3 comments

Kehendak Takdir (Part 7)

“Abang Sham tu pemilik café yang selalu buat tempahan dengan Mak Cik Erin ni,” ujar Erin. Dia berharap agar Azmi tidak bertanya dengan lebih lanjut lagi.

“Erm…tapi kenapa dia hubungi telefon bimbit Erin?” soal Azmi lagi. Seakan masih ragu dengan jawapan Erin tadi.

“Erin sekarang ni membantu Mak Cik Erin tu ambil tempahan, selalunya tempahan-tempahan tu sebelah petang…lepas balik kerja Erinlah yang menghantarnya ke café Abang Sham tu, kenapa Mie?” Erin tahu, Azmi seolah ingin tahu apa hubungannya dengan Sham.

“Erm…tak ada apa-apa, saja bertanya,” ujar Azmi.

“Kenapa Erin bagi telefon ni kat Mie? Mie tak sanggup nak terimanya. Menyusahkan Erin saja, nanti Mie bayar harga telefon ni,” sambung Azmi lagi.

“Tak perlu bayar Mie, kalau Mie rasa Erin ni bukan kawan Mie, Mie bayarlah. Erin terima,” balas Erin.

“Jangan cakap macam tu Erin, Mie cuma tak nak menyusahkan Erin lagi, Mie harap Erin faham,” ujar Azmi.

“Erm, baiklah…kita lupakan soal telefon tu ya, anggaplah itu sebagai hadiah dari sahabat buat sahabat, Mie dan keluarga Mie apa khabar?” Soal Erin cuba mengubah topik perbualan itu.

“Semua sihat, kecuali emak Mie saja, dia macam tu lah, tak ada perubahan,” jawab Azmi.

“Sabarlah Mie, itu semua dugaan dari Allah, ujian untuk umat-Nya, Erin akan sentiasa doakan kebahagian keluarga Mie,” ujar Erin memberi perangsang buat Azmi.

“Entahlah Erin, Mie kadang-kadang rasa macam terlalu berat sangat dugaan-dugaan ni, tak tertanggung rasanya.”
“Jangan macam tu Mie, kena banyak-banyak bersabar, Erin sentiasa ada kalau Mie inginkan apa-apa pertolongan,” Erin cuba untuk menenangkan sahabatnya itu.

Erin amat kasihankan Azmi. Entah kenapa dia terlalu mengambil berat atas keadaan Azmi. Perasaan belasnya pada Azmi bermula pada awal detik perkenalan mereka. Masa tu Erin baru sahaja berpindah ke sekolah di daerah itu. Semasa di tingkatan 3. Erin terpaksa berpindah kerana ayahnya, seorang pegawai kerajaan telah di tukarkan ke daerah tempat tinggalnya sekarang.

Pada waktu itu Erin tidak mempunyai kawan lagi. Kebetulan rumahnya dengan rumah Azmi berdekatan. Satu haluan untuk menuju ke sekolahnya. Azmilah yang mula menegurnya. Selepas pada itu mereka sering pergi dan balik dari sekolah bersama. Sejak dari itulah mereka berdua rapat. Sampai ke hari ini.

Tiba-tiba telefon bimbit Erin berdering memecah sunyi malam. Mungkin Sham. Erin mengagak sendiri. Dengan pantas Erin mencapai telefonnya. Dan dilihatnya nama Sham berkelip-kelip di paparan muka telefonnya. Riang hati Erin. Terus menekan butang menerima panggilan itu.

“Hai Abang Sham! Rindu Erin ke telefon malam-malam ni?”

“Yelah, nak rindu siapa lagi kalau bukan Tuan Puteri ni…dah beradu ke Tuan Puteri? Adakah patik pacal yang hina ini mengganggu?” Soal Sham cuba bergurau.

“Beta baru sahaja hendak beradu, apakah gerangan tujuan tuan hamba mencari Beta di malam-malam buta ini?” Erin membalas laksana puteri di zaman dahulukala.

Tergelak Sham mendengar Erin berkata begitu dengan nada yang seperti seorang bangsawan yang melakonkan watak puteri raja. Pandai juga Erin melawak. Fikir Sham.

“Pandai Erin menjawab ya…boleh jadi pelakon ni,” ujar Sham lagi.

Iyalah tu Abang Sham…Abang Sham tak tidur lagi ke?”

“Nak tidur macam mana tuan puteri, kalau fikiran asyik ingat tuan puteri je, susah nak lelap ni,” jawab Sham.

“Dapat dengar suara Erin baru senang nak lelap…” sambung Sham.

“Teruknya Abang Sham sekarang, bahaya tu, kena pergi jumpa doktor pakar jiwa ni!” Erin mengenakan Sham

“Pakar jiwa? Memang pun… jiwa Abang Sham tengah gila sekarang, tergila-gilakan seorang puteri dari Indera Kayangan sana tu,” balas Sham.

“Siapalah puteri yang malang tu,” ujar Erin selamba.

Perbualan mereka sering di selitkan dengan gurauan-gurauan mesra. Sham akui, berbual dengan Erin memang tidak membosankan. Lama kelamaan mereka bertambah mesra. Ikatan cinta antara mereka semakin utuh. Mereka sering bertemu jika ada kelapangan.

Perhubungan mereka sudah mencecah hampir enam bulan. Emak saudara Erin, Mak Cik Rokiah pun sudah maklum akan perhubungan mereka berdua. Baginya Erin dan Sham amat sepadan. Dia selalu menasihatkan Erin supaya pandai menjaga hati Sham. Jangan sesekali cuba menyakitkan hati Sham. Mak Cik Rokiah memang dari dulu sudah berkenan dengan Sham. Baik pekertinya.

Seringkalilah juga Sham berkunjung ke rumah Mak Cik Rokiah. Kadang-kadang di bawa bersama kawan-kawannya, Faizal dan Rafi jika emak saudara Erin itu menjemputnya makan malam di rumahnya.

Sham juga pernah bercadang ingin berjumpa dengan keluarga Erin di Perlis. Dia pernah memberitahu Erin akan hajatnya itu. Erin juga setuju dan gembira dengan hajat Sham itu. Dia berpendapat bahawa Sham betul-betul ikhlas dengannya. Bertambah-tambah rasa cintanya pada Sham. Tidak mungkin dia akan mempersia-siakan Sham.

“Abang Sham…apa bukti cinta Abang Sham pada Erin?” Suatu hari Erin bertanya kepada Sham semasa mereka sedang berjalan-jalan di taman di luar KLCC.

“Erm…bukti? Entahlah Erin, Abang Sham tak sempat lagi nak kumpul bukti,” dengan selamba Sham menjawabnya.

“Abang Sham ni…orang serious dia main-main pulak,” ujar Erin mencebik muka masam.

“Abang Sham gurau je, Oklah kalau Erin nak tahu, sepanjang perhubungan kita ni, Abang Sham dah tak pernah pandang atau cuba nak dekat dengan perempuan lain dah.”

“Abang Sham pun dah tak pernah hubungi mana-mana kawan perempuan Abang Sham dah,” sambung Sham.

Ish Abang Sham ni, takkanlah sampai macam tu sekali,”

“Entahlah Erin, tapi Abang Sham suka macam ni, hanya Erin je yang Abang Sham perlu,” jawab Sham jujur.

