boring, takde mende nak buat. so, aku tumpang copy paste kat sini jer la. leh kan zam? heheh...
- DAHLIA -
Kelas Pendidikan Jasmani sudah pun berlalu separuh waktu. Biasanya pada waktu begini, Dahlia gemar mewarna buku lakaran kartun yang dibeli ayahnya. Namun, entah mengapa hari ini dia kurang berminat untuk berbuat begitu.
Ditopangkannya dagu sambil anak matanya ralit merenung jauh ke luar jendela. Riuh-rendah rakan-rakannya di padang membuatkan hatinya sedikit terusik. Keseronokan mereka membuatkan Dahlia tiba-tiba sahaja berasa kepingin. Sudah lama benar dia tidak memijakkan kaki di atas rumput padang yang menghijau. Dan sudah lama juga dia tidak berlari mahupun melompat girang seperti kanak-kanak lain. Dahlia benar-benar kerinduan.
Dia mengeluh kecil. Dialihkan pandangannya ke arah lain. Langsung dikesatnya mata yang berair. Dia ingat lagi pesan nenek. Kata nenek, apa yang berlaku adalah dugaan Allah. Dan sebagai hambanya dia harus bersabar.
Cuba dipujuk lagi hati yang tidak keruan. Namun, makin dipujuk, kian galak pula hati kecilnya meronta gelisah.
Sesekali dahinya berkerut menahan sakit. Perlahan-lahan diselaknya kain baju kurung yang sedang dipakai. Kemudian dirabanya kedua belah kakinya yang berbalut kemas. Hati Dahlia kembali sebak. Tidak ramai yang tahu apa yang tersembunyi di sebalik balutan itu. Malah, boleh dikatakan cuma beberapa orang sahaja rakan-rakannya yang perasan akan kakinya yang berbalut.
Kadang-kadang Dahlia berasa sangat segan dan bimbang. Dia takut kalau-kalau bau yang kurang enak dari kakinya tiba-tiba menusuk ke hidung teman-teman lain.
Dahlia sedar, kakinya tidak seperti kaki orang lain. Kakinya penuh keruping bercampur nanah. Dahulu bahagian yang kena cuma sedikit. Tetapi, semakin lama bertambah luas pula ia merebak. Dan akhirnya menjalar sehingga ke seluruh kaki kirinya. Dia tahu, bukan calang-calang nanah yang bertapak di kakinya.
Sejak diserang penyakit, kakinya tidak lagi betah bergerak seperti dahulu. Nanah di kaki seolah-olah rakus menjamah kulit dagingnya sehinggakan kakinya hilang upaya untuk berdiri gagah. Pergerakannya kian terbatas. Serta-merta dia berasa sangat kasihan kepada ayahnya kerana terpaksa bersusah payah menghantar dan mengambilnya dari sekolah setiap hari. Malah, lebih menyedihkan Dahlia apabila ayahnya terpaksa mendukungnya menaiki tangga setinggi dua tingkat semata-mata kerana mahu menghantarnya ke kelas 3 Hijau.
Pernah Dahlia suarakan hasratnya untuk berhenti sekolah. Sekurang-kurangnya kurang sedikit beban ayahnya. Namun, mak dan ayahnya berkeras membantah.
“Jangan risaukan ayah. Selagi Lia boleh pergi ke sekolah, mak dan ayah nak Lia pergi juga. Kami tak mahu Lia tercicir,” terang ayahnya lembut membuatkan Dahlia sedikitt terharu.
Dahlia tidak tahu penyakit apa yang sedang dideritainya sejak lebih setahun lalu. Kata ayah, doktor sendiri pun tidak pasti. Dahlia jadi bingung tiba-tiba. Setahu Dahlia, doktor amat bijak tentang ilmu perubatan. Mustahil penyakit sebegini pun dia tidak tahu. Serta-merta timbul keraguan di hati Dahlia. Benarkah doktor tidak tahu? Atau barangkali ayah sengaja berkata begitu?
“Memanglah mereka pandai ubat orang sakit. Tapi Lia kena ingat, doktor pun manusia juga macam Lia... Walaupun dia hebat, dia tetap ada kekurangan. Cuba Lia tengok Shahril. Orang mungkin sangka dia kuat sebab badan dia besar dan gemuk. Tapi Lia pun tau yang Sharil selalu kena buli, kan?” ujar emak suatu hari. Dahlia terdiam seketika, cuba menimbang semula kata-kata emak.
Pernah juga Dahlia terdengar soksek orang. Kononnya dia dianiaya orang. Namun, Dahlia tidak berani hendak mengiyakan.
“Lamanya termenung. Ingatkan apa?” Dahlia tersentak. Ditolehnya ke arah Aini yang baru sahaja selesai menyalin pakaian sukannya.
“Tak ada apa-apa,” ujar Dahlia lembut. Aini tersenyum. Dilabuhkan punggungnya di sisi Dahlia.
