkara ini. Baginya setiap perhubungan tidak perlu melalui detik sukar sepertinya. Berjauhan. Baginya berjauhan dengan seseorang yang amat disayangi adalah satu penyeksaan. Belum pun berjauhan Sham sudah dapat merasa bahang derita itu. Sham belum bersedia untuk menghadapi semua ini. Jiwanya tidak sekuat mana untuk menerima perubahan yang dianggapnya begitu mendadak dalam perhubungannya dengan Erin.

“Sham, kenapa kau asyik termenung je aku tengok?” soal Faizal setelah dilihatnya sahabatnya itu sering termenung.

“Tak ada apalah Faizal,” jawab Sham ringkas.

“Aku tengok kau sekarang asyik termenung je. Kau ada masalah dengan Erin ke?” Soal Faizal lagi.

“Aku dengan Erin macam biasa je. Cuma nanti Erin kena tukar ke Perlis. Syarikat tempat dia kerja ada buka cawangan baru dekat Perlis. Erin kena pergi sana,” Sham akhirnya memberitahu Faizal tentang perkara itu.

“Habis tu, kau tak bagi dia pergi ke?” Soal Faizal lagi.

“Tak adalah. Dia pergi. Cuma aku rasa tak seronok je. Duduk jauh-jauh ni bahaya juga. Manalah tahu nanti ada orang pergi pikat Erin. Habis aku,” ujar Sham menunjukkan kerisauannya.

“Kau ni, tak payah la fikir yang bukan-bukan. Kalau dah jodoh kau dengan Erin tu tak kemana la Sham. Jangan risau, semua ni takdir yang tentukan,” ujar Faizal menepuk-nepuk bahu Sham.

“Kalau takdir menemukan dia dengan orang lain macam mana? Mati aku,” Sham masih risau akan semua kemungkinan.

“Kalau itu kehendak takdir… Terima sajalah Sham,” ujar Faizal sambil berlalu meninggalkan Sham berseorangan di kaunter pembayaran cafenya itu.

“Takdir. Kenapa takdir? Takdir tidak akan terjadi tanpa sebab. Kalau aku bukan jodoh Erin pasti ada sebabnya. Pasti Dia akan ketemukan Erin dengan yang lain. Pasti Erin pun terpikat dengan lelaki itu. Pasti aku akan ditinggalkannya! Tak sanggup aku nak hadapi semua tu,” Bermacam-macam andaian bermain di fikiran Sham. Dia masih tidak dapat mententeramkan hatinya.

“Hello Mie… Erin ni” Erin memulakan perbualan setelah Azmi menjawab panggilannya.

“Hai Erin. Apa khabar? Lama kita tak berbual,” jawab Azmi.

Agak lama juga mereka berdua berbual bertanya khabar. Masing-masing saling bercerita. Suara Azmi kedengaran ceria sekali. Dia sudah lama tidak dapat berbual mesra dengan Erin seperti ini. Kesibukannya membataskan masa untuknya menghubungi Erin.

“Mie, minggu depan Erin balik kampung.”

“Ye ke. Berapa lama Erin kat kampung nanti?”

“Erin akan terus tinggal kat kampung. Syarikat Erin kerja dah tukarkan Erin kat Kangar,” jelas Erin.

“Lepas ni bolehlah kita berjumpa selalu macam zaman persekolahan kita dulu. Mie rindukan waktu itu,” ujar Azmi.

Azmi gembira sekali setelah menerima berita pertukaran Erin ke Perlis. Semua ini bagai satu rahmat buatnya. Apa yang diimpikan selama ini mungkin boleh dikecapinya seandainya dia dan Erin saling berdekatan. Pasti dia dan Erin akan selalu bertemu.

* Bersambung

5 comments

Hadif Yang Terkini #1

• Hadif dan Tiang

• Di taman permainan


• Menunggu waktu lelap


• Bersama basikal terbarunya. Ditaman permainan.

Sekarang sejak Hadif dah boleh jalan, stroller & walker tolak tepi. Dia dah tak berminat hendak naik semua tu. Basikal inilah yang dia suka untuk naik. Setiap petang wajib kena bawa Hadif dengan basikalnya meronda-ronda tepi kolam renang dekat rumah. Kalau hari ibu dan ayahnya cuti, pasti dia akan pegang kasut, pegang basikal pastu merengek suruh bawa dia turun bawah. Kalau tak pasti dia akan merajuk. Kadang-kadang kalau mood dia tak elok, habis barang dia sepahkan. Tanda protes. Pernah sekali dah pukul 11 malam dia ambik kasut menyandar dekat pintu rumah. Terpaksalah ayah dia ni bawa turun. Walau 10 minit pun dia tak kisah, janji dia dapat turun. Beginilah ragam anak yang duduk di apartment. Bosan mengadap dinding-dinding batu.