“Abang Sham dah tak perlu ada perempuan lain dalam hidup Abang Sham,” ujar Sham lagi.

Erin tidak sangka sampai begitu sekali cinta Sham padanya. Hingga sanggup buat semua itu demi ingin menjaga hubungan cinta mereka. Sedangkan Erin masih lagi berteka-teki dengan Azmi. Masih belum menjelaskan kepada Azmi tentang hubungannya dengan Sham.

Pernah juga Azmi seakan berkias dengannya tentang perasaannya pada Erin. Cuma Erin sengaja buat-buat tidak faham. Mereka sering behubung sejak Azmi mempunyai telefon bimbit pemberian Erin. Erin tidak tahu bagaimana ingin memberitahu Azmi tentang hubungannya dengan Sham. Buntu Erin memikirkannya. Serba salah dibuatnya.

Dia hanya mampu berserah sahaja. Biar masa dan keadaan menentukannya. Sampai masa nanti pasti dia akan memberitahu Azmi tetang perkara itu. Bagaimana pula jika Sham tahu akan hubungannya dengan Azmi? Apakah dia akan cemburu? Ahh! Baru dia sedar selama ini dia tidak pernah menceritakan perihal Azmi kepada Sham.

Seringkali juga Erin menjadi serba salah jika menerima panggilan dari Azmi saat dia bersama dengan Sham. Dia berharap agar Sham tidak perasan akan perubahan sikapnya itu. Bukan niatnya ingin membohongi atau menyembunyikan sesuatu dari Sham. Cuma dia tidak tahu apa perlu dibuatnya. Dia betul-betul cintakan Sham. Tiada apa dapat menghalang cintanya itu.

Bersambung...

3 comments

Kehendak Takdir (Part 6)

Pagi itu, sementara menunggu basnya ke Kuala Lumpur, Erin sempat membeli sebuah telefon bimbit. Dia ingin memberi telefon itu kepada Azmi. Supaya senang mereka berhubung. Dia tidak ingin membiarkan Azmi berseorangan menghadapi saat-saat getir dalam hidupnya. Erin berpesan kepada adiknya supaya memberi telefon itu kepada Azmi. Erin tahu seandainya dia sendiri yang memberinya pasti Azmi menolaknya.

Hari ini Sham meminta keizinan rakan-rakannya untuk keluar awal bagi membolehkannya menjemput Erin yang akan tiba dari kampungnya di Perlis. Petang itu kereta di pandu Sham meluncur menuju perhentian bas di Jalan Duta. Hentian bas itu adalah dikhaskan untuk perjalanan bagi sebelah utara Semenanjung Malaysia.

Sham resah dan berdebar-debar menanti ketibaan bas yang di naiki Erin. Inilah kali pertama dia akan bertemu mata dan menatap wajah cantik Erin itu sebagai kekasihnya. Sebelum ini hanya bertemu di cafenya sahaja. Itu pun saat dia masih belum menzahirkan hasrat cintanya pada Erin. Setiap hari berlalu hanya menambahkan rasa rindunya pada Erin. Adakah Erin juga begitu. Sham bermain dengan persoalannnya.

Sedang Sham asyik melayan perasaannya. Tiba-tiba satu sapaan mesra terdengar di telinganya. Suara yang amat di rinduinya itu bergema di ruang khayalannya. Perasaannya gembira tidak terkata. Sham tersenyum dan terus memalingkan badannya mencari arah suara itu. Dilihatnya Erin sedang tersenyum sambil memegang beg pakaiannya. Betapa cantiknya Erin di mata Sham ketika itu. Bertuah dirinya dapat memiliki cinta Erin.

“Apa Abang Sham ni, asyik renung Erin je, malulah Erin,” tegur Erin setelah dilihat Sham asyik memandang wajahnya.

“Rindu,” jawab Sham sepatah sambil mencapai beg di tangan Erin.

Mereka berdua beriringan menuju ke kereta Sham. Setelah meletakkan beg di boot kereta, Sham terus membuka pintu kereta sebelum sempat Erin membukanya.

“Silakan masuk wahai Puteri Indera Kayangan,” spontan Sham mempelawa Erin masuk.

Sambil tersenyum Erin melangkah masuk ke kereta itu. Sekejap sahaja Sham sudah berada di tempat pemandu itu. Kereta terus meluncur keluar dari Hentian Duta meninggalkan satu memori manis buat mereka berdua. Di situlah pertemuan pertama mereka sebagai pasangan kekasih.

“Awal lagi ni sayang, kita pergi makan dulu nak, laparlah…” Sham bersuara.

“Sejak bila panggil Erin ni ‘sayang’?” Soal Erin kehairanan.

“Eh…tersasullah Erin, mulut ni main cakap je, mungkin dia ikut kata hati Abang Sham yang sayang sangat kat Erin ni,” ujar Sham tersenyum.

“Tak sudi Abang Sham panggil macam tu tak apalah Erin…nak buat macam mana, ada orang tak sudi,” sambung Sham lagi dengan nada merajuknya.

“Terpulanglah kat orang tu nak panggil apa, jangan sayang kat mulut dah lah,” balas Erin.

“Kan dah cakap tadi, dari hati lepas tu mulut yang berkata-kata..menzahirkan apa di hati Abang Sham,” kata Sham lagi sambil memandang wajah mulus Erin itu.

“Bawa kereta tu pandang depan, jangan nak tengok sini!” Erin marah Sham yang asyik memandang wajahnya. Sempat dia melemparkan jelingan manjanya pada Sham.

“Tak sangka ya Erin terima juga lamaran Sham, ingat dah tak sudi, maklumlah orang cantik, tentu ramai peminat,” Sham bersuara setelah masing-masing terdiam.

Erin cuma tersenyum. Tidak tahu apa yang perlu di cakapkannya. Biarlah senyuman ini dapat menerangkan perasaannya. Hatinya betul-betul terbuka untuk menerima cinta dari Sham. Entah apa sebabnya pun Erin tidak tahu. Dia rela atas semua ini.

Sham memberhentikan keretanya di hadapan sebuah restoran di Bangsar, tidak jauh dari rumah mak saudara Erin yang di tumpangnya. Mereka berdua melangkah masuk ke restoran itu. Sham memilih meja yang paling tersudut sekali. Setelah pesanan di ambil, mereka berbual-bual. Banyak perkara yang di bualkan mereka. Maklumlah mereka masih belum kenal hati budi masing-masing. Tentu banyak yang ingin di ketahui mereka.

Erin mendapati Sham banyak mempunyai ciri-ciri lelaki idamannya. Tutur katanya. Cara bercakap. Seolah semuanya sempurna bagi Erin. Sham begitu pandai mengambil hatinya. Dia rasa selesa tatkala berada bersama dengan Sham.

Setelah selesai menikmati makan malam di restoran itu, Erin meminta Sham terus menghantarnya ke rumah Mak Ciknya. Pada mulanya Sham seakan berat hati untuk terus menghantar Erin kerana Sham masih ingin bersama-sama dengan gadis kesayangannya itu. Belum puas rasanya.

“Awal lagi lah Erin, kita berbual-bual dulu, lepas tu baru Abang Sham hantar, boleh?” Sham bertanya pada Erin.

“Tak bolehlah Abang Sham, nanti apa kata Mak Cik, ikutkan Erin nak temankan Abang Sham sampai bila-bila,” jawab Erin memujuk.

