Kehendak Takdir (Part 10)

Hari ini mereka berdua bertolak balik ke Kuala Lumpur setelah menghabiskan masa selama dua hari di rumah keluarga Erin. Sham gembira akan penerimaan baik keluarga Erin. Perhubungannya di restui keluarga Erin. Selama dua hari ini sempat juga Erin membawa Sham berjumpa dengan saudara-saudaranya di sekitar Perlis.

“Abang Sham rasa lega sangat sekarang ni Erin,”

“Kenapa?”

“Ye lah… Keluarga Erin dapat terima Abang Sham ni. Mula-mula tu takut jugak. Muka ayah Erin tu nampak garang, tapi bila dah mula berbual nampak mesra je,” ujar Sham sambil tersenyum

“Memang garang tu, kalau Abang Sham ada niat nak permainkan Erin, siaplah!” ujar Erin sambil tergelak kecil.

“Niat nak permainkan tu tak ada Erin, tapi niat nak masuk meminang cepat-cepat tu ada,” ujar Sham mengenyitkan matanya kepada Erin.

“Mak Long Erin tu kan, dia asyik suruh Abang Sham masuk meminang Erin cepat-cepat. Dia cakap tak payah lama-lama sangat. Nanti terlepas,” sambung Sham lagi.

“Kalau dah jodoh Erin dengan Abang Sham ni, tak kemana Abang Sham. Jangan risau,” ujar Erin.

Setelah mengharungi perjalanan hampir enam jam, akhirnya mereka sampai ke Kuala Lumpur. Sham terus pulang ke rumahnya setelah singgah menghantar Erin di rumah emak saudaranya. Dia mahu merehatkan badannya kerana keesokan harinya dia perlu pergi ke cafenya.

Erin termenung memandang syiling biliknya. Dia masih tidak dapat melelapkan matanya. Dia rasa bersalah. Bersalah kepada Sham dan juga Azmi. Semasa di kampung, adiknya ada memberitahu yang Azmi sekarang telah memulakan projek tanaman cendawannya. Semuanya kerana dirinya.

Adik Azmi, kawan kepada adiknya selalu menceritakan perihal Azmi kepada adik Erin itu. Tentang harapan Azmi. Tentang impiannya yang ingin mendapatkan cinta Erin. Semua ini membuatkan Erin bingung. Nasib baik dia sempat berpesan kepada adiknya agar tidak memberitahu adik Azmi akan kunjungan Sham ini.

Kalau dari dulu dia berterus terang dengan Azmi mengenai hubungannya dengan Sham, tentu semua ini tidak membebankan perasaannya. Jikalau sekarang dia hendak berterus-terang, tentu Azmi kecewa. Projek tanaman cendawannya itu pula mungkin terbengkalai. Itu yang Erin tidak mahu terjadi. Biarlah Azmi dapat mengecap kejayaan dulu. Mungkin masa itu masa yang paling sesuai untuknya memberitahu Azmi.

“Erin, bangunlah. Dah dekat pukul tujuh dah ni. Nanti lewat nak pergi kerja,” dengan lembut suara emak saudara Erin mengejutkannya dari tidur sambil menggoyang-goyangkan badannya.

Erin terkejut lalu bingkas bangun. Tidak disedarinya bila dia terlelap malam tadi. Sampai dia terlupa mahu mengunci jam locengnya. Erin terus mencapai tuala dan bergegas masuk ke bilik mandi. Dengan bersiap ala kadar, Erin terus keluar rumah menuju stesen LRT. Tanpa sempat untuknya menjamah sarapan di rumah emak saudaranya itu.

Erin sampai agak lewat sedikit ke pejabatnya. Termengah-mengah Erin melangkah masuk ke ruang pejabat di tingkat 5 di bangunan AIA di Jalan Ampang itu. Agak jauh juga Erin berjalan dari LRT Masjid Jamek itu. Erin lebih senang menggunakan perkhidmatan LRT daripada memandu keretanya ke pejabat. Dia tidak suka mengharungi jalan di Kuala Lumpur yang saban waktu penuh dengan kenderaan sehingga mnyebabkan kesesakan jalanraya.

“Erin, Encik Hashim panggil. Dia tunggu kat biliknya. Sekarang tau,” suara Aida setiausaha Encik Hashim bergema di hujung talian telefon di meja Erin.

Erin melangkah malas menuju ke bilik Encik Hasim. Selalunya Encik Hashim, ketua jabatannya jarang memanggilnya di awal waktu pejabat ini.

“Selamat pagi Encik Hashim,” Erin melangkah masuk ke bilik sederhana besar itu.

“Selamat pagi Erin. Duduklah,” jawab Encik Hashim sambil membelek-belek fail di atas mejanya.