2 comments

Ahli Baru Keluargaku

Inilah ahli terbaru dalam keluarga kami. Anak saudara aku yang bernama Wan Muhammad Adeel Musyrif. Dilahirkan pada 11 November 2007. Anak ke empat kakak sulungku. Cucu ke-11 emak dan ayah aku. Sekarang ni dah turun takhta la Hadif...semua orang asyik nak tengok Adeel je la..hehe

• Comelnya


• Tidur je...


• Lena sepanjang hari..

1 comments

Foto Adik, Adik Ipar & Anak Saudaraku

Ini adalah gambar-gambar kunjungan Khai & Rosma ke rumah adik ipar aku di Skudai, JB.



• Rafiza, Rosma, Khai & Ina


• Rafiza & Khai tekun melihat skrin laptop. Tengok apa tu?



• Rosma, Khai & anak saudaraku, Harith Danial



Bergambar dengan Faizal AF4.


• Faizal AF & Harith Danial


• Mama Harith, Faizal AF & Harith Danial



• Harith didukung Faizal yang senyum sokmo.

6 comments

Kehendak Takdir (Part 10)

Hari ini mereka berdua bertolak balik ke Kuala Lumpur setelah menghabiskan masa selama dua hari di rumah keluarga Erin. Sham gembira akan penerimaan baik keluarga Erin. Perhubungannya di restui keluarga Erin. Selama dua hari ini sempat juga Erin membawa Sham berjumpa dengan saudara-saudaranya di sekitar Perlis.

“Abang Sham rasa lega sangat sekarang ni Erin,”

“Kenapa?”

“Ye lah… Keluarga Erin dapat terima Abang Sham ni. Mula-mula tu takut jugak. Muka ayah Erin tu nampak garang, tapi bila dah mula berbual nampak mesra je,” ujar Sham sambil tersenyum

“Memang garang tu, kalau Abang Sham ada niat nak permainkan Erin, siaplah!” ujar Erin sambil tergelak kecil.

“Niat nak permainkan tu tak ada Erin, tapi niat nak masuk meminang cepat-cepat tu ada,” ujar Sham mengenyitkan matanya kepada Erin.

“Mak Long Erin tu kan, dia asyik suruh Abang Sham masuk meminang Erin cepat-cepat. Dia cakap tak payah lama-lama sangat. Nanti terlepas,” sambung Sham lagi.

“Kalau dah jodoh Erin dengan Abang Sham ni, tak kemana Abang Sham. Jangan risau,” ujar Erin.

Setelah mengharungi perjalanan hampir enam jam, akhirnya mereka sampai ke Kuala Lumpur. Sham terus pulang ke rumahnya setelah singgah menghantar Erin di rumah emak saudaranya. Dia mahu merehatkan badannya kerana keesokan harinya dia perlu pergi ke cafenya.

Erin termenung memandang syiling biliknya. Dia masih tidak dapat melelapkan matanya. Dia rasa bersalah. Bersalah kepada Sham dan juga Azmi. Semasa di kampung, adiknya ada memberitahu yang Azmi sekarang telah memulakan projek tanaman cendawannya. Semuanya kerana dirinya.

Adik Azmi, kawan kepada adiknya selalu menceritakan perihal Azmi kepada adik Erin itu. Tentang harapan Azmi. Tentang impiannya yang ingin mendapatkan cinta Erin. Semua ini membuatkan Erin bingung. Nasib baik dia sempat berpesan kepada adiknya agar tidak memberitahu adik Azmi akan kunjungan Sham ini.

Kalau dari dulu dia berterus terang dengan Azmi mengenai hubungannya dengan Sham, tentu semua ini tidak membebankan perasaannya. Jikalau sekarang dia hendak berterus-terang, tentu Azmi kecewa. Projek tanaman cendawannya itu pula mungkin terbengkalai. Itu yang Erin tidak mahu terjadi. Biarlah Azmi dapat mengecap kejayaan dulu. Mungkin masa itu masa yang paling sesuai untuknya memberitahu Azmi.

“Erin, bangunlah. Dah dekat pukul tujuh dah ni. Nanti lewat nak pergi kerja,” dengan lembut suara emak saudara Erin mengejutkannya dari tidur sambil menggoyang-goyangkan badannya.