Sham akur dengan kehendak Erin. Dia pun menghantar Erin ke rumah emak saudaranya. Mereka terpaksa berpisah seketika. Perasaan berat hati mengiringi pengakhiran pertemuan itu. Tidak semena-mena Erin ambil tangan Sham dan tunduk mengucupnya. Terpaku Sham seketika. Sesuatu yang tidak di sangkanya. Erin terus berlalu sambil melambaikan tangannya kepada Sham tanpa sempat Sham meluahkan kata.

Sham merasakan hari ini adalah hari paling bermakna buatnya. Dia bahagia dengan apa yang di lalui sepanjang hari itu. Dia mencoretkan sesuatu di dalam diarinya. Sejak perkenalannya dengan Erin, setiap hari pasti ada sesuatu ingin di tulisnya dalam diari kecilnya itu. Semuanya hanya tentang Erin.
Biarlah diari kecil ini menjadi saksi betapa dia menyintai Erin.

Erin bergegas-gegas berlari menjawab telefon bimbitnya yang asyik berbunyi semasa dia di dalam bilik air. Tanpa melihat siapa yang menghubunginya terus Erin menjawabnya.

“Hello Abang Sham, Erin baru lepas mandi ni, nanti telefon balik ya,” pinta Erin.

“Abang Sham? Ni Mie lah Erin, maaf kalau Mie mengganggu,” lembut Azmi berkata.

“Oh Mie, tak mengganggulah, Erin baru lepas mandi ni, tadi tak tengok siapa yang telefon, terus jawab je,” terang Erin cuba melindungi rasa bersalahnya.

“Aduh, kenapalah aku boleh tak tengok dulu siapa yang telefon,” gerutu Erin di dalam hatinya.

“Siapa Abang Sham tu Erin?” Soalan yang sudah dapat di jangka oleh Erin.

Erin tidak tahu apa yang patut di jawabnya. Dia tahu Azmi masih menaruh hati padanya. Dan dia tak sanggup meberi jawapan yang pasti melukakan hati sahabatnya itu. Biarlah dia berbohong demi menjaga hati sahabatnya. Dia tidak ingin menambah beban perasaan kepada Azmi. Pasti bertambah duka dalam hidupnya.

*Apa yang terjadi? Bersambung lagi ….

4 comments

Belenggu Diri

gelisah jiwa memberontak
ingin lepas dari dalam ini
dari belenggu hidup kepayahan
terlalu keras sukar di leraikan

perlukah diri sehebat Ismail
dengan hentakan tumit kecil
dapat memancurkan titisan air
hingga terbasah tekak yang perit

akan ku cari bayangan diri
di balik cermin cermin kaku
apa ada disebaliknya
apakah pasti akan ku jumpa
satu persatu kekurangan diri?

bentakan keras hatiku ini
seolah memberi amaran
usah lagi aku alpa
bebaskanlah diri yang terbelenggu!




4 comments

Kehendak Takdir (Part 5)

Erin sampai di rumahnya semasa ayahnya baru sahaja sampai. Mungkin dari Bandar Kangar jumpa kawan-kawanya. Bisik hati kecil Erin. Erin terus melangkah menuju ke dapur. Emaknya sedang menyiapkan hidangan makan tengahari mereka.

"Erin dari mana ni?" soal emaknya sambil mengupas beberapa biji bawang.

"Erin pi jumpa Azmi tadi mak."

"Kesian Azmi tu kan, susah hidup dia sekarang, dahlah ayah baru je meninggal...sekarang emak dia pula yang sakit," kata emaknya dengan nada yang sayu.

"Ayah dia meninggal? Bila mak?" soal Erin terkejut dengan apa yang didengarnya.

"Erin tak tahu ke? baru je...dalam bulan ni lah Erin," jawab emaknya.

"Erin tak tau pun, tadi masa berbual-bual dengan Azmi pun dia tak bagitahu," jawab Erin. Sedih.

"Mak dia sakit apa mak?"

"Lepas ayah dia meninggal, mak dia kena serangan angin ahmar, terlantar kat rumah tu,"

"Kasihan si Azmi tu, adik-adik bersekolah ramai lagi, dialah yang kena bekerja menanggung keluarganya," sambung emak Erin lagi.

"Sampai hati dia tak bagitahu Erin mak," Erin berkata dengan nada yang sedih.

"Dia terlupa kot, biasalah Erin kalau fikiran tengah runsing, adalah benda-benda yang terlupanya," jelas emaknya.

Erin tidak menduga. Seberat itu dugaan yang menimpa diri Azmi. Erin turut merasa sedih atas apa yang berlaku kepada Azmi sekeluarga.

Dahulu mereka berdua sama-sama memasang impian untuk belajar hingga sampai ke menara gading. Hanya Erin yang berjaya mencapai impian itu. Meskipun kedua-dua mereka mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

Ini adalah kerana Azmi tidak ada kemampuan dari segi kewangan untuk meneruskan impiannya itu. Dia pernah berjanji pada Erin bahawa satu hari nanti dia akan sambung juga pelajarannya.

Erin percaya. Kalau dahulu Azmi menerima pelawaan ayah Erin untuk membiayai pembiayaan yuran pengajian sementara menunggu pinjaman PTPTN, mungkin nasib Azmi tidak seteruk ini.

Mungkin sekarang ini Azmi sudah menjawat jawatan penting dalam sesebuah syarikat. Erin tidak tahu kenapa Azmi tidak mahu menerimanya. Mungkin dia ada sebabnya yang tersendiri.

Selepas menikmati hidangan makan tengahari, Erin bercadang ingin pergi lagi berjumpa dengan Azmi. Dia ingin dengar segala-galanya dari mulut Azmi sendiri. Terselit juga perasaan ingin marah kepada Azmi kerana langsung dia tidak di beritahunya perkara ini.

Hajat Erin ingin berjumpa Azmi tidak kesampaian. Hujan turun dengan lebatnya pada petang itu. Gelisah Erin menanti hujan berhenti. Memang susah untuk berhubung dengan Azmi. Di rumahnya tiada talian telefon. Telefon bimbit pun dia tiada. Hanya surat sahaja cara Erin dan Azmi berhubung.

Esok, awal-awal pagi lagi Erin perlu bertolak balik ke Kuala Lumpur. Dia perlu juga bertemu dengan Azmi sebelum dia kembali ke Kuala Lumpur. Fikirannya tentu tidak tenteram seandainya tidap dapat bersua muka dengan Azmi. Sahabatnya itu dalam kesusahan.

Malam itu, Erin mengajak adiknya menemaninya pergi ke rumah Azmi. Emak dan ayahnya juga memberi keizinan kepadanya. Ayahnya menyuruhnya pergi dengan menaiki kereta. Demi keselamatan Erin dan adiknya. Erin menurut sahaja. Yang penting dia dapat berjumpa dengan Azmi.

Sesampainya Erin di rumah Azmi, dilihatnya Azmi sedang duduk termenung di pangkin bawah pokok mangga di depan rumahnya. Di temani dengan seorang adik lelakinya. Erin terus pergi mendapatkan Azmi.

“Assalamulaikum Mie, buat apa? Boleh Erin duduk sama?” Sapa Erin.