“Ada apa Encik Hashim panggil saya?” Soal Erin

“Begini Erin, pihak ibu pejabat kita hendak hantar dua orang dari jabatan kita ni ke cawangan baru di Kangar, Perlis. Memandangkan Erin berasal dari sana, jadi kami sepakat memilih Erin ke sana,” terang Encik Hashim.

“Seorang lagi Ariani. Dia pun dah dimaklumkan dan dia setuju bertukar ke sana,” sambung Encik Hashim lagi.

“Kalau dah itu keputusan Encik Hashim, saya tak membantah,” ujar Erin.

“Kalau dah setuju, mungkin 2 minggu lagi Erin perlu ke sana,” ujar Encik Hashim tersenyum.

“Baiklah Encik Hashim, saya keluar dulu,” Erin meminta diri untuk keluar.

“Ok, kalau ada apa-apa masalah Erin terus jumpa saya ya,” ujar Encik Hashim lagi.

Baru sahaja dua tahun Erin bekerja dengan syarikat insurans AIA di Kuala Lumpur. Sekarang dia sudah di tukarkan ke cawangan Perlis. Bandar Kangar dengan rumahnya tidak jauh. Hanya 15 minit berkereta. Erin terus mendail nombor telefon bimbit Sham.

“Hello Abang Sham,” Erin bersuara agak manja.

“Hello Erin, awal pagi dah telefon Abang Sham. Rindu ke?” jawab Sham.

“Belum rindu lagi la Abang Sham, rasanya tak ada rindu untuk Abang Sham hari ni kot," ujar Erin sambil tergelak manja.

"Yelah... Siapalah Abang Sham ni kan..." ujar Sham bernada merajuk.

"Ish dah tua-tua pun nak merajuk? Tak malu!" Sempat lagi Erin mengenakan Sham.

"Sebanarnnya Erin ada perkara nak beritahu Abang Sham ni,” sambung Erin.

“Perkara apa?

“Begini Abang Sham. Erin kena tukar ke Perlis. Baru tadi ketua Erin beritahu. Mungkin dua minggu lagi Erin kena pergi ke sana,” jawab Erin.

“Kenapa Erin yang kena pergi, tak ada orang lain ke?” Sham berat hati nak melepaskan Erin berpindah ke Perlis.

“Erin kan orang Perlis, jadi senanglah nanti. Tak adalah masalah tempat tinggal kalau Erin yang pergi,” jawab Erin.

“Nanti kita berjauhanlah. Nak jumpa pun mungkin sebulan sekali je. Entahkan nanti Erin terpikat pula dengan orang sana. Kasihan Abang Sham nanti,” berlainan sekali nada suara Sham.

“Janganlah fikir yang bukan-bukan Abang Sham. Yang pergi hanya Erin, bukan cinta Erin pada Abang Sham…Abang Sham jangan risaulah,” Erin cuba meleraikan kerisauan di hati Sham itu.

“Abang Sham tau. Cuma Abang Sham tak sanggup menanggung rindu nanti,” ujar Sham.

"Lagipun kita mana pernah berpisah lama-lama. Macam manalah keadaan Abang Sham nanti..." ujar Sham lagi. Sayu Erin mendengarnya.

"Hanya jarak dan waktu memisahkan kita Abang Sham. Jiwa dan hati Erin tetap pada Abang Sham. Kalau cinta kita kuat, ada jodoh, kita pasti akan bersama juga akhirnya. Percayalah," ujar Erin.

Sham tidak menduga yang Erin terpaksa di tukarkan ke Perlis. Hubungan mereka baru setahun lebih. Masih banyak ruang di hati Erin yang belum di terokanya. Janganlah ada jejaka lain cuba menerokanya di saat mereka berjauhan. Bermacam kerisauan bersarang di benak Sham.

Bukan dia tidak percayakan Erin. Cuma dia risau akan perhubungan jarak jauh ini. Sudah banyak yang di dengarinya tentang perihal hubungan jarak jauh. Bermacam kemungkinan boleh berlaku. Sham hanya mampu berserah. Biarlah takdir yang menentukan.

Bersambung lagi...

6 comments:

Anonymous said...

la...dh berjauhan la plak..
xmo la sad ending..xbeh..

zam said...

dah camtu ceritanya..nak wat camne, mana ko tahu sad ending? hihihi

Anonymous said...

aku dh kenal ko la zam..hehe..
eh tp btol ek sad ending.?
ala xmo la..tuko le skit..

zam said...

mana leh bgtau...ntahla..ada 3 watak..mebi happy bagi salah satu watak tu...

Anonymous said...

hepi bg salahs atu watak..kire ok gak tu..xle sad sume..
;)

e-man in the house... said...

akan ku terus menunggu...