Erin terkejut lalu bingkas bangun. Tidak disedarinya bila dia terlelap malam tadi. Sampai dia terlupa mahu mengunci jam locengnya. Erin terus mencapai tuala dan bergegas masuk ke bilik mandi. Dengan bersiap ala kadar, Erin terus keluar rumah menuju stesen LRT. Tanpa sempat untuknya menjamah sarapan di rumah emak saudaranya itu.

Erin sampai agak lewat sedikit ke pejabatnya. Termengah-mengah Erin melangkah masuk ke ruang pejabat di tingkat 5 di bangunan AIA di Jalan Ampang itu. Agak jauh juga Erin berjalan dari LRT Masjid Jamek itu. Erin lebih senang menggunakan perkhidmatan LRT daripada memandu keretanya ke pejabat. Dia tidak suka mengharungi jalan di Kuala Lumpur yang saban waktu penuh dengan kenderaan sehingga mnyebabkan kesesakan jalanraya.

“Erin, Encik Hashim panggil. Dia tunggu kat biliknya. Sekarang tau,” suara Aida setiausaha Encik Hashim bergema di hujung talian telefon di meja Erin.

Erin melangkah malas menuju ke bilik Encik Hasim. Selalunya Encik Hashim, ketua jabatannya jarang memanggilnya di awal waktu pejabat ini.

“Selamat pagi Encik Hashim,” Erin melangkah masuk ke bilik sederhana besar itu.

“Selamat pagi Erin. Duduklah,” jawab Encik Hashim sambil membelek-belek fail di atas mejanya.

“Ada apa Encik Hashim panggil saya?” Soal Erin

“Begini Erin, pihak ibu pejabat kita hendak hantar dua orang dari jabatan kita ni ke cawangan baru di Kangar, Perlis. Memandangkan Erin berasal dari sana, jadi kami sepakat memilih Erin ke sana,” terang Encik Hashim.

“Seorang lagi Ariani. Dia pun dah dimaklumkan dan dia setuju bertukar ke sana,” sambung Encik Hashim lagi.

“Kalau dah itu keputusan Encik Hashim, saya tak membantah,” ujar Erin.

“Kalau dah setuju, mungkin 2 minggu lagi Erin perlu ke sana,” ujar Encik Hashim tersenyum.

“Baiklah Encik Hashim, saya keluar dulu,” Erin meminta diri untuk keluar.

“Ok, kalau ada apa-apa masalah Erin terus jumpa saya ya,” ujar Encik Hashim lagi.

Baru sahaja dua tahun Erin bekerja dengan syarikat insurans AIA di Kuala Lumpur. Sekarang dia sudah di tukarkan ke cawangan Perlis. Bandar Kangar dengan rumahnya tidak jauh. Hanya 15 minit berkereta. Erin terus mendail nombor telefon bimbit Sham.

“Hello Abang Sham,” Erin bersuara agak manja.

“Hello Erin, awal pagi dah telefon Abang Sham. Rindu ke?” jawab Sham.

“Belum rindu lagi la Abang Sham, rasanya tak ada rindu untuk Abang Sham hari ni kot," ujar Erin sambil tergelak manja.

"Yelah... Siapalah Abang Sham ni kan..." ujar Sham bernada merajuk.

"Ish dah tua-tua pun nak merajuk? Tak malu!" Sempat lagi Erin mengenakan Sham.

"Sebanarnnya Erin ada perkara nak beritahu Abang Sham ni,” sambung Erin.

“Perkara apa?

“Begini Abang Sham. Erin kena tukar ke Perlis. Baru tadi ketua Erin beritahu. Mungkin dua minggu lagi Erin kena pergi ke sana,” jawab Erin.

“Kenapa Erin yang kena pergi, tak ada orang lain ke?” Sham berat hati nak melepaskan Erin berpindah ke Perlis.

“Erin kan orang Perlis, jadi senanglah nanti. Tak adalah masalah tempat tinggal kalau Erin yang pergi,” jawab Erin.

“Nanti kita berjauhanlah. Nak jumpa pun mungkin sebulan sekali je. Entahkan nanti Erin terpikat pula dengan orang sana. Kasihan Abang Sham nanti,” berlainan sekali nada suara Sham.

“Janganlah fikir yang bukan-bukan Abang Sham. Yang pergi hanya Erin, bukan cinta Erin pada Abang Sham…Abang Sham jangan risaulah,” Erin cuba meleraikan kerisauan di hati Sham itu.