“Wa’alaikumussalam Erin, kenapa datang malam-malam ni?”

“Saja nak jumpa Mie…nak jumpa dengan orang yang sudah tak pedulikan kita lagi ni,” Erin berkata seakan merajuk.

“Kenapa cakap macam tu Erin?” Soal Azmi.

“Mie tu, kenapa sedikit pun tak beritahu Erin tentang peristiwa yang menimpa keluarga Mie,Erin ni dah bukan kawan Mie lagi ke?” Soal Erin pula.

“Bukan macam tu Erin, Mie tak nak menyusahkan Erin, Mie tahu Erin pasti sibuk dengan kerja kat KL tu,” jawab Azmi.

“Walau sesibuk mana Erin pun, Erin tak akan lupakan kawan Erin…,” balas Erin lagi.

“Jangan macam tu Erin, Mie tak ada niat pun nak lupakan atau nak membelakangi Erin, Cuma Mie saja tak nak menyusahkan Erin dengan masalah-masalah Mie,” Azmi cuba memperjelaskanya kepada Erin.

“Mie…kalau boleh Erin tak nak Mie hidup susah lagi, Erin nak bantu Mie.”

“Tak perlu Erin, Mie tahu cara nak selesaikan masalah Mie, terima kasihlah Erin,” jawab Azmi lembut.

Malam itu Erin tidak dapat tidur. Fikirannya asyik memikirkan keadaan Azmi sahaja. Betapa berat dugaan yang ditanggung Azmi. Dia tahu Azmi seorang yang tabah. Dia berdoa agar suatu hari nanti Azmi akan bertemu kebahagiaannya.

Sekilas wajah Sham terbayang. Apakah agaknya Sham buat sekarang ini. Baru Erin sedar yang selama dia di kampung baru sekali dua dia menghubungi Sham. Erin bingkas bangun dan mencapai telefon bimbitnya yang masih berada dalam beg tangannya. Tersentak Erin dengan apa yang dilihatnya di paparan muka telefon bimbitnya itu. Ada lebih 10 kali panggilan tak di jawabnya. SMS pun banyak yang di terimanya. Semuanya dari Sham. Tentu Sham risau sekarang ini. Fikir Erin.

Erin terus mendail nombor telefon Sham. Dengan hanya beberapa deringan sahaja Sham sudah menjawabnya. Lega hati Erin. Di harapnya Sham tidak marah padanya kerana tidak menjawab beberapa panggilannnya.

“Hai Abang Sham…buat apa tu,” sapa Erin dengan manjanya.

“Tak buat apa, duduk termenung mengenangkan sang Puteri yang jauh di Indera Kayangan tu, yang terlalu sibuk memikirkan rakyat jelatanya, sampaikan tak ingat orang kat sini,” jawab Sham. Tergelak kecil Erin dengar kata-kata Sham.

“Maaflah Abang Sham, telefon Erin kat bilik, Erin tak sedar tadi,” jawab Erin.

“Yelah…orang tu kalau dah kat kampung, kita di lupakannya, ke ada jejaka yang tampan yang asyik mencari Erin je kat sana?” Sham cuba melontarkan sedikit rasa cemburunya kat Erin.

“Ish Abang Sham ni, mana ada lah…siapalah yang hendakkan Erin ni, Abang Sham seorang saja jejaka malang yang terkena guna-guna Erin,” jawab Erin sambil tergelak.

Sham turut tergelak mendengar kata-kata Erin itu. Senang hatinya dapat mendengar suara Erin. Hilang segala rasa risau dan rindu. Dia tahu Erin jujur dengannya. Dan dia pun tidak pernah curiga dengan Erin. Esok Erin akan pulang ke Kuala Lumpur setelah tiga hari berada di kampungnya. Tidak sabar Sham menantinya.

1 comments

Kehendak Takdir (Part 4)

Hari ini, seawal jam 6.30 pagi Erin sudah bangkit dari tidurnya. Perasaannya terlalu gembira. Bahagia sekali. Alangkah indahnya perasaan. Pagi itu fikirannya terus teringatkan Sham. Lelaki pertama yang berjaya mencuri hatinya. Erin terus bangun dan bergegas ke bilik air. Dia perlu bersiap cepat kerana tiket basnya adalah pada pukul 8.00 pagi. Hari ini dia akan menempuh perjalanan yang jauh.

Sepanjang perjalanan menuju ke Perlis, Erin dah Sham tak putus-putus berkirim-kirim khidmat pesanan ringkas (SMS). Erin bahagia dengan keadaan ini. Seakan hidupnya sudah sempurna. Dia mahu menjaga hubungan yang baru berputik ini. Dia berjanji pada dirinya sendiri bahawa tidak akan sesekali dia berlaku curang pada Sham. Dia juga berharap cinta pertamanya ini kekal selamanya.

Sham masih sibuk menguruskan cafenya di kolej itu. Walaupun hari ini hari Sabtu, pelajar-pelajar kolej itu tetap ramai yang datang ke kolej, samada ada kuliah ataupun sekadar mengunjungi perpustakaan mencari bahan-bahan rujukan untuk tugasan-tugasan mereka.

Sesekali Sham leka memerhatikan gelagat-gelagat pelajar kolej tersebut. Ada yang berjalan berpasang-pasangan. Ada yang bersendirian. Sekilas terimbas kembali kenangan di waktu dia masih menuntut ketika dahulu. Sham pelik dengan dirinya, kenapa dahulu dia tidak ada sedikit pun perasaan ingin mempunyai kekasih seperti rakan-rakannya yang lain. Kebanyakan rakan-rakan sekampusnya masing-masing berpasangan. Ke kuliah bersama. Makan bersama. Sewaktu itu sedikit pun dia tidak rasa ingin seperti mereka. Dia senang dengan rutin hidupnya itu.

Saat ini berlainan sekali. Dia bahagia dengan hubungannya dengan Erin, walau hanya baru permulaan dalam hubungan cinta mereka. Erin berjaya membuka matanya dalam memahami pengertian sesebuah perhubungan. Erin juga yang membawanya ke alam yang belum pernah di laluinya sebelum ini. Indah. Teramat indah.

“Hoi, mengelamun nampak! Angau ke?,” sergah Faizal sambil menepuk bahunya.

“Ish, mana adalah, aku seronok tengok gelagat-gelagat pelajar kolej ni, teringat masa kita belajar dulu,” terang Sham cuba melindungi hakikat sebenarnya.

“Iyalah tu Sham…macamlah aku tak tau, eh Sham, bagaimana hubungan kau dengan Erin sekarang?” soal Faizal lagi.

“Erm...biasa. Kami masih berkawan, kenapa?” Sham masih belum memberitahu sahabatnya itu tentang hubungan mereka berdua.

“Takkan berkawan je, aku tengok kau asyik berSMS je, tentu dengan si Erin tu, bagi tahulah kat kita orang ni,” pinta Faizal. Kemudian perbualan mereka itu di sertai Rafi yang sedari tadinya asyik leka dengan telefon bimbitnya.

“A’ah lah Sham, bagitahulah kami ni, bolehlah jugak kami tumpang gembira, hehe,” Rafi mencelah.

“Betul ni korang berdua nak tahu?” soal Sham pula.

“Ish dia ni…betullah, cepatlah Sham,” pinta Faizal yang tidak sabar untuk mengetahuinya.