“Rosdi cakap, hari ni Cikgu Zainab tak datang. Eee... Seronoknya...” kata Aini tiba-tiba. Gembira benar dia apabila kelas Bahasa Malaysia tidak ada hari ini. Dahlia sekadar tersenyum. Dia sudah masak benar dengan sikap Aini. Aini agak pemalas. Peliknya, dia masih lagi mampu mendapat markah yang cemerlang dalam peperiksaan.
Dahlia tidak menghiraukan Aini yang sedang sibuk melipat baju sukannya untuk dimasukkan ke dalam beg sekolah. Dia terus membuka buku warna bergambar Mickey Mouse kesukaannya. Diselaknya satu persatu. Aksi Minnie Mouse yang sedang menari tango menarik perhatiannya. Langsung jari-jemarinya berhenti menyelak. Diambilnya pensel warna merah tua. Kemudian diwarnakannya gaun Minnie yang separas lutut.
“Aini! Kenapa pukul Lia? Sakit tau!” rintih Dahlia tiba-tiba sambil menggosok lembut bahu sebelah kanannya. Aini tersengih memandang wajah masam Dahlia.
“Ala... Minta maaflah, Lia. Aini tak sengaja. Ini semua sebab lalat tadi tu lah! Agaknya dia dah tak ada tempat lain nak pergi. Sebab itulah dia datang sini. Tapi, pelik betullah! Lalat kan selalunya suka tempat busuk. Takkanlah dia boleh tersuka bau bedak Aini yang wangi ni!” kata Aini cuba berseloroh.
“Agaknya dia datang sebab kaki Lia...” ujar Dahlia perlahan dengan nada yang cukup mendatar. Aini tersentak. Tidak disangka gurauannya tadi telah mengguris hati temannya.
Dipandangnya wajah Dahlia yang berubah suram. Dia tahu Dahlia tersinggung. Aini mengeluh perlahan. Dan hatinya terus-menerus memaki kelancangan mulutnya sendiri. Ahh... Bagaimanalah dia boleh menjadi secuai itu ketika melontar kata kepada Dahlia? Dialihkan pandangannya ke arah lain. Tidak sampai hatinya melihat air yang sudah bergenang di kelopak mata Dahlia.
“Lia... Aini minta maaf. Aini tak maksudkan macam tu. Aini cuma bergurau,” ujar Aini lembut. Cuba dipujuknya Dahlia yang semakin berwajah mendung.
Dahlia diam tidak membalas. Entah mengapa tiba-tiba sahaja dia teringatkan lalat-lalat yang selalu cuba menyinggah pada kakinya ketika tidak berbalut. Berulang kali dia menepis, tetapi lalat itu enggan jua pergi jauh. Dahlia mengeluh perlahan. Hatinya terus merintih. Ahh... Letihnya melayan tubuh sendiri.
“Lia... maafkan Aini...” ujar Aini untuk kesekian kali. Namun, Dahlia terus menyepi.
“Lia...”
Dahlia sudah semakin bosan dengan rasa sakit yang kian menjalar. Kalaulah penderitaannya hanya akan berakhir dengan kematian, dia rela begitu. Bukankah itu lebih baik untuk dia dan semua orang?
“Lia... Kenapa ni?”
“Erm... Lia tak apa-apa,” ujar Dahlia sambil tersenyum. Dia tidak mahu lagi ambil hati dengan Aini. Aini teman baiknya. Dia sayangkan Aini. Dia sayangkan semua orang.
Waktu persekolahan sudah lama berakhir. Dahlia membetulkan kain yang menutup bahagian kakinya yang telanjang tidak berbalut. Kemudian ditariknya nafas dalam-dalam. Dia ingin hirup udara segar di hadapan rumahnya puas-puas. Dipandangnya ibu yang yang sedang menyapu sampah di halaman. Kemudian beralih kepada wajah nenek dan ayah yang sedang berbual tidak jauh darinya. Dibeleknya setiap wajah itu puas-puas. Dia tidak mahu kerinduan lagi selepas ini.
“Lia sayang... Mari kita masuk dalam,” ajak ibunya lembut. Namun, Dahlia enggan bergerak mahupun membuka mata. Walau berkali-kali diajak, Dahlia tetap kaku begitu. Perlahan-lahan tubuhnya mula mendingin.
7 comments:
boleh je...memeriahkan suasana..hehe
ni ke cerpen ko yg masuk majalah Mingguan Wanita tu? beh le.. syedih je..
sampai situ je ke citer ni, sedey la..sob..sob...
bukanlah zam. original copy cerpen tu dah hilang. :)
- kopie -
lps ni wat la cerpen..tajuk nama aku lak eh WANA...hihihi
amboii wana..asik ko je..
aku pon nak gak..cerpen tajuk FiZa..
cite industan pon ade filem title Fiza tau..hihi..
Hmmmmmmmmmmmm.Ok le gak......
Il semble que vous soyez un expert dans ce domaine, vos remarques sont tres interessantes, merci.
- Daniel
Post a Comment