“Abang Sham tau. Cuma Abang Sham tak sanggup menanggung rindu nanti,” ujar Sham.

"Lagipun kita mana pernah berpisah lama-lama. Macam manalah keadaan Abang Sham nanti..." ujar Sham lagi. Sayu Erin mendengarnya.

"Hanya jarak dan waktu memisahkan kita Abang Sham. Jiwa dan hati Erin tetap pada Abang Sham. Kalau cinta kita kuat, ada jodoh, kita pasti akan bersama juga akhirnya. Percayalah," ujar Erin.

Sham tidak menduga yang Erin terpaksa di tukarkan ke Perlis. Hubungan mereka baru setahun lebih. Masih banyak ruang di hati Erin yang belum di terokanya. Janganlah ada jejaka lain cuba menerokanya di saat mereka berjauhan. Bermacam kerisauan bersarang di benak Sham.

Bukan dia tidak percayakan Erin. Cuma dia risau akan perhubungan jarak jauh ini. Sudah banyak yang di dengarinya tentang perihal hubungan jarak jauh. Bermacam kemungkinan boleh berlaku. Sham hanya mampu berserah. Biarlah takdir yang menentukan.

Bersambung lagi...

6 comments

Wajah-wajah Hadif


7 comments

Cerpen : Dahlia

boring, takde mende nak buat. so, aku tumpang copy paste kat sini jer la. leh kan zam? heheh...

- DAHLIA -

Kelas Pendidikan Jasmani sudah pun berlalu separuh waktu. Biasanya pada waktu begini, Dahlia gemar mewarna buku lakaran kartun yang dibeli ayahnya. Namun, entah mengapa hari ini dia kurang berminat untuk berbuat begitu.

Ditopangkannya dagu sambil anak matanya ralit merenung jauh ke luar jendela. Riuh-rendah rakan-rakannya di padang membuatkan hatinya sedikit terusik. Keseronokan mereka membuatkan Dahlia tiba-tiba sahaja berasa kepingin. Sudah lama benar dia tidak memijakkan kaki di atas rumput padang yang menghijau. Dan sudah lama juga dia tidak berlari mahupun melompat girang seperti kanak-kanak lain. Dahlia benar-benar kerinduan.

Dia mengeluh kecil. Dialihkan pandangannya ke arah lain. Langsung dikesatnya mata yang berair. Dia ingat lagi pesan nenek. Kata nenek, apa yang berlaku adalah dugaan Allah. Dan sebagai hambanya dia harus bersabar.

Cuba dipujuk lagi hati yang tidak keruan. Namun, makin dipujuk, kian galak pula hati kecilnya meronta gelisah.

Sesekali dahinya berkerut menahan sakit. Perlahan-lahan diselaknya kain baju kurung yang sedang dipakai. Kemudian dirabanya kedua belah kakinya yang berbalut kemas. Hati Dahlia kembali sebak. Tidak ramai yang tahu apa yang tersembunyi di sebalik balutan itu. Malah, boleh dikatakan cuma beberapa orang sahaja rakan-rakannya yang perasan akan kakinya yang berbalut.

Kadang-kadang Dahlia berasa sangat segan dan bimbang. Dia takut kalau-kalau bau yang kurang enak dari kakinya tiba-tiba menusuk ke hidung teman-teman lain.

Dahlia sedar, kakinya tidak seperti kaki orang lain. Kakinya penuh keruping bercampur nanah. Dahulu bahagian yang kena cuma sedikit. Tetapi, semakin lama bertambah luas pula ia merebak. Dan akhirnya menjalar sehingga ke seluruh kaki kirinya. Dia tahu, bukan calang-calang nanah yang bertapak di kakinya.

Sejak diserang penyakit, kakinya tidak lagi betah bergerak seperti dahulu. Nanah di kaki seolah-olah rakus menjamah kulit dagingnya sehinggakan kakinya hilang upaya untuk berdiri gagah. Pergerakannya kian terbatas. Serta-merta dia berasa sangat kasihan kepada ayahnya kerana terpaksa bersusah payah menghantar dan mengambilnya dari sekolah setiap hari. Malah, lebih menyedihkan Dahlia apabila ayahnya terpaksa mendukungnya menaiki tangga setinggi dua tingkat semata-mata kerana mahu menghantarnya ke kelas 3 Hijau.

Pernah Dahlia suarakan hasratnya untuk berhenti sekolah. Sekurang-kurangnya kurang sedikit beban ayahnya. Namun, mak dan ayahnya berkeras membantah.