“Baiklah, aku bagitahu…sekarang ni aku dengan Erin dah jadi pasangan kekasih, baru semalam aku luahkan hasrat aku tu kat dia dan dia terimanya,” terang Sham dengan gembiranya.

“Baguslah tu Sham, akhirnya ada juga yang hendakkan kau, aku ingat kau jantan tak laku…hahaha,” kata Rafi mengenakan Sham. Faizal turut tergelak mendengar kata-kata Rafi itu.

Hari ini hari Ahad. Cuti. Sham bangkit agak lewat dari kebiasaanya pada hari bekerja. Dia ambil peluang itu untuk tidur lebih lama sedikit. Dia tidak sangka yang menguruskan sebuah café menyediakan makanan dan minuman ini begitu memenatkan. Sebelum ini dia selesa bekerja di pejabat yang berhawa dingin dan hanya duduk mengadap komputer.

Erin masih di kampungnya di Perlis. Sejak dia berada di kampungnya dari semalam, dia tidak kemana-mana. Hanya berada di rumah melayan karenah kedua-dua orang adik perempuannya. Dia anak yang sulung. Tiga orang adik beradik. Pada pagi Ahad ini dia membantu emaknya membuat sarapan sambil berbual-bual dengan emaknya. Banyak perkara yang di bualkannya. Hari ini Erin bercadang untuk berjumpa dengan sahabat karibnya, Azmi. Sudah lama tidak berjumpa.

Erin berjalan menyusuri laluan kecil di tepi lading-ladang tebu untuk pergi ke ladang tebu milik keluarga Azmi. Dia tahu, seawal pagi begini tentu Azmi sudah ada di ladang tebunya. Sesampainya dia di sana, dia terus melangkah menghampiri sebuah pondok kecil tempat Azmi dan keluarganya selalu berehat setelah penat bekerja.

Nasib Erin baik. Azmi memang ada di situ. Sebaik terpandang wajah Azmi. Erin sedikit terkejut kerana wajah sahabatnya itu begitu berlainan. Sedikit cengkung. Tiada lagi keceriaan di wajah itu.

“Hai Erin, bila sampai,”Azmi memulakan perbualan. Sedikit pun tidak menampakkan secebis kegembiraan.

“Baru semalam Mie, Mie…kenapa Erin tengok Mie berlainan sekali. Dah kurus sangat,” Erin bertanya kepada Azmi.

“Biasa je Erin, tidak ada apa-apa, mungkin sebab Erin dah lama tak jumpa Mie, sebab tu lah Erin nampak Mie macam kurus sikit,” jelas Azmi.

“Jangan bohong Erin, tentu Mie ada sembunyikan sesuatu dari Erin, bukannya baru hari ni Erin kenal Mie,” Erin tidak puas hati dengan jawapan yang Azmi berikan.

Azmi terdiam. Dia tidak tahu bagaimana hendak memberitahu Erin tentang keadaannya. Dia tahu Erin tentu marahkannya kerana tidak memberitahunya bahawa bapanya telah pergi ke Rahmatullah sebulan yang lalu. Azmi tidak mahu menyusahkan Erin lagi. Sudah banyak jasa Erin padanya. Dahulu, semasa zaman sekolah menengah dulu, Erin banyak membantunya dari segi kewangan. Dialah yang membantu membeli buku-buku rujukan untuk pembelajaran mereka. Dia sudah tidak ingin menyusahkan gadis itu lagi dengan masalah-masalahnya.

“Mie…kenapa diam, tak suka ke Erin balik ke kampung ni? Baiklah…kalau Mie masih nak diam jugak, Erin nak baliklah,” Erin seolah merajuk. Cuba menarik perhatian Azmi yang masih mendiamkan diri.

Azmi memandang Erin dengan lirikan redup matanya. Mata yang telah banyak mengeluarkan airmata. Mata yang telah menyaksikan ketidaksempurnaan adik-adiknya untuk meneruskan persekolahan.

“Erin, bukan macam tu, Mie tak berapa sihatlah…ni saja Mie duduk sini, ambil angin dan sinaran matahari pagi, Erin dah lupa ke, kan Erin selalu cakap, sinar matahari pagi ni baik untuk kesihatan. Ada vitamin D,” kata Azmi untuk menyedapkan hati gadis manis itu.

Mereka berbual-bual panjang selepas itu. Sedikitpun kedukaan Azmi tidak terlihat. Dia berusaha cuba menyembunyikannya. Dia tidak mahu gadis itu tahu keadaannya. Azmi seronok mendengar cerita Erin tentang rutin hidupnya di kota itu. Sepanjang perbualan itu, Azmi perasan yang Erin tiada pun menceritakan tentang perhubungannya dengan mana-mana lelaki di kota itu. Seolah Erin masih sendiri. Hati Azmi masih pada Erin. Tetapi sekarang Azmi rasa dia tidak layak berada di samping Erin itu. Biarlah di pendam sahaja niat baiknya itu. Jodoh pertemuan takdir menentukan. Dia pasrah.

*Bersambung untuk kesekian kalinya..

2 comments

Kehendak Takdir (Part 3)

Malam sudah sampai kemuncaknya, Sham masih belum mampu melelapkan matanya. Fikirannya tidak tenteram. Resah dan gelisah seolah-olah baru sahaja putus cinta. Dia tidak menyangka Erin perlu mengambil sedikit masa untuk memikirkan perkara ini. Mungkin juga Erin belum bersedia untuk menerima cinta dari seseorang lelaki. Atau mungkin kerana dia bukanlah lelaki idaman Erin. Pelbagai persoalan muncul di benaknya.

Erin seperti juga Sham. Masih tidak dapat melelapkan matanya. Dia tidak menyangka Sham boleh terpikat dengannya. Dia tidak tahu apa yang membuatkan Sham boleh jatuh hati padanya. Adakah Sham cuba hendak mempermainkan perasaannya. Buntu. Erin tidak tahu jawapannya. Dia mengaku, juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Sham. Cuma dia belum yakin akan perasaannya itu.

Malam kian larut, sudah menjangkau di awal dinihari. Kedua-dua mereka masih setia menikmati kesunyian malam. Esok Erin akan pulang ke kampungnya di Perlis. Pada awalnya dia merasakan terlalu gembira kerana dapat berjumpa dengan ahli keluarganya. Sekarang perasaan itu seolah-olah lari dari dirinya. Perasaan berkecamuk pula menghuni dirinya.

Tiba-tiba Erin terkenangkan seseorang di kampungnya di Perlis. Seseorang yang telah menjadi sahabat karibnya semenjak di sekolah menengah lagi. Azmi namanya. Bagaimanakah keadaannya sekarang. Ekrn sudah lama tidak menghubungi sahabatnya itu. Azmi juga pernah menaruh hati padanya. Dan dia tetap setia menunggu jawapan dari Erin. Tetapi di sudut hati Erin, tidak ada sedikit pun perasaan cinta terhadap Azmi. Pernah juga dia mencuba untuk mencari sesuatu yang boleh disandarkan untuk cuba mencintai Azmi. Tidak berhasil. Erin turut merasakan bahawa tidak mungkin ada cinta di antara mereka.

Bayangan kedua-dua lelaki itu silih berganti di kotak imajinasi Erin. Azmi, tidaklah tampan kalau hendak dibandingkan dengan Sham. Tetapi Erin cukup menyenanginya. Berada di sampingnya membuatkan Erin merasa tenang. Berbeza pula dengan Sham, seorang lelaki yang tampan, cukup pandai mengambil hati seorang perempuan. Setiap tutur katanya penuh bermakna. Mungkin sebab itu Erin mudah jatuh hati pada Sham. Dahulu Erin tidak pernah percaya pada cinta pandang pertama. Sekarang dia merasakan yang dia sudah terkena penangan cinta pandang pertama. Melepaskannya pergi umpama membiarkan perasaan cinta yang ulung kalinya ini terkubur begitu saja.

Erin memandang jam loceng di atas meje sisi katilnya. Waktu sudah menghampiri jam 2.30 pagi. Dia berhasrat untuk menghubungi Sham . Dia tidak mahu lagi berteka-teki dengan perasaannya. Mungkin ini yang terbaik di takdirkan untuk dia. Erin mendail nombor telefon bimbit Sham.

“Hallo Abg Sham, Erin ni, Erin tak boleh tidur la,” Erin memulakan bicara.

“Kenapa ni, dah lewat ni. Esokkan Erin nak jalan jauh, nanti penat,” jawab Sham.

“Sebenarnya Erin asyik fikirkan tentang perkara tadi Abg Sham…,” Erin bersuara menerangkan keadaannya.

“Erin ni, Abg Sham ni terlalu mendesak ke? Erin ambillah masa Erin, Abg Sham tak memaksa, apa jua jawapan Erin, Abg Sham boleh terima,” jawab Sham.

“Erin dah tak sanggup memikirkannya lagi Abg Sham, jawapannya tetap sama, puas Erin mencari sebab-sebabnya, kenapa Erin berperasaan macam ni,” balas Erin lagi.

“Abg Sham tak fahamla Erin, jawapan apa yang sama, perasaan apa tu, terangkan pada Abg Sham,” Sham masih tidak memahami maksud Erin itu.

“Sebanarnya, Erin pun ada perasaan pada Abg Sham, mungkin sebelum ini Erin tak sedar, setelah Abang Sham cakap tadi, baru Erin tahu tentang perasaan Erin pada Abang Sham,” jawab Erin panjang lebar.

Sham betul-betul gembira dengan apa yang di dengarinya tadi. Dia merasakan mahu menjerit. Mengkhabarkan pada sekalian alam bahawa dialah lelaki yang paling bertuah dan yang paling gembira di saat ini.

“Erin, betul ke apa yang Abang Sham dengar ni?,”Sham cuba mencari kepastian.

“Betul Abang Sham, nak Erin tarik balik ke kata-kata Erin tadi?,” jawab Erin berbaur ugutan.

“Jangan Erin, Abang Sham terlalu gembira sangat ni, bahagia sekali, bolehlah Abang Sham tidur lena malam ni,” Sham menjawab dengan nada yang seolah-olah menzahirkan perasaan gembiranya itu.

Sham begitu tidak menyangka secepat itu Erin membuat keputusan. Dia menjangkakan yang Erin tidak akan terima lamarannya itu. Perasaannya ketika itu cukup indah. Inilah detik-detik yang di tunggu selama ini. Perasaan cintanya pada Erin akhirnya bertaut dan dia akan menjaga tautan kasih antara mereka berdua.

* Bersambung lagi…

1 comments

Kehendak Takdir (Part 2)

Sejak hari itu Sham semakin kerap menelefon Erin, termasuk menghantar SMS kepada Erin. Mereka menjadi bertambah akrab. Cuma Sham belum berani untuk mengajak Erin keluar. Mereka hanya bertemu semasa Erin menghantar pesanan tempahan-tempahan dari café itu. Sham merasakan yang dia sudah jatuh cinta pada Erin, cara layanan Erin juga menunjukkan yang Sham tidak bertepuk sebelah tangan. Kawan-kawan Sham juga perasan akan kemesraan mereka berdua.

Sham berhasrat ingin mencurahkan rasa hatinya kepada Erin. Dia sudah nekad kerana tidak mahu lagi tertanya-tanya. Dia pun sudah tidak sanggup lagi bermain-main dengan permainan perasaan ini. Tetapi dia tidak tahu bagaimana ingin menyatakan hasratnya kepada Erin. Ini adalah pengalaman pertama Sham jatuh cinta pada seorang gadis. Sebelum ini bukan tiada gadis yang berminat untuk menjalinkan hubungan cinta dengannya. Berbekalkan rupa paras yang boleh di katakan agak kacak, mustahil gadis tidak akan terpikat dengannya. Cuma ketika itu dia belum bersedia untuk bercinta.

Entah mengapa sejak terpandangkan Erin hatinya meronta-ronta untuk mendekati dan mengenali Erin dengan lebih rapat lagi. Dia tidak tahu apa yang membuatkannya tertarik pada Erin. Adakah ini yang di namakan cinta pandang pertama? Ahh..! Benak Sham terkumpul pelbagai persoalan yang tidak dapat di jawabnya.

Malam kian larut, Sham pula masih berkira-kira untuk menelefon Erin. Dia masih tidak mempunyai kekuatan untuk menyatakan hasratnya itu. Akhirnya Sham menelefon Erin juga dengan perasaan yang tidak menentu. Penuh berdebar-debar. Hanya dengan satu deringan Erin sudah pun menjawab panggilan Sham.

“Assalamualaikum Erin.”, Sham memulakan bicara.
“Wa’alaikumussalam Abg Sham”, Erin menjawabnya.

“Erin apa khabar, tak tidur lagi ke?

“Belum lagilah Abg Sham, Erin baru je nak SMS Abg Sham..tiba-tiba Abg Sham dah call”, jawab Erin lagi.

“Rindu Abg Sham ya”, balas Sham cuba bergurau untuk tenangkan hatinya yang tak keruan.

“Ishh…mana ada la…Abg Sham perasan la tu,” jawab Erin sambil terdengar ketawa kecilnya.

Hening seketika. Sham kehilangan kata. Dia tak tahu bagaimana hendak mulakan tentang hasratnya itu.

“Kenapa diam ni Abg Sham, Erin ada buat salah ke,” Erin bersuara setelah agak lama mereka terdiam.

“Erm..Erin, kalau Abg Sham Tanya Erin jawab dengan jujur ya”, pinta Sham.

“Kenapa cakap macam tu, selama ini Erin tak jujur ke dengan Abg Sham?,” jawab Erin dengan nada seolah merajuk.

“Bukan macam tu Erin…”

“Baiklah Abg Sham, tanyalah, InsyaALLAH Erin jawab dengan jujur,” dengan lembut Erin menjawabnya.

“Erm…sebenarnya Erin, Abg Sham dah lama jatuh hati pada Erin ni, sejak pertemuan pertama kita hari tu, cuma Abg Sham tak berani nak luahkan kat Erin..takut Erin menolaknya,” terang Sham lagi.

Kali ini giliran Erin pula kehilangan bicara. Terkedu Erin seketika. Bermacam perasaan menyelubungi dirinya. Seolah tidak percaya dengan apa yang di dengarnya tadi. Dia cuba menarik nafas panjang untuk mententeramkan perasaannya.