“Jangan risaukan ayah. Selagi Lia boleh pergi ke sekolah, mak dan ayah nak Lia pergi juga. Kami tak mahu Lia tercicir,” terang ayahnya lembut membuatkan Dahlia sedikitt terharu.

Dahlia tidak tahu penyakit apa yang sedang dideritainya sejak lebih setahun lalu. Kata ayah, doktor sendiri pun tidak pasti. Dahlia jadi bingung tiba-tiba. Setahu Dahlia, doktor amat bijak tentang ilmu perubatan. Mustahil penyakit sebegini pun dia tidak tahu. Serta-merta timbul keraguan di hati Dahlia. Benarkah doktor tidak tahu? Atau barangkali ayah sengaja berkata begitu?

“Memanglah mereka pandai ubat orang sakit. Tapi Lia kena ingat, doktor pun manusia juga macam Lia... Walaupun dia hebat, dia tetap ada kekurangan. Cuba Lia tengok Shahril. Orang mungkin sangka dia kuat sebab badan dia besar dan gemuk. Tapi Lia pun tau yang Sharil selalu kena buli, kan?” ujar emak suatu hari. Dahlia terdiam seketika, cuba menimbang semula kata-kata emak.

Pernah juga Dahlia terdengar soksek orang. Kononnya dia dianiaya orang. Namun, Dahlia tidak berani hendak mengiyakan.

“Lamanya termenung. Ingatkan apa?” Dahlia tersentak. Ditolehnya ke arah Aini yang baru sahaja selesai menyalin pakaian sukannya.

“Tak ada apa-apa,” ujar Dahlia lembut. Aini tersenyum. Dilabuhkan punggungnya di sisi Dahlia.

“Rosdi cakap, hari ni Cikgu Zainab tak datang. Eee... Seronoknya...” kata Aini tiba-tiba. Gembira benar dia apabila kelas Bahasa Malaysia tidak ada hari ini. Dahlia sekadar tersenyum. Dia sudah masak benar dengan sikap Aini. Aini agak pemalas. Peliknya, dia masih lagi mampu mendapat markah yang cemerlang dalam peperiksaan.

Dahlia tidak menghiraukan Aini yang sedang sibuk melipat baju sukannya untuk dimasukkan ke dalam beg sekolah. Dia terus membuka buku warna bergambar Mickey Mouse kesukaannya. Diselaknya satu persatu. Aksi Minnie Mouse yang sedang menari tango menarik perhatiannya. Langsung jari-jemarinya berhenti menyelak. Diambilnya pensel warna merah tua. Kemudian diwarnakannya gaun Minnie yang separas lutut.

“Aini! Kenapa pukul Lia? Sakit tau!” rintih Dahlia tiba-tiba sambil menggosok lembut bahu sebelah kanannya. Aini tersengih memandang wajah masam Dahlia.

“Ala... Minta maaflah, Lia. Aini tak sengaja. Ini semua sebab lalat tadi tu lah! Agaknya dia dah tak ada tempat lain nak pergi. Sebab itulah dia datang sini. Tapi, pelik betullah! Lalat kan selalunya suka tempat busuk. Takkanlah dia boleh tersuka bau bedak Aini yang wangi ni!” kata Aini cuba berseloroh.

“Agaknya dia datang sebab kaki Lia...” ujar Dahlia perlahan dengan nada yang cukup mendatar. Aini tersentak. Tidak disangka gurauannya tadi telah mengguris hati temannya.

Dipandangnya wajah Dahlia yang berubah suram. Dia tahu Dahlia tersinggung. Aini mengeluh perlahan. Dan hatinya terus-menerus memaki kelancangan mulutnya sendiri. Ahh... Bagaimanalah dia boleh menjadi secuai itu ketika melontar kata kepada Dahlia? Dialihkan pandangannya ke arah lain. Tidak sampai hatinya melihat air yang sudah bergenang di kelopak mata Dahlia.

“Lia... Aini minta maaf. Aini tak maksudkan macam tu. Aini cuma bergurau,” ujar Aini lembut. Cuba dipujuknya Dahlia yang semakin berwajah mendung.

Dahlia diam tidak membalas. Entah mengapa tiba-tiba sahaja dia teringatkan lalat-lalat yang selalu cuba menyinggah pada kakinya ketika tidak berbalut. Berulang kali dia menepis, tetapi lalat itu enggan jua pergi jauh. Dahlia mengeluh perlahan. Hatinya terus merintih. Ahh... Letihnya melayan tubuh sendiri.