“Abg Sham…Erin perlukan sedikit masa untuk fikirkan perkara ni, esok Erin nak balik Perlis, nanti balik dari sana Erin beritahu keputusannya,” pinta Erin.

Sham terkejut mendengar permintaan Erin itu. Dia merasakan seolah-olah Erin telah menolak hasrat suci hatinya itu. Dia menyesal kerana terburu-buru menyuarakan hasratnya itu.

*Nak tahu kesudahannya? Adakah Erin akan menerima cinta Sham..ikuti kisah seterusnya, sila beri komen tentang cerita ini. Komen ada amat di perlukan. ;)

4 comments

Kehendak Takdir (Part 1)

"Hoi... Bangunla, dah pukul berapa ni! Awie dah tunggu kat bawah tu," Jerit Rafi sambil menggoyang²kan bdn Faizal yg sedang lena di buai mimpi. Sambil mengeluh malas Faizal bgn dan terus mencapai towel ke bilik air. Rafi dan Sham duduk menunggu Faizal bersiap sambil mendengar radio di ruang tamu di rumah bujang mereka. Tak sampai 15 minit muncullah Faizal sambil tersengih² minta maaf kerana kelewatannya. Mereka bertiga pun terus turun ke bawah dan pergi mendapatkan Awie yg sudah menarik muka masam kerana terlalu lama menunggu. Kereta di pandu Awie terus meluncur ke Federal Hiway.

Hari ini adalah hari pertama mereka berempat memulakan perniagaan cafe mereka di sebuah kolej di Petaling Jaya. Mereka berkongsi modal membuka perniagaan tersebut. Sampai saja di kolej Petaling Jaya Coomunity College (PJCC) mereka terus mengangkat barang² dari kereta kemudian menghantar ke cafe mereka. Tidak sampai satu jam cafe mereka sudah siap untuk di buka. Pelajar² di kolej itu sudah ramai menunggu untuk bersarapan.

Sepanjang hari itu mereka begitu penat melayan dan menguruskan cafe itu. Inilah pengalaman pertama mereka mengendalikan sebuah cafe. W'pun penat mereka tetap merasa puas kerana segala-galanya berjalan dengan lancar. Awie tidak turut serta menguruskan cafe itu kerana dia masih bekerja dan tak mahu mengorbankan kerjayanya. Dia cuma mengeluarkan modah sahaja.

Cafe mereka berempat semakin maju, mereka juga mengambil tempahan catering untuk majlis2 dan keraian di kolej tersebut. Sham di tugaskan untuk mencari tukang masak yg boleh menyediakan segala masakan untuk tempahan² tersebut. Setelah seharian Sham menghubungi tukang ² masak yg ada slm senarainya, akhirnya dia telah mendapat seorang yg boleh memasak untuk cafe mereka iaitu Makcik Rokiah, seorang peniaga kecil-kecilan.

Keesokannya Sham pergi bertemu Mak cik Rokiah itu, dan menerangkan tentang tugas2nya. Sham juga memberi senarai pesanan untuk di masak pada petang itu. Setelah segalanya selesai Sham terus menuju ke cafe mereka semula.

Petang itu segalanya kelam kabut kerana Makcik Rokiah belum menghantar lagi segala tempahan² ke cafe mereka. Majlis akan bermula satu jam saja lg. Sham sibuk menelefon makcik Rokiah. Makcik Rokiah memberitahu bahawa anak saudaranya telah pergi menghantar tempahan itu. Mungkin kelewatan ini berpunca dari kesesakan lalulintas menuju ke cafe mereka. Setelah hampir 15 minit majlis hendak bermula, muncullah anak saudara makcik Rokiah itu sambil membawa tempahan mereka. Sham, Faizal dan Rafi pergi menolong anak saudara makcik Rokiah mengangkat tempahan2 itu dari kereta.

"Maaflah abang² semua, tadi jalan jammed," terang anak saudara makcik Rokiah itu.

"Tak apa lah..nak buat macamana kan, nasib baik sempat sebelum majlis mula," balas Sham sambil tersenyum memandang muka anak saudara makcik Rokiah yg cantik itu.

"Adik ni sapa nama?" dengan cepat Faizal bertanya.

"Nama saya Erin," jawab Erin malu-malu.
"Abang-abang ni pulak nama apa?," Erin mula bertanya menunjukkan kemesraannya.

Sham dari tadi asyik diam saja memandang wajah ayu Erin itu.

"Yang kurus-kurus tinggi ni Abg Rafi namanya, yang sorang ni Abg Sham dan saya Abg Faizal," terang Faizal sambil tersenyum.

"Hmm..baru saya kenal, oklah saya nak jumpa Abg Sham kejap, nak bg senarai² harga barang yg di beli untuk tempahan tu," pinta Erin sambil memandang Sham yg dari tadi asyik memandang wajahnya.

Mata mereka bersatu buat seketika. Tersipu malu Ekin bila melihat Sham yg asyik memandangnya.


"Abg Sham, ni senarai harga barang2 tu, nanti kalau ada apa-apa hal, call lah Erin, skrg ni Erin yg membantu makcik ambil tempahan," terang Erin dgn lancarnya walaupun dadanya berdebar² akibat menerima panahan mata Sham itu.

"Baiklah Erin, nanti Abg Sham call Erin kalau ada tempahan lagi," jawab Sham sambil terus memandang wajah Erin yg begitu cantik.

Keesokan harinya makcik Rokiah datang ke cafe mereka dan terus mencari Sham.

"Sham..mai sini jap, makcik nak cakap dgn hang," makcik Rokiah memanggil Sham dgn loghat utaranya. Sham terus datang dan duduk di hadapan makcik Rokiah.

"Ada apa makcik?" Sham terus bertanya.

"Takdak pa..cuma makcik nak habaq ni..awat hang duk pandang anak saudara makcik tu? Sampai jadi malu dia..dia habaq dah tak mau dtg kat cafe hang dah," terkejut Sham apabila mendengarnya.

"Err...mana ada makcik," jawab Sham tersekat-sekat.
"Arghh..malunya aku," Sham berkata-kata di dlm hatinya.

"Eleh mana ada konon..abih tu awat Erin habaq mcm tu? Hang dah berkenan kat dia ka?," balas makcik Rokiah sambil tersenyum. Seakan mengenakan Sham.

"Tak ada lah makcik...saya cuma tgk je, takde apa-apalah," jawab Sham yg malu-malu.

"Memang dia ada hati kat Erin tu makcik!," laung Rafi yg terdengar perbualan mereka berdua tu.

"Celaka budak Rafi ni kenakan aku," gerutu Sham di dalam hatinya.

"Hang jgn takut...makcik bukan nak marah, cuma saja bertanya sebab Erin asyik marah-marah makcik je kat rumah tu, dia kata takut tengok mata hang, hahaha," kata makcik Rokiah setelah Sham terdiam agak lama.

"Sham, makcik pergi dulu ye, ada kerja lg ni, " Makcik Rokiah meminta diri sambil memandang Sham dengan senyuman yg masih bersisa. Setelah kelibat Makcik Rokiah tidak kelihatan Sham terus melulu mendapatkan Rafi di dapur cafe mereka

"Rafi, kenapa kau cakap mcm tu kat makcik tu...malu la aku ni, kau ni saja nak malukan aku," marah Sham pada Rafi.