“Lia... maafkan Aini...” ujar Aini untuk kesekian kali. Namun, Dahlia terus menyepi.

“Lia...”

Dahlia sudah semakin bosan dengan rasa sakit yang kian menjalar. Kalaulah penderitaannya hanya akan berakhir dengan kematian, dia rela begitu. Bukankah itu lebih baik untuk dia dan semua orang?

“Lia... Kenapa ni?”

“Erm... Lia tak apa-apa,” ujar Dahlia sambil tersenyum. Dia tidak mahu lagi ambil hati dengan Aini. Aini teman baiknya. Dia sayangkan Aini. Dia sayangkan semua orang.

Waktu persekolahan sudah lama berakhir. Dahlia membetulkan kain yang menutup bahagian kakinya yang telanjang tidak berbalut. Kemudian ditariknya nafas dalam-dalam. Dia ingin hirup udara segar di hadapan rumahnya puas-puas. Dipandangnya ibu yang yang sedang menyapu sampah di halaman. Kemudian beralih kepada wajah nenek dan ayah yang sedang berbual tidak jauh darinya. Dibeleknya setiap wajah itu puas-puas. Dia tidak mahu kerinduan lagi selepas ini.

“Lia sayang... Mari kita masuk dalam,” ajak ibunya lembut. Namun, Dahlia enggan bergerak mahupun membuka mata. Walau berkali-kali diajak, Dahlia tetap kaku begitu. Perlahan-lahan tubuhnya mula mendingin.

4 comments

Kehendak Takdir (Part 9)

Sepanjang perkenalannya dengan Azmi, tidak pernah sesekali pun Azmi datang menemuinya di rumah. Hanya Erin yang selalu berkunjung ke rumah Azmi. Ini adalah kerana Azmi segan untuk berkunjung ke rumah besar milik keluarga Erin. Kunjungan Sham ini pasti tidak akan sampai ke pengetahuan Azmi.

“Kenapa diam je Erin? Erin pun takut jugak ke?” Soal Sham setelah dilihatnya Erin mengelamun sendiri.

“Tak adalah Abang Sham. Saja nak diam. Tak nak ganggu orang tu memandu.” jawab Erin sambil menjeling manja ke arah Sham.

“Erin… Macam mana kalau orang tua Erin tak dapat nak terima Abang Sham? Tak berkenan ke… Apa Erin akan buat?” Soal Sham lagi.

“Mustahillah Abang Sham. Erin kenal bagaimana emak dan ayah Erin. Abang Sham tak perlu risau ya,” ujar Erin manja.

Perjalanan masih jauh lagi. Erin sudah terlena. Sham melayan perasaannya. Terdetik juga rasa risau akan penerimaan kedua-dua orang tua Erin. Dia berharap kunjungan pertamanya ini dapat memberi sinar harapan bagainya untuk terus bersama dengan Erin hingga ke akhirnya. Baginya penerimaan keluarga itu amat penting dalam sesebuah perhubungan.

Jam sudah menunjukkan ke pukul satu tengahari. Sham membelokkan keretanya menuju ke sebuah perhentian di Lebuhraya Utara Selatan itu. Dia ingin berehat sekejap sambil makan tengahari dan juga menunaikan solat Zuhur. Sampai saja di perhentian itu Sham terus mengejutkan Erin dari tidurnya yang lena itu.

“Abang Sham ni, kenapa biar Erin lelap? Kasihan Abang Sham memandu seorang diri,” rungut Erin.

“Abang Sham dah biasa memandu seorang diri. Lagipun tak sampai hati Abang Sham nak kejut Tuan Puteri ni yang asyik beradu,” jawab Sham sambil melemparkan sebuah senyuman.

“Comel Erin masa tidur tadi,” sambung Sham lagi.

“Mengada-ngadalah Abang Sham ni,” balas Erin pula.

“Abang Sham nak pergi tandas ni. Lepas tu kita pergi makan,”

“Baiklah Abang Sham. Erin tunggu sini” jawab Erin.

Setelah selesai makan tengah hari dan menunaikan solat Zohor, Sham dan Erin meneruskan perjalanannya menuju ke Perlis. Erin tidak mahu terlelap lagi. Dia ingin menemani sambil berbual-bual dengan Sham. Dia ingin menikmati saat-saat bersama berdua ini.

Perjalanan itu akhirnya sampai ke destinasinya. Perasaan Sham berdebar-debar. Maklumlah kali pertama bersua dengan kedua-dua orang tua Erin. Emak dan ayah Erin sudah sedia menanti mereka di beranda bersama dengan adik-adik Erin.

“Assalamualaikum,” serentak Erin dan Sham memberi salam.

“Wa’alaikumussalam… Masuklah Erin. Bawa kawan tu masuk. Jangan malu-malu,” jawab emak Erin sambil senyum memandang Sham yang masih tercegat berdiri di sebelah Erin.

Erin melangkah masuk dan diikuti Sham. Sham bersalam-salaman dengan kedua-dua orang tua Erin. Selepas itu mereka berdua duduk di sofa di ruang tamu rumah itu.

“Mak, ayah, inilah kawan Erin yang Erin cerita tu. Sham namanya,” Erin memperkenalkan Sham kepada emak dan ayahnya..

Sham hanya tersenyum. Erin membiarkan Sham dengan ayah dan emaknya berbual-bual. Dia terus menuju ke dapur untuk menyediakan minuman. Perasaan Erin sedikit lega melihat penerimaan emak dan ayahnya terhadap Sham.

Sham mudah mesra dengan keluarga Erin. Sekejap sahaja dia sudah dapat menyesuaikan diri dengan keluarga itu. Malam itu mereka semua menikmati hidangan makan malam bersama. Mereka berbual-bual mesra. Erin senang dengan keadaan itu. Dia tidak lagi gusar memikirkan penerimaan keluarganya.

Bersambung lagi...

(Maaf sebab Part 9 terlalu pendek... Keadaan dan masa tidak mengizinkan untuk aku mengarang panjang-panjang)

11 comments

Sketsa Menagih Kasih

aku masih dilaman ini
masih berkira-kira
ku cari rimbunan merendang
untukku berlindung dari teriknya mentari
yang tegak memancar sinarnya

aku tak punya daya
untuk melangkah menapak
mendepani pintu rumahmu
kerana aku sangat takut
bergetar bibir-bibirku
menitis peluh di dahiku

aku bukannya pengemis
yang perlu berlutut
menagih harapan cintamu
meminta belas kasihmu
tujuanku hanya satu
agar kau tahu

cintaku bukan main-main
harapanku ini bukan main-main

24 comments

Aku Bukan Untukmu

tiada apa yang ku mahu
jangan cuba memberi lagi
aku tak ingin
usah cuba untuk datang
pergi kau dari sini
jangan toleh padaku
tiada apa untuk dirimu
langkahku bukan menujumu
aku punya arah sendiri
aku tidak perlu apa-apa
apa yang ku perlu
sudah ku miliki...

0 comments

Kehendak Takdir (Part 8)

Sham masih percayakan Erin. Dia tidak pernah sangsi akan kejujuran Erin. Sejak akhir-akhir ini Erin kerap menerima panggilan telefon dari seseorang yang tidak Sham ketahuinya. Terdetik juga di hatinya ingin bertanya kepada Erin. Tetapi demi dasar saling percaya, Sham pendamkan saja niatnya itu.

Perhubungan mereka masih seperti biasa. Tetap mesra. Seringkali juga mereka keluar berdua. Bertemu sesekali di hujung minggu melepaskan rindu yang tersimpan. Semakin hari kemesraan mereka semakin bertambah. Seolah tiada apa yang dapat memisahkannya.

“Erin, boleh Mie cakap sesuatu?” pinta Azmi pada suatu hari semasa bertemu Erin di kampungnya itu semasa Erin balik bercuti.

“Cakaplah Mie. Erin bersedia mendengar,” jawab Erin.

“Erm…Mie tak tahu nak mula dari mana. Tetapi ini semua berkenaan dengan perasaan Mie pada Erin,” jelas Azmi.

“Semakin hari Mie rasa perasaan tu semakin bertambah. Dari dulu lagi, tak pernah kurang walau sedikit pun. Cuma Mie pendamkan saja sebab pernah sekali Erin menolaknya dulu,” sambung Azmi lagi.

Erin tidak sangka Azmi masih menyimpan perasaan kepadanya. Baginya Azmi hanyalah seorang sahabat baik. Tidak lebih dari itu. Erin terdiam. Tidak tahu bagaimana hendak menerangkanngya kepada Azmi.

“Kalau Erin tak sudi Erin cakaplah. Mie boleh terima. Mie sedar siapa diri Mie ni. Serba kekurangan,” ujar Azmi lagi setelah dilihat Erin mendiamkan diri sahaja.