"Haa...tu lah kau, aku pun perasan cara kau pandang Erin tu, macam tak pernah tengok perempuan cantik," balas Rafi.

"Kita orang memang dah perasan dari smlm Sham...maunya tak malu Erin tu bila org pandang dia camtu," sampuk Faizal yg sedang leka bermain permainan video di handphone nya.

"Ishh...apa aku nak buat ek, Erin dan tak mau dtg cafe kita dah..dia malu katanya," tanya Sham seakan resah.

"Kau telefon je dia...minta maaf," balas Rafi.

"A'ah Sham, telefon je dia...nanti dia tak datang kau plak yg angau..hahahha," sambung Faizal mengenakan Sham lagi. Rafi turut tergelak dgn kata-kata Faizal itu.

"Malas aku nak layan kau orang berdua ni," balas Sham sambil berlalu meninggalkan Faizal dan Rafi yg masih tergelak-gelak memandang Sham.

Pada malam itu Sham memberanikan diri menelefon Erin untuk meminta maaf. Dia tidak menyangka perbuatan yg tidak di sengajakannya itu membuatkan Erin merasa tidak selesa. Dia pun mendial nombor telefon bimbit Erin yang memang ada dalam simpanannya. Setelah deringan ketiga terdengar suara Erin di hujung talian menjawab panggilan Sham itu.

"Assalamualaikum Erin," Sham memulakan bicara.

"Wa'alaikumussalam...siapa ni?," Ekin bertanya.

"Saya ni Sham...errr...Abg Sham," jawab Sham tersekat-sekat.

"Ooo...abg Sham kat cafe tu ek," akhirnya Erin dapat mengingati Sham itu.


"A'ah Erin..Erin sihat?," Sham cuba memancing kemesraan Erin.

"Erin sihat je...Abang Sham ada nak buat tempahan kat makcik ke ni," tanya Erin lagi.

"Err...bukanlah Erin...Abg Sham telefon ni nak minta maaf pasal tempohari tu," Sham menjelaskan tujuannya itu.

"Pasal apa?," Erin bertanya lagi. Meminta kepastian.

"Ala...petang tadi makcik Erin ada singgah cafe Abg sham, dia beritahu yang Erin dah taknak dtg cafe Abg Sham lg..sebab xsuka abg Sham pandang Erin camtu..maaf Erin ye," jelas Sham.

"Ooo..pasal tu, tu lah sapa suruh pandang Erin camtu, malu Erin tau...tgk cam nak telan org je..Erin memang tak nak datang dah," jawab Erin seakan merajuk.

"Janganlah mcm tu..Abg Sham tak sengaja..lagipun Erin ni cantik sangat, pasal tu Abang Sham asyik pandang je," jawab Sham cuba memuji Erin.

"Takde apa lah Abg Sham..Erin tak marah pun..cuma malu la Abg Sham asyik pandang Erin je...nanti girlfriend Abg Sham tau naya je Erin nanti," balas Erin.

"Girlfriend? Abg Sham xde girlfriend lah Erin..hmm..kot2 Erin marah Abg Sham pandang Erin sebab nanti boyfriend Erin marah," balas Sham cuba merisik-risik tentang Erin.

"Erin pun takde boyfriend," jawab Erin lagi.

Setelah lama berbual tercetuslah kemesraan di antara mereka. Selepas berbual² dgn Erin Sham dapat rasa satu perasaan yg amat berbeza yang tidak pernah di rasai sebelum ini. Apakah perasaan itu? Sham bertanya pada dirinya.

*Bersambung....

0 comments

Nurin...





apalah ada pada si kecil ini,
sampai diri sanggup di kejami,
kemana pergi sifat insani..
hinggakan diri umpama iblis!
tidakkah bersisa walau sekelumit,
sifat belas dalam dirimu?

pinjamkan aku sedikit kesaktian
agar dapat ku cari dirimu!
ku cencang lumat tiada bersisa..
ku bakar lebur menjadi debu
akan ku terbangkan debu-debu itu
berterbangan selama-lamanya..
itulah selayaknya dirimu yg laknat!!
:: Al-Fatihah buat arwah Nurin Jazlin Jazimin. Semoga rohnya dicucuri Rahmat ::

2 comments

Rindu

aku termenung sendirian
mengulang kembali kenangan
saat2 gembira suka dan duka
memadu kasih berpadu janji
yg menjadi memori indah
menghiasi kamus hidupku

dan saat ini....
kau tiada di sisiku
hingga ada rindu menyentuh kalbuku
lantas merantai tangkai hatiku
sehingga nafasku menjadi sesak
jiwaku meronta kegelisahan
naluri terselubungi berbagai persoalan
yg tidak ku tahu apa jawapannya

dan....
terasa bagaikan ada suara berbisik
jelas terngiang-ngiang di telingaku
hingga gelisah menghimpit diri
walaupun kita tidak lagi bersama
ku tak tahu pasti mengapa
adakah ini di namakan RINDU

1 comments

Tentang Puisiku..

puisi ku bukanlah kuntuman² bunga di taman
hingga kau merasa tenang tatkala wanginya terharum..

puisiku bukannya nyanyian syahdu
hingga kau merasa damai di ulit merdu iramanya...

puisiku jua bukannya titisan hujan
yg bisa menyuburkan pohonan yg merimbun...

mungkin puisiku adalah kata²
yg terpendam yg xmampu aku zahirkan pada saat² itu..

mungkin jua hanyalah rintihan kecil
yg terkurung dan menjerit minta ku lepaskan...

ingin ku luahkan segala²nya menjadi puisi indah
tetapi xsemua mampu aku puisikan...

aku hanyalah aku..
hanya puisi tempat mainan perasaanku..

3 comments

Pencarian Aku

aku berdiri di sini
masih menanti...
langkah ku tersusun
namun tetap tersasar..

kadangkala aku terlupa
akan kata iman..
kdgkala aku terikut
akan kata hati..

kenapa hati masih sepi
w'pun kononnya sudah terisi?
kenapa hati masih ragu
w'pun kononnya meyakini?

aku mahu jadi aku
hati mahu di jaga..
cinta mahu di simpan
aku tetap aku
ingin mengasihi
dan juga di kasihi
aku adalah aku
ingin turut kata dan hasrat hati..

aku ingin menerokai
mencari dan mengenal cinta..
sehingga bertemu
satu titik akhir..

1 comments

Hanya Dirimu..

termangu aku di tepi jendela..
menatap senja kian suram
hilangnya cahaya sinar mentari
gelap malam bakal menyusur
ku lihat susun langkahmu
melangkah menghampiri..
dengan seulas senyum di bibir
secerah tatapan mataku
seolah cuba menghapus senja
tetapi senja xpernah padam...
kau cuba berbicara tentang impian
tetapi aku masih di balik kenangan
impian kita..impian semua
impian sekalian manusia sama!
hanya satu..inginkan bahagia
begitulah jua diriku ini
usah kau tanya lagi
impian kita tetap sama
masih sama
tiada apa dpt mengubahnya
cuma..
berikan aku sedikit ruang
untukku hapuskan kenangan lalu
berikan sedikit senyum manismu
agar terhapus pahit hidupku..
berikan aku dakap eratmu
agar hilang derita sengsara..
berikan aku ruang di sisimu
agar kita sentiasa seiring..