“Mie…Kalau Erin tidak terima cinta Mie pun, bukan itu sebabnya. Erin tak pandang semua tu,” jawab Erin. Dia tidak mahu Azmi terlalu merendahkan diri sangat. Dia mahu sahabatnya itu yakin pada diri sendiri.

“Atau hati Erin sudah ada yang memilikinya?”

“Tak ada,” terpancul jawapan itu dari mulut Erin. Terkedu Erin seketika.

Dia tidak tahu bagaimana jawapan itu boleh keluar dari mulutnya. Mungkin kerana dia terlalu ingin menjaga hati Azmi. Erin sedar tindakannya itu bagai memberi seribu harapan buat Azmi.

“Erin rasa kita berkawan saja buat masa ni. Kita berserah pada jodoh dan takdir,” ujar Erin.

Azmi lega juga dengan jawapan Erin. Sekurang-kurangnya dia tahu hati Erin masih tiada siapa yang memilikinya. Azmi berazam mahu menawan hati itu. Dia akan cuba untuk menambat hati Erin. Dia yakin suatu hari Erin pasti akan jadi miliknya.

Sejak dari itu Azmi bertekad mahu mengubah nasibnya. Dia ingin berusaha bersungguh-sungguh memajukan dirinya. Dia akan buktikan pada Erin yang dia mampu mengecap kejayaan. Ini semua demi cintanya pada Erin.

Langkah pertama yang Azmi ambil dengan berjumpa dengan Pegawai Pertaniah di daerahnya. Dia diberikan sedikit taklimat mengenai skim pinjaman Satu Mukim Satu Industri (SMSI) yang pernah diwar-warkan pihak kerajaan. Dia ingin memohon skim pinjaman itu. Dia juga berbincang mengenai hasratnya ingin mengusahakan tanaman cendawan tiram.

Sebelum ini dia pernah terbaca mengenai projek tanaman cendawan tiram ini di suratkhabar. Perusahaan cendawan merupakan salah satu perusahaan yang makin dikenali dan sering diperkatakan kebelakangan ini. Perusahaan yang tidak memerlukan tanah yang luas disamping modal yang tidak terlalu tinggi dan tidak memerlukan banyak tenaga bagi menghasilkan beg media untuk pertumbuhan cendawan antara sebab utama Azmi ingin menceburkan diri dalam perusahaan tanaman cendawan ini.

Setelah sebulan menunggu, akhirnya permohonan Azmi diluluskan. Dia mendapat pinjaman dari Bank Pertanian Malaysia. Sejak dari itu Azmi semakin sibuk. Banyak kursus yang telah diikutinya. Akhirnya projeknya dapat di mulakan juga. Azmi bercadang ingin membuat kejutan kepada Erin. Dia tahu Erin pasti terkejut melihat projek tanaman cendawannya ini. Sejak sibuk dengan projeknya ini dia sudah jarang menghubungi Erin.

Erin ingin membawa Sham pulang ke kampungnya di Perlis pada cuti sempena Merdeka pada hujung minggu ini. Erin bersungguh-sungguh ingin Sham mengikutinya. Dia ingin memperkenalkan Sham kepada keluarganya.

“Mak, hujung minggu ni Erin bawa kawan datang rumah. Boleh tak mak?” pinta Erin semasa dia bercakap dengan emaknya di telefon.

“Bawak je lah, kawan Erin laki ke perempuan?” giliran emaknya pula bertanya.

“Lelaki mak, dia nak berkenalan dengan keluarga kita,” jawab Erin.

“Dia nak datang merisik Erin ke? Tak sangka anak mak ni ada jugak orang berkenan,”

“Mana ada merisik, nak kenal-kenal je ngan keluarga kita,” ujar Erin.

Hujung minggu itu Erin dan Sham akan bertolak ke Perlis Pagi-pagi lagi Sham sudah sampai di rumah Erin. Sempat juga dia bersarapan bersama emak dan bapa saudara Erin itu.

“Abang Sham risaulah nak berdepan dengan keluarga Erin nanti. Berdebar-debar je ni,” ujar Sham sambil memandu.

“Apa nak risaunya Abang Sham. Bertenanglah. Mak dan ayah Erin tak garanglah,” Erin cuba menenangkan Sham.

“Nanti Erin tak ada sesiapa yang cemburu ke melihat Abang Sham ke rumah Erin?” Sham menduga.

“Ish Abang Sham ni. Mana ada lah,” jawab Erin. Sepintas lalu wajah Azmi terlintas di benak fikiran Erin. Erin tahu Azmi tentu tidak akan pergi ke rumahnya.


Bersambung lagi…